Apabila Sudah Kaya Dan Berjaya

Apabila kita sudah kaya dan berjaya, maka awasilah diri agar tidak lupa asal kita yang tiada apa-apa.

  1. Elakkan mudah mengkritik orang lain yang masih belajar dan baru bermula.
  2. Elakkan berasa bangga diri dengan pencapaian dan harta yang dimiliki.
  3. Kurangkan penggunaan perkataan “saya” dalam percakapan dan penulisan. Biasanya, orang yang menggunakan perkataan saya dalam penulisan ada sifat ‘keakuan’ dan bangga diri (walaupun tidak berniat). Cukup memadai menyampaikan informasi dan perkongsian ilmu tanpa perlu berbahasa “saya”.
  4. Ringankan tangan untuk membantu orang lain berjaya pula.
  5. Ringankan tangan untuk berkongsi ilmu dengan menulis atau lain-lain cara.
  6. Kembalikan segera segala pujian dan pujaan daripada manusia, kepada yang lebih berhak iaitu ALLAH S.W.T. Pujian yang berlebih-lebihan adalah virus yang amat berbisa mampu memusnahkan jika tidak diurus dengan baik.
  7. Harta yang banyak dan pencapaian yang amat sukses adalah satu ujian.
  8. Jangan merendah-rendahkan pencapaian kecil orang lain. Semua orang bermula dari bawah sebelum mencapai tahap teratas.
  9. Bersyukur, bersyukur dan bersyukur pada setiap masa.
  10. Awasi sifat kedekut. Pengalaman saya memerhati, ada segelintir orang yang banyak duit mahu ‘benda percuma’ padahal mereka amat mampu membeli buku-buku, ebook dan panduan yang amat kecil harganya. Jika orang yang kurang berduit mampu membeli, mengapa tidak orang yang kaya-raya? Mereka marah jika orang tidak membeli produk mereka, tetapi mereka amat berkira-kira untuk membeli produk orang lain padahal mereka amat perlu.

Akhir kata, ALLAH memberikan rezeki kepada kita untuk kita sampaikan juga sebahagiannya kepada orang lain. Ia bukan milik kita sepenuhnya. Maka sebab itu diwajibkan zakat dan digalakkan bersedekah.

Kita tidak akan ‘GAGAL’ dalam erti kata sebenar jika kita sentiasa ingat siapa diri kita dan asal kita yang tiada apa-apa. Setinggi mana kita terbang ke langit, tanah tempat asal berpijak sesekali tidak dilupai.

Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang dimaksudkan oleh peribasah Melayu ini, “Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk.”

Nasihat ini adalah untuk diri saya sendiri dan kepada para usahawan yang sudah dan akan mencapai kejayaan dan kekayaan. Sekadar melunaskan saranan ALLAH S.W.T dari Surah Al-‘Asr agar saling ingat mengingati (berpesanan) supaya mentaati kebenaran dan menetapi kesabaran.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

13 thoughts on “Apabila Sudah Kaya Dan Berjaya

    1. Gunakan bentuk ayat pasif. Hal ini kita semua telah belajar di sekolah dahulu. Boleh cuba Google berkenaannya.

      Apa pun, bergantung pada situasi dan tujuan. Dalam keadaan tertentu, kalau perlu guna ‘saya’, gunakan saja. Cuma apa yang mahu dikatakan, kalau terlalu asyik ‘saya’, saya, saya dan saya, usaha marketing kita tidak akan bertahan lama. Dalam marketing, 99% mengenai “you”. Apa yang kita dapat bantu orang lain? Perlu bantu mereka mencipta cerita mereka sendiri, selain menulis cerita-cerita kita.

  1. Salam Tuan SmartZul.

    Izinkan saya untuk bertanya, juga berkaitan dengan no.3.

    Bagaimanakah penggunaan ‘saya’ di dalam penulisan blog peribadi, adakah ianya seperti bangga diri?

    Risau juga, kerana selama ini saya menggunakan bahasa diri ‘saya’.

    Terima kasih kerana jawapan yang diberikan. 😉

    1. Salam Tuan Hadi,

      Soalan yang baik. Tidak salah menggunakan perkataan ‘saya’ dalam blog peribadi. Sebab namanya pun sudah peribadi. Atau, seimbangkan sahaja penggunaannya tidak kurang dan tidak lebih.

    1. Salam,

      Bergantung kepada keadaan, situasi, tujuan penulisan dan beberapa perkara lain. Setiap orang perlu tahu apa matlamat penulisan mereka. Dari situ kita dapat menentukan perlu atau tidak menggunakan perkataan ‘saya’.

      Untuk memudahkan, cuba bezakan dua ayat berikut untuk melihat yang mana satu tinggi ‘keakuannya’:

      A: “Saya berusaha siang malam dan akhirnya saya telah memiliki kereta mewah ini.”

      B: “Kereta mewah ini tidak akan mampu dimiliki jika tiada usaha dan kerja keras siang malam.” — Selepas menulis ayat B ini, letakkan gambar kita bersama kereta mewah tersebut.

      Pada hikmah tuan, ayat mana yang mampu mempengaruhi tuan dan membuatkan tuan mahu lebih mengenali individu yang sukses tersebut?

      Ini baru mengenai perkataan SAYA. Belum lagi mengenai penggunaan ANDA, ANDA dan ANDA.

      Apa pun, setiap orang ada cita rasa penulisan masing-masing. Gunakan mana yang sesuai. Buat masa ini, saya lebih suka kurang menggunakan perkataan saya melainkan perlu.

      ps. Artikel yang kurang perkataan saya akan memudahkan kita menggunakannya sebagai kandungan buku, ebook dan lain-lain bentuk penyampaian. Tidak perlu edit banyak bahagian.

  2. Salam Tuan Zul.
    Kalau seseorang itu tahu asal-usulnya dan tahu bersyukur dengan kurniaan yang diberi olehNya, pasti tidak akan alpa dan lalai dengan ujian kekayaan yang dimiliki itu.

    Bersyukur, bersyukur, bersyukur. Selalu muhasabah diri.

  3. benar. sebab tu kita seharusnya wajib bersyukur dengan apa yang kita kecapi sekarang. Jangan mudah sombong diri dan berbangga diri dengan apa yang kita ada. Bersyukurlah seadanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *