Bagaimana Berjaya Pada Tahun 2013

Setahun, hanya ada 12 bulan.

12 bulan bukanlah satu tempoh yang agak lama. Kata orang, pejam celik seperti tidak percaya, sudah akan masuk ke tahun yang baru (masihi). Ya, kita sudah hampir ke tahun 2013. Desas desus kepercayaan karut mengatakan dunia akan kiamat pada tahun ini, semuanya terbukti silap. Nampaknya dunia ini akan terus berpusing…. Dan kita selagi mana hidup, perlu terus berusaha memperbaiki diri.

Tidak ada sesiapa yang terus berjaya selamanya. Malah ada orang yang sudah berjaya juga tanpa sengaja melakukan kesilapan. Dunia perniagaan ada pasang surutnya; hari ini di atas, esok lusa di bawah. Hari ini kaya-raya, esok lusa mungkin kais pagi makan pagi.

Cara untuk berjaya pada tahun 2013

Disebabkan blog ini khusus mengenai perniagaan Internet, maka tajuk artikel ini saya tulis khas untuk anda yang melakukan perniagaan Internet. Persoalan yang selalu difikirkan ramai orang, “Macam mana cara untuk berjaya pada tahun ini? Tahun baru, azam baru!”

Pertama, kita mesti buang jauh-jauh kefahaman jika masuk tahun baru kita mesti sepenuhnya ada azam baru. Tidak salah, cuma sebenarnya kita juga boleh memperbaharui azam atau matlamat kita sebelum ini yang belum tercapai. Kita juga boleh memperbaharui semangat kita, ilmu dan tindakan kita yang selama ini mungkin terlalu suram.

Sebenarnya untuk berjaya dalam perniagaan Internet tidaklah sesukar mana. Berikut adalah tip-tip mudah yang mungkin anda sudah bosan membacanya.

1. Tetapkan paling banyak 3 matlamat besar

Percayalah, mungkin anda tidak dapat mencapai semuanya dengan sukses. Malah satu pun belum pasti. Sebelum ini saya sudah membaca banyak tulisan pakar kejayaan, yang menyatakan cukuplah senaraikan 3 matlamat sahaja untuk setahun. Tapi saya degil, maka saya mahu capai banyak matlamat.

Dua tahun saya cuba bereksperimen, untuk membuktikan yang kita boleh mencapai lebih daripada tiga matlamat besar dalam setahun. Akhirnya… Saya GAGAL.

Pada tahun 2013, saya akan bereksperimen lagi. Tetapi pada kali ini saya mahu mengikut kata-kata pakar kejayaan tersebut. Kita lihat sahaja hasilnya nanti…

Di sini, anda perlu bezakan di antara matlamat dan “perkara mahu buat (want to do..)”:

Contoh matlamat: “Menjadi pakar pemasaran Facebook yang membantu usahawan menggandakan jualan produk mereka.”

Contoh mahu buat / dapat: “Menunaikan umrah, beli laptop baru, beli jam baru, bercuti ke Paris, beli rumah…”

Biasanya, perkara yang mahu dibuat atau diperolehi adalah ditentukan oleh kejayaan mencapai matlamat besar itu tadi. Ini kerana, tanpa kejayaan utama, kita tidak mampu untuk melakukan perkara-perkara yang kita mahu lakukan, atau mendapatkan sesuatu yang kita mahu miliki.

Jadi pada tahun 2013, fokuskan pada matlamat utama dan bukan fokus kepada apa yang kita mahu miliki, rasai dan lakukan. Kerana apabila kita berjaya dari segi perniagaan dan kewangan, sudah pasti kita boleh lakukan terlalu banyak perkara yang kita idam-idamkan.

2. Hidup beragama

Untuk menjadi manusia yang berjaya, kita tidak perlu mencipta formula yang baru. Hidup saja berdasarkan panduan agama. Jika agama kita suruh solat 5 waktu, maka kita tunaikan ia dengan penuh khusyuk dan betul. Islam adalah agama cara hidup. Dari sebesar jihad, sehinggalah tidur, Islam telah aturkan segalanya.

Mengapa saya masukkan agama ke dalam cara untuk berjaya? Mudah sahaja jawapan saya. Renungkan kembali salah satu lafaz dalam laungan azan, “marilah menuju kejayaan”. Azan adalah syiar Islam. Dalam azan ada perkataan kejayaan. Maka sudah pasti untuk berjaya, kita perlu melalui jalan-jalan yang telah dipandukan oleh agama ini (Islam).

3. Perancangan berkompaskan kiblat yang satu

Ya, “kiblat yang satu”. Bersama kita bermuhasabah seketika. Selama ini kita merancang untuk menjana keuntungan, malah mungkin bercita-cita mahu menjadi jutawan. Rakusnya kita…. Mengapa saya berkata kita rakus? Kerana kita hanya mendahulukan “akaun bank” kita semata-mata, tanpa sedikit pun mahu memasukkan zakat dan sedekah ke dalam salah satu misi dan visi kita.

Usaha untuk membina umat yang gemilang adalah lebih mulia di sisi Allah berbanding bermatlamat mengisi poket sendiri, di mana setelah ada lebihan, baru diberikan kepada orang lain. Mulai hari ini, mari kita lakukan begini. Setiap perancangan yang kita lakukan, tetapkan sekian peratus untuk kita salurkan kepada pihak yang memerlukan.

Mungkin ada yang tertanya, apa maksud perancangan berkompaskan kiblat yang satu? Maksudnya, walaupun perancangan perniagaan adalah perkara keduniaan, namun apabila diselarikan dengan perkara-perkara yang mulia, insyaAllah perancangan, usaha dan hidup kita sentiasa dipermudahkan dan dilindungi oleh Allah.

4. Kebalkan Fokus dengan Zikir

Selama ini kita mencari formula fokus. Begitu juga saya. Jauh benar kita mencari formula fokus sehingga membelek-belek buku tebal orang Barat, walhal ia hanya di hadapan mata kita dan sudah ada pada diri kita. Cuma mungkin kita tidak sedar.

Untuk fokus, salah satu cara adalah dengan berzikir. Zikir bukan sahaja bermaksud mengucapkan dengan lidah, tetapi sentiasa ingat kepada Allah dalam apa jua keadaan. Setiap kali kita tersalah langkah (tidak fokus atau bertangguh), ucapkan nama Allah sehingga kita berasa tenang. InsyaAllah kita kembali fokus.

Kita ambil satu kaedah yang Islam ajarkan kepada kita apabila kita marah, iaitu beristighfar, berdiri jika duduk, duduk jika berdiri, atau berjalan-jalan seketika, dan mengambil wuduk. Akhirnya kita kembali tenang (fokus), malah berasa bersyukur kerana jika kita marah memaki hamun, kita akan menyesal.

Begitulah Islam yang sungguh indah. Makna zikir adalah “ingat”. Setiap kali kita lalai, berzikirlah kepada Allah dan ingatlah kembali perkara yang perlu kita lakukan. Selaraskan ini semua dengan keikhlasan, pahala dan dosa. Jika kita ikhlas, maka fokus sampai siap. Jika ikhlas, maka kita mendapat pahala. Jika berjanji, tetapi mengabaikannya (tidak menunaikannya), kita mungkin akan mendapat dosa.

Dalam perniagaan Internet, sebaiknya fokus kepada satu bidang perniagaan sahaja untuk satu tempoh sehingga ia benar-benar memberikan keuntungan yang besar. Besarkan perniagaan itu dan kembangkan ia sehingga kemuncak. Kemudian bukalah bisnes baru jika mahu.

Kedua, fokus pada teknik-teknik pengurusan dan pemasaran yang berkesan dan efektif. Kekalkan cara-cara yang terbukti memberikan hasil. Terokai cara lain dari semasa ke semasa.

5. Susun semula masa agar Allah sentiasa bersama kita

Ambil masa 5 minit, dan ingat kembali hidup kita sehari-hari. Kita jauh dari Allah, ataupun Dia selalu bersama (dekat) dengan kita?

Hidup seorang Islam yang sentiasa dipenuhi dengan pengisian yang berfaedah, sudah pasti Allah lebih dekat dengan dirinya. Pengisian itu bukan semata-mata ibadat khusus, tetapi bermaksud pengisian hidup yang sentiasa mendekatkan kita kepada Allah.

Bandingkan A dan B:

A: Bangun jam 7.15 pagi. Bergegas mandi dan terus ke tempat kerja tanpa bersolat subuh. Rehat sejam di waktu rehat, diluangkan untuk berborak-borak dan 5 minit terakhir rehat itu baru untuk solat zuhur. Jam 5 petang, balik kerja. Dalam kesesakan jalan, memaki-maki pemandu lain. Sampai di rumah jam 6.30 petang, terus baring sampai jam 7.45 malam. Kemudian baru mandi dan selepas itu keluar makan sehingga jam 9 malam. Kembali ke rumah, menonton TV sampai jam 11 malam. Dan kemudian tidur tanpa berwuduk dan solat isyak. Tidur pun tidak menukar pakaian…

B: Tidur jam 11 malam. Sebelum itu berwuduk dan solat dua rakaat, kemudian membaca Al-Quran satu muka surat. Berdoa kepada Allah agar mengampuni dosa-dosa dan kesalahan semalam dan mengakui dirinya terlalu lemah. Mengemas tempat tidur, berbaring dan membaca ayat-ayat Quran dan doa.

Bangun tidur jam 5.30 pagi. Bersyukur kepada Allah dengan membaca doa bangun tidur. Kemudian terus mandi menyegarkan badan. Bersiap untuk solat fardhu subuh. Membaca satu muka surat Al-Quran. Jam 7 pagi bertolak ke tempat kerja lebih awal. Di pejabat, bekerja dengan amanah, jujur, tidak ‘mencuri tulang’, sabar dan berbaik sesama pekerja lain.

Balik kerja, terus membersihkan diri dan mandi. Jika belum solat Asar, selesaikan ia dahulu. Berehat (atau terus makan malam) sambil tunggu waktu maghrib. Selepas solat maghrib, mengaji Quran atau membaca sehelai dua buku agama atau pembangunan diri.

Tunaikan solat isyak dan berzikir. Kemudian aktiviti ‘bebas’ yang berguna sehingga jam 11 malam.

Apakah beza A dan B? Sudah pasti cara hidup mereka. Tidak dinafikan, kita tidak boleh menuduh seseorang berdasarkan cara hidup mereka yang nampak teruk pada mata kita. Sebenarnya, kita hanya perlu melihat diri kita sendiri. Orang lain, biar mereka sendiri yang berusaha untuk mengubah diri mereka. Jangan sesekali mengatakan seseorang itu berdosa, rosak atau jauh dari Allah. Itu bukan urusan kita.

6. Bangunkan Diri dengan Ilmu dan Semangat

Tanpa ilmu, kita tidak akan ke mana-mana. Tetapi kita tidak akan berusaha apa-apa jika tidak ada semangat dalam diri. Semangat ini jika dispesifikkan, ia adalah keberanian, kesungguhan dan keazaman yang membara. Hidup dengan lesu sudah pasti tidak akan mengubah kita menjadi lebih baik berbanding semalam.

Belajarlah selagi mana kita mampu belajar, sama ada ilmu agama ataupun duniawi. Kemudian kemudikan ilmu-ilmu itu dengan semangat untuk bertindak (melakukan) sesuatu yang akan menjanakan hasil yang baik kepada kita dan orang lain.

Soalnya, bagaimana semangat boleh diwujudkan dalam diri? Ia bergantung kepada matlamat awal dan akhir kita. Ia terserah kepada diri masing-masing. Biasanya, kita bersemangat apabila kita tidak mahu lagi jatuh ke bawah, atau kembali hidup susah. Kita tidak mahu lagi menghadapi kesusahan atau perkara yang amat menyakitkan.

7. Bertawakal dengan Ilmu, Perancangan dan Usaha Bersungguh-sungguh

Ada orang yang bertawakal, tetapi melakukan sesuatu tanpa ilmu yang cukup. Maka tawakal (sikap berserahnya) itu tidak sempurna. Ada juga orang yang bertawakal, tetapi melakukan sesuatu tanpa merancang terlebih dahulu. Akhirnya dia melakukan perkara secara tidak terurus. Maka tawakalnya juga tidak cukup syarat.

Ada juga orang yang berilmu dan merancang, tetapi berusaha secara biasa-biasa (ala kadar). Maka adakah tawakalnya kepada Allah itu sempurna? Sudah pasti tidak.

Tawakal yang sempurna adalah tawakal selepas melakukan sesuatu dengan ilmu, perancangan yang tersusun, usaha yang bersungguh-sungguh dan berdisiplin. Maka barulah kita boleh berserah kepada Allah.

Kesimpulan

Maaf jika tip-tip di atas adalah lebih kepada dalaman diri. InsyaAllah pada artikel lain saya akan tulis dari segi ‘taktikal’ pula. Saya yakin, jika dalaman kita “sempurna” dan “bersih”, sudah pasti perjalanan hidup kita lebih baik dan mudah. Mudah dalam erti kata, datanglah ujian yang besar, namun kita dapat atasinya dengan sabar dan mudah (kerana dibantu oleh Allah).

Saya doakan semua pembaca blog ini berjaya pada tahun 2013 Masihi.

Ingat… Tetapkan satu matlamat besar sahaja! πŸ˜‰

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

12 thoughts on “Bagaimana Berjaya Pada Tahun 2013

  1. Pertama sekali, selamat kembali semula tuan setelah sekian lama ‘menyepikan’ diri πŸ™‚

    Seperti biasa, perkongsian yang amat baik bagi permulaan tahun 2013 kali ini. Membawa minda melayang cuba memuhasabah diri kembali, mengenal sejauh mana diri ini kenal diri sendiri.

    Didoakan semoga kita semua beroleh segala matlamat yang telah dipasak pada awal tahun baru kali ini. Inshaa Allah πŸ™‚

  2. Terima kasih Tuan Zul atas perkongsian tips untuk membezakan “matlamat” dan “perkara mahu buat”.Selamat tahun baru 2012

  3. Perkongsian yang hebat.. Pengalaman saya sendiri di fasa akhir tahun 2012, saya diketemukan dengan 3 insan hebat yang sangat berjaya. Soalan saya pada kesemua mereka adalah “saya telah berusaha gigih, siang & malam, teapi kenapa kejayaan belum dapat? Jawapan mereka hamoir sama.. Andainya Allah bagi kekayaan pada hari ini, adakah kita bersedia? hati kita adakah bersih dan suci agar kita tidak sombong dan bongkak? adakah kekayaan yg diberikan akan bawa kita ke masjid atau ke tempat maksiat? adakah kita akan bayar zakat? dan banyak lagi.. Tip yang diberikan ada 20 semuanya dan dikongsi di blog saya.”Amalan Kunci rezeki”

  4. Tip dan formula Melayu untuk berjaya ini banyak, maka setuju sangat supaya jangan terlalu ghairah membelek buku tebal orang barat untuk mencari tip dan formula kejayaan.

  5. Semoga kita sama-sama cemerlang di dunia & di akhirat. Ada satu persamaan yang saya perasan (instinct) dari penulisan saudara Mohd Zulfadli. He explains through his own experience πŸ˜‰

  6. Alhamdulillah………. saya suka membaca tulisan tuan yang ini.

    Prof. Dr. Muhaya pun selalu berpesan, “Kalau kita mula memperbaiki diri kita sendiri, insha Allah dunia luaran kita juga akan turut berubah.”

    Terima kasih. Tulislah lagi.

  7. Salam smartzul. Artikel ini menarik dan sangat bermanfaat. Bila membaca terasa diri ini sudah agak jauh dan perlu lebih hampir kepada aturan hidup yang telah ditetapkan oleh agama. Terima kasih atas artikel ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *