Mengapa Berniaga Sepenuh Masa?

Jika kita membaca banyak tulisan terutama di kebanyakan blog dan forum, sebahagian besar menulis pro dan kontra di antara berniaga sepenuh masa dan makan gaji. Malah ada sesetengah yang lantang pula berkata, orang yang makan gaji itu amat selesa dengan kedudukan mereka dan bersifat penakut.

Saya tidaklah mahu berkata begitu, malah jika diberi peluang, saya juga mahu bekerja makan gaji. Selesa? Ya, apa salahnya mempunyai keadaan yang selesa? Bagi saya, yang berkata sinis terhadap orang yang makan gaji hanyalah mahu memotivasikan mereka sahaja untuk hilangkan takut bagi menceburi perniagaan. Kalau sudah takut, tidak perlulah menghina pekerjaan selain perniagaan.

Bagi saya, tidak kisah kita makan gaji atau berniaga sepenuh masa, yang penting adalah apakah niat kita? Jika kita niat makan gaji atau berniaga untuk wang semata-mata, maka di situlah bermulanya kepincangan. Yang makan gaji mudah tidak puas hati, manakala si usahawan pula sering berasa tidak cukup.

Jika niat kita ikhlas kerana ALLAH, apa sahaja yang kita lakukan akan menjadi lancar walaupun datang seribu jenis rintangan dan ujian. Ia bukan mengenai kerja atau usaha yang dilakukan, tetapi ia mengenai sejauh mana kita memiliki hati yang kuat untuk menghadapi cabaran?

Tidaklah perlu berkata apabila kita berniaga sepenuh masa, kita akan keluar daripada mulut singa (bos, politik pejabat…) kerana apabila kita menjadi usahawan, rintangan yang lebih besar sedang menanti di hadapan. Pelanggan yang cerewet, keadaan ekonomi tidak menentu, modal semakin menyusut, semangat diri yang naik turun dan 1001 lagi cabaran.

Berbalik kepada tajuk artikel ini, mengapa usahawan memilih jalan perniagaan sepenuh masa? Adakah kerana kerja makan gaji itu satu pekerjaan yang hina? Adakah kerana jumlah pendapatan rendah? Jawapannya bukan kerana itu semua. Tetapi sebenarnya usahawan sepenuh masa hanya mahukan satu perkara sahaja:

KEBEBASAN

Mereka bebas menentukan pergerakan mereka. Mereka bebas menentukan waktu kerja mereka. Mereka bebas melakukan inovasi tanpa batas dan halangan. Mereka bebas daripada kekangan birokrasi jabatan. Mereka bebas bersuara. Mereka bebas mencuba sesuatu yang berisiko. Dan mereka bebas menentukan bentuk usaha yang mereka perlu buat.

berhenti kerja

Quit Your Job, James Kochalka.

Itu sahaja sebabnya. Bukan kerana kerja makan gaji itu hina, tidak bagus atau seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang. Usahawan sepenuh masa memerlukan masa yang banyak untuk melakukan banyak usaha. Kalau mereka bekerja makan gaji, maka secara automatik mereka akan tersekat dengan pekerjaan rasmi yang membataskan pergerakan mereka di dalam melakukan perniagaan.

Kepada anda yang makan gaji, usahlah gundah gulana dengan diri sendiri hanya kerana orang lain menjadi usahawan tetapi tidak anda. Tidak semua orang sesuai menjadi usahawan, kerana usahawan juga memerlukan pekerja yang setia dan bersungguh-sungguh.

Satu pesanan saya, jangan paksa diri untuk menjadi usahawan sepenuh masa. Ketepikan dahulu slogan “tiada apa yang mustahil” kerana yang tidak mustahil itu hanyalah dengan ILMU sahaja. Lakukanlah sesuatu perkara dengan akal yang waras dan jiwa yang tenang. Semuanya perlukan ilmu. Jika anda sudah bersedia menjalankan perniagaan sepenuh masa, “just do it!”.

Dan saya amat sarankan anda membaca dan khatam buku ini:

rich dad quit job

http://www.mphonline.com/books/nsearch.aspx?do=detail&pcode=9780446696371

Seperkara lagi, hati-hati dengan motivasi-motivasi palsu yang menyarankan anda berhenti kerja tanpa sebarang perancangan yang teratur dan keputusan pada masa yang sesuai. Sekadar ada banyak duit, itu bukan jaminan untuk anda hidup senang lenang tanpa makan gaji. Duit kertas itu, TIDAK ADA SEBARANG NILAI.

Kepada usahawan, usahlah mendabik dada kerana tanpa pekerja yang hebat, usahawan tidak akan ke mana-mana. Jadi tidak perlu kita mengatakan yang negatif terhadap orang yang makan gaji. Merekalah tulang belakang utama usaha perniagaan kita dan merekalah penyokong kita.

Seperkara lagi, tanpa pembeli, usahawan juga tidak akan ke mana-mana. Dan fakta yang tidak dapat kita nafikan adalah, sebahagian besar pembeli itu adalah terdiri daripada mereka yang makan gaji. Jadi kalau mahu bandingkan siapa hebat (usahawan atau pemakan gaji?), tiada jawapan untuk itu kerana dua-dua hebat dan saling memerlukan.

Dalam niche Internet Marketing terutama yang jual ebook, 95% pembeli adalah orang yang makan gaji. Tanpa pembeli daripada golongan ini, seseorang Internet Marketer itu tidak akan ke mana-mana. Jadi siapa yang hebat sebenarnya?

Saya menulis artikel ini kerana ada beberapa sebab:

  • Risau dengan keadaan sekarang yang menyuruh orang ramai berhenti kerja. Jangan kerana mahu melariskan jualan ebook (produk informasi) atau peluang perniagaan, macam-macam ayat manis dikeluarkan. Kemudian yang berhenti makan gaji itu, mahu dapat RM100 sebulan pun terkial-kial.
  • Mahu menceritakan hakikat sebenar perniagaan dan makan gaji. Ia bukan mengenai mana satu yang lebih hebat, tetapi ia mengenai diri kita. Berniagalah atau makan gajilah, kalau diri kita tidak tabah, cekal, rajin dan berilmu, yang negatiflah biasanya kita dapat.
  • Setiap orang ada potensi diri masing-masing. Ada orang sesuai menjadi tentera kerana tubuhnya yang sihat dan sasa. Ada orang yang jenis setia, maka sesuai menjadi pembantu kepada usahawan kerana mereka ini pandai menyimpan rahsia tuannya (bos). Ada orang yang sukakan kebebasan, maka dirinya menjadi usahawan sepenuh masa.

Sampai satu tahap, saya cukup risau kerana di sana sini kita sering diributkan, hanya menjadi usahawan dan melakukan perniagaan sahajalah kita akan menjadi hebat. Bagi saya sendiri, saya amat tidak selesa dengan keadaan ini.

Berniagalah jika itu pilihan terbaik. Bukan kerana mahu lari daripada masalah di pejabat atau di tempat kerja. Kalau tempat kerja itu umpama mulut singa, perniagaan pula adalah umpama mulut buaya. Jadi kedua-dua bentuk pekerjaan ini memerlukan ilmu, kemahiran dan perancangan agar kita tidak menjadi mangsa kepada mulut singa atau mulut buaya.

Ilmu dan kemahiran diperlukan untuk menjinakkan singa dan buaya. Jika kita ada “seni” dan kemahiran yang baik, kita akan menjadi pekerja yang sukses. Bos yang garang dan bengis pun boleh ‘dijinakkan’. Itulah hebatnya ilmu! Begitu juga dalam perniagaan, pelanggan yang cerewet, ego dan marah-marah pun dapat disejukkan dan boleh menjadi kawan baik jika ada ilmu!

Tetapi hakikat kebanyakan, tidak ramai orang mahu menambah ilmu dan kemahiran mereka, sebaliknya mereka hanya mahu gaji dan duit.

Kalau bos selalu marah-marah di pejabat, rakan-rakan pekerja yang negatif, kerja bertimbun, penat dan sebagainya, ia sebenarnya mengenai PILIHAN kita. Kalau kita pilih untuk negatif, maka semuanya akan jadi negatif. Tetapi kalau kita melihat dan menerima itu semua dengan positif, maka kita akan tetap tenang dan menghadapi itu semua dengan sabar.

Tidak kiralah kita berniaga sepenuh masa atau makan gaji, yang penting adalah dua perkara, iaitu ILMU dan KEMAHIRAN. Kebanyakan pekerja yang sering mengeluh kerana mereka tidak menambah ilmu dan kemahiran mereka, sama ada ilmu dan kemahiran teknikal dan juga soft skills. Begitu juga usahawan, mereka tidak berkembang jika mereka tetap dengan ‘bantal busuk’ mereka.

Kalau kita tetap dengan ilmu yang sedikit itu, maka kita tidak akan berupaya untuk menghadapi cabaran yang lebih besar daripada ilmu itu. Maka tambahlah ilmu dan kemahiran sama ada dengan membaca dan belajar melalui kursus. Kepada usahawan pula, selain ilmu perniagaan, ilmu mengurus pekerja juga amat penting untuk dikuasai.

Akhir kata, semuanya bukan mengenai jenis pekerjaan kita, tetapi ia mengenai DIRI KITA iaitu sejauh mana kita ini berisi dengan ilmu dan kemahiran. Kalau kita mahukan dunia, maka kita perlukan ilmu. Kalau kita mahu akhirat, kita juga perlukan ilmu. Dan jika kita mahukan kedua-duanya, kita juga perlukan ilmu.

Fikir-fikirkan dan selamat beramal.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

25 thoughts on “Mengapa Berniaga Sepenuh Masa?

  1. Salam tuan Zul, tahniah atas artikel yang sangat bermanfaat, ramai yang bertanyakan soalan ini pada saya, ttpi saya tak dapat nak berikan jawapan yg memuaskan pd mrka, insyaAllah dengan info yg tuan tulis ini dpt membantu saya untuk memberikan jawapan kepada mereka yang bertanya.
    terima kasih..salam ramadan dari saya.

    1. Salam tuan Zaid, terima kasih dan semoga bermanfaat.

      Benar. Kita bukan berniaga atas sebab hinanya kerja makan gaji. Bukan itu sebabnya, tetapi sebab kita mahu melangkah lebih jauh, maka kita perlukan ‘KEBEBASAN’ yang lebih, ‘tanpa batasan’ dan sekatan.

  2. Salam,

    Tuan, saya adalah orang makan gaji bulan-bulan, hanya cukup2 je tiap2 bulan. Tak dapatlah nak macam orang lain, beli pakaian, aksesori dsb tiap2 bulan. Tapi saya tak ralat, saya tahu semua ada sebab dan hikmah. Tak kisah dalam bidang apa pun kita, pada saya – saya berpegang kepada kata-kata mak saya yang dipetik dari datuk saya. “Rezeki secupak takkan jadi segantang” usahalah macammana pun, kalau bukan rezeki kita, jangan persoal, semua ada sebab musababnya. Tapi, PUTUS ASA TIDAK SEKALI. Maka sekarang ni, saya berjinak-jinak dengan dunia blogging. Pertama untuk mendedahkan pengetahuan tentang dunia pemasaran internet bagi persediaan untuk berniaga pada masa akan datang (almaklumlah, modal takde ni). Dan kedua nak test market, boleh ke saya jadi macam orang lain (dapat duit dari internet?). Dan ketiga, saya nak berkongsi maklumat perniagaan bagi newbie2 macam saya ni, yang baru nak berjinak-jinak. Harapan saya agar blog saya ni dapat beri tips dan panduan kpd newbie2 blogger n usahawan2 internet (sebab saya tahu bukan senang nak cari info bermanfaat macam kat blog nih..). He he he… Salam…

  3. Salam tuan Zul, saya sebagai seorang pelajar masih berfikir-fikir samaada mahu menjadi seorang usahawan atau makan gaji selepas menamatkan pengajian nanti. Artikal ini mempunyai nilai yang tinggi kepada saya.Kesimpulan yang saya perolehi ialah kalau kita mahukan dunia, maka kita perlukan ilmu. Kalau kita mahu akhirat, kita juga perlukan ilmu. Dan jika kita mahukan kedua-duanya, kita juga perlukan ilmu. Terima kasih-Ikhlas Hisyam-

    1. Tuan HisyamDen,

      Disebabkan tuan masih dalam waktu belajar, maka itulah masa yang amat sesuai untuk belajar sebanyak mungkin ilmu perniagaan dan keusahawanan. Sertai program berkaitan perniagaan (elakkan MLM dan program buat duit). Buat bisnes yang betul-betul bisnes.

      Kedua, cuba dapatkan sekurang-kurangnya seorang mentor iaitu usahawan yang telah berjaya. Masa saya di IPT dulu, saya ada seorang mentor yang dia bawa saya ke mana kalau ada program, malah berikan sokongan dan galakan.

      Cuba dapatkan buku yang saya sarankan di atas tulisan Robert Kiyosaki. Formula asas: Mulakan bisnes selepas bisnes itu telah wujud. Maksudnya, semasa tuan belajar, cuba bina perniagaan sedikit demi sedikit. Bila dah habis belajar, bisnes itu telah pun wujud. Jadi tak perlulah bersusah payah mula dari zero lepas tamat belajar. Utamakan simpanan hasil daripada bisnes itu agar bila graduate nanti kalau mahu terus buat bisnes full time, tuan sudah ada BISNES dan juga SIMPANAN TUNAI.

      Rujuk: http://www.businessknowhow.com/startup/richdadquit1.htm

  4. Makan gaji ke atau kerja sendiri ke,tu semua terpulang pada minat masing-masing.Yang penting bila kerja kita ihklas,jujur dan amanah.barulah rezeki yang kita dpt berkat.Insyaallah.Saya kerja makan gaji,tapi cuba2 untuk join bisnes internet(mcm bisnes gaklah tu.hi.hi..)Boleh kalau kita syer infor ke,supaya saya lebih mantap.www.JutawanJuta.com

  5. tak semestinya perlu berhenti kerja semata-mata untuk berniaga. berniaga sambil bekerja pun ok tp jangan sampai mengabaikan tanggungjawap pekerjaan kita.

  6. Salam SmartZul.

    Saya sukakan artikel ini.

    Benar, jika ditanya semua org mahu berniaga termasuklah diri saya. Namun keadaan semasa perlu dilihat juga. Tidak boleh bertindak melulu. Bukankah perancangan itu penting.

    ”Jangan kerana mahu melariskan jualan ebook (produk informasi) atau peluang perniagaan, macam-macam ayat manis dikeluarkan”.

    Saya juga suka petikan ayat di atas. Semoga ia menjadi pengajaran kepada yg berkenaan.

    T/kasih kerana ‘luahan’ ini. 🙂

  7. agak mencabar bagi orang yg makan gaji utk mulakan langkah menjadi usahawan..kerana bergerak utk mencapai kebebasan, tetapi diri sekarang masih tidak bebas..

    ps: makan gaji ke, kerja sendiri ke… jangan lupa cari ilmu agama… 🙂

    1. Betul. Orang tua kata, “ukur baju di badan sendiri”. Ada orang kerja, gajinya tidaklah banyak. Tapi dapat menyara ramai orang anak sampai ke menara gading. Kerjaya anak-anak pun bagus-bagus. Pasti ada rahsianya. Salah satu: Rezeki dan hidup yang berkat.

  8. Memang betul perkara tu seolah-olah mendesak supaya berhenti kerja makan gaji dan membuat pembelian kepada produk yang dijual untuk melariskan jualan semata-mata. Sebaliknya bagi mereka yang hendak berhenti itu perlu terlebih dahulu ada perancangan dan penelitian pada status dan kedudukan pekerjaan yang sedang dilakukan sekarang. Bagi saya kalau mereka jenis yang sukakan cabaran dan persaingan serta tidak mahu terikat dan mangidamkan kebebasan dari segi kewangan maka sesuailah menceburi bidang perniagaan. Apa yang penting adalah nilai diri terlebih dahulu adakah sanggup berubah untuk melaksanakan perkerjaan yang baru itu yang mungkin lebih mencabar dari pekerjaan sedia ada.

  9. Betul cakap Zul, sebab itu dalam Islam ada konsep muamalat jual beli, hubungan sesama manusia. Walau siapa pun kita, kita bergantungan penuh antara satu dengan yang lain.

    Usahawan perlukan pembeli. Pembeli perlukan produk/servis usahawan.

    Dua-dua penting untuk kesinambungan hidup masing-masing.

  10. Wang bukanlah segalanya dan hanya sebagai alat untuk manusia capai apa yang diinginkan dalam hidup yang sementara ini. Cuma yang menjadi masalahnya ialah apabila banyak keinginan dan perhiasan dunia tidak diperolehi hanya kerana kurangnya alat tersebut.

    Saya fikir Allah tidak pernah sempitkan rezeki manusia dan tiada bayi yang dilahirkan miskin…

    Kenyataan yang kita dapat saksikan ialah kerja makan gaji mempunyai peluang yang lebih tipis untuk hidup senang dan bahagia.

    1. Benar. Setiap makhluk termasuk manusia sudah ada rezekinya masing-masing.

      Bak kata bijak pandai Agama, “Rezeki itu perlu dijemput, bukan dicari.”

      Rezeki yang banyak sudah tersedia rapi, cuma kita perlu ada kuncinya sahaja untuk mendapatkan rezeki itu. Kuncinya kita sudah sedia maklum. Salah satunya, amalan harian perlu dijaga sebaik mungkin, di samping perlu berusaha dengan betul dan bersungguh-sungguh.

  11. hoho..

    aku dulu full time. Tapi sekarang, aku makan gaji. Kerja kat sektor kerajaan. Alhamdulillah, yang kerja-kerja kat internet, aku buat part time sebab kerja full time tu, tak bermakna yang kita kena buat kerja 24 jam sehari. Biasanya masa full time dulu, paling teruk pun dekat 4-5 jam dok depan laptop. Tapi bila aku usaha untuk buat dalam 2-3 jam sehari. Boleh la pulak. INcome masih masuk seperti biasa. Cuma kena disiplin sikit bila buat part time. Tak leh maca full time dulu..

    Aku masuk sektor kerajaan ada beberapa sebab. Dan salah satu sebabnya selain sebab peribadi, sebab mudah nak urus macam-macam, nak jadi penjamin pun mudah, nak kenal orang dan masyarakat dan aku nak tengok dan cabar diri, aku leh masuk tak bahagian ni. Aku leh survive tak. Alhamdulillah, aku boleh bawa kedua-duanya tanpa membuatkan bos aku dan mak abah aku marah. Bos aku makin sayang kat aku lagi adala..sebab selalu kena handle projek berkaitan internet.

    Jadi, tak perlulah nak berhenti kerja. Tak semestinya kan buat kerja online ni kita kena berhenti kerja. Korang boleh bawa sebenarnya. Itupun kalau korang betul-betul disiplin nak buat. Memang banyak karenah bila makan gaji ni, tapi dunia internet ni lagi macam-macam karenah. So, kalau tak kuat, memang tak leh bawala. Samda makan gaji ke atau kerja sendiri. So, first. Kita sendiri kena kuat. Yakin yang kita boleh bawa ke tak.

    1. Saya pun sedang cari kerja ni. 😀 Tapi melihat banyak perancangan projek yang perlukan masa full time, terpaksa lupakan hasrat kerja makan gaji tu. Tawaran/peluang kerja tu dah ada, malah berkaitan dengan Internet & Marketing. Company pun Ok. Bagi saya, kalau kerja makan gaji itu ada kelebihan dan jaminan, why not? Isu zon selesa itu hanyalah mitos. Bak kata Irfan Khairi dalam bukunya Nota Jutawan, setiap orang ada zon selesa sendiri.

      Dan kalau ada orang kata kerja makan gaji makan masa 8 jam sehari, usahawan apa kurangnya? Lebih 8 jam sehari buat kerja. Itu pun seperti tak cukup.

      ps. Benar, apabila kerja makan gaji, kita akan lebih ‘menghargai’ masa.

  12. Setuju sangat dengan pendapat sedara. kita tak boleh memandang rendah antara satu sama lain. setiap orang itu ada sebab musabab mengapa dia memilih jalan itu. tetapi sebelum memilih sesuatu keputusan itu, perlu ukur kemampuan diri terlebih dahulu, jgn terlalu mudah dikaburi dengan janji-janji manis akan pendapatan yang berlipat ganda dengan menjalankan perniagaan. Apa yang perlu dilalui sebelum menceburkan diri didalam perniagaan ini adalah lebih sukar dari apa yang diungkapkan. memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi serta fokus. Tidak keterlaluan jika saya katakan kerja makan gaji ni merupakan back-up kepada kita melainkan perniagaan yang dijalankan itu benar-benar stabil. perniagaan ini ada juga pasang surutnya. Jangan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

  13. Saya setuju dgn artikel en zul ni. Saya pernah mengalaminya, berhenti keje kerana terikut2 idea kwn tanpa ada plan yang sempurna. Akibatnya, kereta saya 2 kali kena tarik dan terpaksa meminjam sana sini untuk cover kos harian. Pengajaran yg sy dpt, buat bisnes bukan semudah ABC. Mesti ada proper plan dan wang secukupnya sebagai backup kalu bisnes tak jalan. Sebaiknya buat secara part time dulu… test market, test kebolehan diri sendiri, test macam2 dulu… dah stabil baru boleh nak berhenti kerja dan bisnes fulltime.

  14. Saya sangat setuju dengan tujuan menjadi usahawan sepenuh masa iaitu kebebasan. Tetapi untuk mencapai kebebasan mestilah dengan ilmu.Tidak rugi melabur wang ringgit untuk ilmu.

  15. Salam bro zul,

    Saya amat menyukai artikel tulisan bro ni.Sanat memotivasikan saya yang bekerja makan gaji dan dalam masa yang sama sedang mengintai peluang untuk melakukan perniagaan secara part time.

    Bagi saya kedua-duanya,iaitu makan gaji dan juga berniaga mempunyai pro dan kontranya,baik dan buruknya,positif dan negatifnya.

    Pokok pangkalnya kembalilah kepada tuan punyai diri.Kitalah yang mampu buat keputusan yang sesuai dengan kemampuan diri.

  16. Bekerja atau Berniaga? Satu soalan yang selalu saya dengar dan ini termasuk diri saya sendiri. Saya dah pun bekerja selama hampir 20 tahun dengan beberapa buah syarikat swasta yang berstatus Syarikat Berhad. Tetapi selama bekerja jiwa saya masih mencari-cari sesuatu!!Walaupun saya selesa dengan pendapatan bulanan yg agak lumayan tetapi tidak ada Ohmm!! Apa yang saya dah pelajari selama 20 tahun bekerja?Banyak benda,antaranya mengenali perangai manusia, belajar daripada orang yg lebih berpengalaman,lebih bersistematik,disiplin, cara buat report,cara menhandle meeting, cara bercakap,cara berdialog,negotiation teknik dan banyak lagi ilmu yg dipelajari. Soal nya mana yg lebih baik Bekerja atau Berniaga? Seperti dalam artikle saudara Zul amat menarik. Kita tak perlu melihat orang yg bekerja tidak bagus dan kita jangan sekali-kali melihat berniaga ini hebat. Kedua-duanya hebat dan bagus,bergantung kepada Niat masing-masing. Berniaga adalah di galakkan oleh Islam..Berniaga itu pun salah satu profesion.Bezanya KEBEBASAN,KEPUASAN!!Berniaga juga bergantung kepada kecekalan dan dapat mengukur tahap penerimaan risiko.Adakah kita mampu untuk menanggung risiko..Tapi walau bagaimanpun saya sendiri akhirnya menceburi bidang perniagaan bermula dengan syarikat enterprise?Modalnya datang dari hasil simpanan semasa Bekerja..Orang yang Berniaga tidak boleh tidak perlu sokongan dari orang yang Bekerja..kalau tidak pergerakan ekonomi kita akan menjadi slow pergerakan wang terbatas. Jadi sama-samalah kita bekerjasama antara satu sama lain. Bagi saya Berniaga adalah satu profesion yang mencabar DAN memerlukan ILMU YANG UP TO DATE.YANG PENTING akal kita sentiasa perlu bekerja untuk mencari sesuatu yang inovatif,kreatif…Sekian saja untuk di kongsi bersama hanya sekadar coretan.

  17. saya nak minta pendapat tuan ni..saya dalam dilema sebenarnya untuk membuat pilihan samada makan gaji balik atau terus berniaga..

    Situasi saya sekarang mi masih berniaga di pasar malam, tapi mengalami masalah kemorosotan modal pusingan. Baru-baru ni dapat tawaran kerja dgn kerajaan, rasa hati terdetik untuk terima saja jawatan tu dengan harapan sepruh daripada duit gaji tu nanti saya boleh gunakan untuk topup sebagai modal pusingan bisnes saya tu..

    Jadi saya tiada pilihan lain. Kalau saya tak terima kerja tu, saya mungkin kena pinjam lagi dengan adik beradik untuk buat modal.

    jadi pada pendapat tuan, yang mana lebih baik untuk saya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *