Bagaimana saya bermula kembali?

Bagaimana saya bermula kembali?

“Tidak mudah untuk berjaya, tetapi terlalu mudah untuk berputus asa.”

1. Hampir dua tahun (2012 – 2014) saya tidak aktif dalam perniagaan online, khususnya dalam bidang “produk informasi” seperti ebook, video dan audio. Ini adalah bidang yang saya fokus sepenuhnya. Saya sibuk dengan tanggungjawab “offline” saya.

2. Akibat terlalu lama ‘meninggalkan’ bidang ini, saya rasa sedikit ‘berkarat’ dan sukar untuk bermula kembali.

3. Namun kelebihan yang saya miliki adalah, saya sudah mempunyai platform, jenama, kemahiran, ilmu, pengalaman, pelanggan sedia ada dan follower tersendiri.

4. Saya kembali mula aktif pada awal Jun 2014, namun terlalu banyak usaha-usaha terdahulu yang perlu saya perkemaskan kembali.

5. Saya mengambil keputusan untuk menutup sebahagian besar apa yang telah saya bina dari dulu (sejak 2005) kerana kebanyakannya sudah tidak relevan dan perlu dikemaskini kembali.

7. Selama dua bulan (awal Jun – awal Ogos), saya tiada sebarang perniagaan dilakukan kerana banyak merancang, mengatur strategi, membaca, mencari kekuatan dan kembali belajar, di samping cuba berjinak-jinak dengan satu bidang perniagaan yang baru. Malah pada tempoh itu, saya melakukan beberapa keputusan tidak menguntungkan yang akibatnya ia merencatkan usaha saya untuk memecut.

8. Dengan berbekalkan apa yang saya ada, iaitu sebuah laptop dan mikrofon sedia ada, saya hasilkan sebuah produk terbaru yang diberi nama “Mudahnya Berniaga di Facebook”, iaitu panduan dalam bentuk video. Saya perlu ada produk baru agar saya boleh bergerak ke hadapan dan melalui setiap hari mendatang dengan tujuan-tujuan yang lebih jelas, selain menghidupkan kembali perniagaan.

9. Dengan menggunakan beberapa strategi tanpa sebarang kos iklan, saya berjaya mendapat hasil yang disasarkan.

10. Ia merupakan satu permulaan bagus untuk saya yang baru kembali aktif ini.

11. Diakui, untuk bermula kembali adalah satu cabaran yang besar. Namun saya tidak pernah berhenti berdoa kepada-Nya. Saya cuba untuk konsisten mengamalkan solat sunat dhuha, solat malam dan amalan-amalan lain yang memudahkan rezeki mengalir masuk.

12. Saya hubungi kembali rakan-rakan lama (usahawan online) dan cuba merapatkan kembali hubungan silaturahim yang mungkin telah terputus selama beberapa tahun. Ini adalah salah satu cara untuk memudahkan rezeki mengalir, mendatangkan peluang-peluang perniagaan dan yang paling penting, mereka adalah antara yang dapat membina keyakinan baru kepada saya.

13. Saya mula aktifkan semula FB Page MohdZulfadli-IM dan juga profile FB saya walaupun pada mulanya kadar reach hanya beberapa orang sahaja. Saya tidak patah semangat dan terus menulis di page ini sehinggalah kembali ramai yang Like, komen dan menghubungi saya melalui pm.

14. Saya tidak mahu meminta bantuan sesiapa melainkan berdoa kepada-Nya sahaja. Saya berusaha seorang diri. Saya pernah cuba dibantu, tetapi kebanyakan manusia apabila melihat kita di bawah, mereka melihat diri kita serba kekurangan, hina dan seperti tiada apa-apa. Jadi lebih baik saya berusaha sendiri tanpa meletak diri pada kedudukan yang begitu hina di mata manusia. Tiada sesiapa terluka, dan saya juga tidak dilukai. Cukup saja Allah bagi saya.

15. Alhamdulillah, dalam masa dua minggu sahaja, saya berjaya ‘menimbulkan kembali perniagaan saya setelah lama karam di dasar lautan’.

16. Kini saya sudah kembali dan bersedia berkhidmat untuk Allah, agama, diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Insya-Allah.

17. Saya memutuskan untuk melakukan perniagaan secara “berseorangan” kerana ia lebih sesuai dengan diri, jiwa dan bakat saya.

18. Bagi saya, tiada sesiapa pun (orang luar) yang mudah untuk kita percayai, seperti kata pepatah, “rambut sama hitam, hati lain-lain”. Jadi lakukan perniagaan dengan baik-baik, sentiasa berdoa kepada-Nya agar dilindungi oleh tipu daya manusia. Lakukan sesuatu dengan SEDAR, bukan secara spontan, atau berpaksikan kepada semangat yang kosong semata-mata.

Apa yang dapat saya simpulkan:

1. Jika kita senang mahupun susah, Allah sentiasa ada dan sentiasa menanti kita meminta kepada-Nya, walaupun kita kembali kepada-Nya penuh dengan dosa seluas langit dan bumi.

2. Banyakkan bersabar untuk bangkit kembali.

3. Gunakan apa saja yang ada tanpa perlu keluarkan belanja (wang).

4. Apa jua cabaran yang datang, hadapi dengan penuh ketabahan.

5. Atur strategi yang paling mudah untuk dilaksanakan. Mulakan dari perkara yang kecil kerana ia mudah dilakukan dan akan menyalakan api semangat dalam diri kita sedikit demi sedikit.

6. Abaikan manusia yang negatif dan berhati busuk kepada kita. Ramaii lagi orang lain yang sedang menanti kehadiran kita dan mahu melihat kita mencapai kejayaan dan kesenangan.

7. Jangan berkata tidak boleh, tidak mampu dan tidak berdaya. Berusahalah habis-habisan umpama sehingga ke titik peluh yang terakhir.

8. Jangan abaikan solat 5 waktu (fardhu) dan cuba usahakan untuk solat dhuha, solat malam (tahajud), bersedekah dengan ikhlas dan membaca al-Quran walaupun satu ayat sehari (baca sekali terjemahannya, insya-Allah ada sesuatu pelajaran yang terbaik untuk kita, selain dapat menabahkan diri). Ini yang saya usaha amalkan. Alhamdulillah, perjalanan saya dimudahkan oleh-Nya. Tetapi ingat….! Kesenangan biasanya didatangkan dengan ujian terlebih dahulu. Jadi banyakkan bersabar sebelum kesenangan mula hadir.

9. Jangan lakukan banyak perniagaan dalam satu masa kerana ia mampu melumpuhkan pergerakan dan motivasi kita.

10. Minta ‘bantuan’ daripada mereka yang beriman dan ikhlas kepada-Nya. Sukar mencari manusia sebegini. Jika boleh berusaha seorang diri, teruskan saja. Jika ada insan yang dapat membantu kita dengan ikhlas, itu satu bonus bagi kita.

11. Tukarkan tekanan akibat dugaan ataupun yang diberikan oleh orang luar kepada “bahan api” yang membawa kita meluncur laju ke hadapan. Tiada apa-apa yang dapat memudaratkan kita selain atas izin-Nya sahaja.

12. Buat keputusan ikut hati sendiri. Salah satu kesilapan yang sering saya lakukan dahulu adalah, sebahagian besar keputusan yang saya lakukan adalah berdasarkan “keputusan” orang lain. Jangan sesekali hidup di atas perancangan orang lain. Hiduplah dengan cara yang anda mahu dan selesa.

13. Berani berkata benar. Tidak perlu takut kepada sesiapa.

14. Cepat bertindak dan melaksanakan usaha kerana masa (zaman) dan manusia akan cepat berubah.

15. Berniagalah dengan ilmu yang betul agar perniagaan kukuh, dapat hadapi cabaran dan seterusnya dapat dikembangkan.

16. Sedikit sebenarnya adalah banyak. “Less is more”. Saya akan terus berpegang pada konsep ini, selain konsep “keep it simple”.

17. Mendengar cakap orang boleh, tetapi kita tidak wajib untuk menerimanya dan orang lain juga tidak berhak untuk memaksa.

18. Tutup terus cerita dan kenangan lama. Buka buku baru! Cerita dulu yang pahit, mahupun pencapaian hebat yang dulu-dulu bukan perkara penting lagi. Ia telah lepas. Ciptalah cerita-cerita baru yang lebih baik daripada yang dulu.

19. Tidak semuanya senang. Sebab itu kita digalakkan berpegang pada prinsip yang Allah ajarkan iaitu “bersabar apabila diuji, bersyukur apabila mendapat nikmat dan rezeki.”

20. Selain memohon ampun kepada-Nya, minta maaf juga dengan manusia yang lain walaupun kita ada salah ataupun tidak. Dan maafkan juga semua orang tidak kira sebesar mana salah dan silap mereka kepada kita. Lapangkanlah dada dengan memaafkan orang lain. Jangan simpan benci dan dendam kerana ia akan menjadi ‘senjata makan tuan’ yang akan memusnahkan diri kita sendiri.

Ini adalah cerita telus daripada saya untuk bacaan semua. Saya tidak perlu malu untuk bercerita yang benar agar orang lain mendapat manfaat, malah saya juga ingin menunjukkan bahawa semua orang akan melalui “putaran roda”, termasuk saya. Malah tidak banyak cerita realiti sebegini yang diceritakan oleh kebanyakan orang yang hanya bercerita mengenai kejayaan sahaja.

Mungkin cerita ini tidak relevan bagi anda. Di luar sana ramai yang berbakat dan berpotensi untuk berjaya, tetapi sedang bermandi peluh untuk bangkit kembali. Jika anda kenal mereka, bantulah mereka walaupun dengan sepatah ayat semangat. Jangan ambil kesempatan pada mereka, apatah lagi memandang hina diri mereka.

Daripada cerita saya di atas, kita sentiasa ada pilihan untuk terus melangkah ataupun terus berputus asa, walaupun hidup ini sudah pasti ada naik dan turunnya. Pilihan di tangan kita dan apa jua yang berlaku adalah atas izin-Nya. Pasrah dan sentiasa bersabar.

“Mulakan dengan bismillah dan niat yang ikhlas. Sekali melangkah ke depan, jangan pernah sesekali berhenti.”

.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

5 thoughts on “Bagaimana saya bermula kembali?

  1. Bukan mudah tinggalkan sesuatu yang sudah lama kita buat untuk mulakan yang baru. Hanya mereka yang luar biasa sahaja mampu melakukannya. Dan ingatlah, setiap manusia adalah luar biasa hebat!

  2. Semoga berjaya smartzul. Saya belajar membina blog dari smartzul dan byk yg dibelajar di forum yg disediakan. Dan saya juga lama berhenti dari dunia blog dan kembali aktif pada oktober 2013 yg lepas. Saya juga cuba bangkit dari kegagalan yang lepas. Semoga kita sama2 berjaya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *