Home » Buat Duit di Internet » 9 Formula Mencipta Kejayaan Bisnes Internet

Melihat kisah Mark Zuckerberg membina empayar Facebook bermula tahun 2006, sehingga syarikat itu mempunyai aset lebih daripada 1 bilion dolar, merupakan satu kisah yang menakjubkan. Meskipun Mark Zuckerberg memperoleh gelaran sebagai bilionair termuda di dunia, pada beliau wang bukan menjadi ukuran kejayaan.

Pasti kita hairan mengapa rata-rata pemula yang memulakan bisnes, kerana mahu memperoleh wang semata-mata sering mengalami jalan kebuntuan atau kegagalan. Dalam satu kajian yang telah dibuat oleh pihak Forbes, individu yang melakukan bisnes demi mengejar wang akan mengalami tiga situasi iaitu:

  • Akan menemui jalan buntu meskipun empayar bisnes sudah berkembang.
  • Sanggup melakukan perkara-perkara kotor, demi mendapatkan wang.
  • Tidak mempedulikan apa jenis bisnes selagi ia menguntungkan.

Dalam mana-mana bisnes, pegangan, disiplin dan konsep untuk berjaya tidak lari jauh. Salah satu daripada kajian Bill Murphy dalam bukunya The Intelligent Entrepreneur menyatakan, hampir 90% daripada usahawan yang lahir dari Universiti Harvard mempunyai persamaan yang ketara iaitu:

  • Tidak pernah mengaku kalah.
  • Minat adalah punca menjalankan bisnes, wang hanya bonus untuk menyara kehidupan.

Apakah Formula Untuk Berjaya Dalam Bisnes Internet?

Melihat dua persamaan di atas, adakah ia dapat membantu kita untuk berjaya dalam bisnes internet? Jawapannya mengikut persepsi kita. Namun dalam entri ini, kita akan ditunjukkan 10 formula yang sentiasa berkait rapat dengan mana-mana pemilik empayar bisnes internet, yang berjaya dalam perniagaan mereka.

Formula #1 – Bisnes yang Mempunyai Perancangan

Idea yang hebat tidak semestinya akan menjamin kejayaan bisnes. Kata Ainon Mohd, pengerusi syarikat PTS Publication Sdn Bhd, asas bisnes adalah menjual produk dan servis yang dimahukan pasaran. Idea semata-mata akan menyebabkan kita menghiraukan asas bisnes ini.

Bisnes yang mempunyai perancangan asas menunjukkan pemiliknya benar-benar mahu membina bisnes itu. Sebagai contoh, jika kita mahu memulakan bisnes kain batik, kita sudah mempunyai rancangan untuk membuka stor di mana, siapa bakal pembeli kita, apa teknik pemasaran yang akan kita lakukan, dan lain-lain lagi.

Formula pertama ini juga merupakan asas kepada semua bisnes. Kita wajib memiliki perancangan. Ada satu pepatah orang Arab menyebut, “Orang baik yang merancang akan kalah ke tangan orang jahat yang merancang.”

Formula #2 – Fokus Pada Visi dan Misi

Visi adalah perancangan jangka masa panjang dan misi pula perancangan jangka masa pendek. Kedua-dua ini memainkan peranan penting untuk kita kekal fokus dalam bisnes. Majoriti pemula yang memulakan perniagaan tidak memiliki kedua-duanya.

Ini menyebabkan mereka seringkali terjerumus dengan satu demi satu bidang bisnes yang baru. Tidak sampai seminggu, Ali (bukan nama sebenar) yang dahulunya memulakan perniagaan batik ingin memulakan perniagaan emas.

Visi dan misi dapat membendung daripada situasi di atas berlaku pada kita. Ia juga dapat membantu kita untuk terus berada dalam landasan yang betul dalam bisnes yang kita ceburi. Selagi visi dan misi kita tidak tercapai, maka teruskan usaha.

Formula #3 – Bisnes Syariah Compliant

Istilah syariah compliant ini diperoleh daripada syarikat PTS Publication Sdn Bhd. Secara asasnya, bisnes yang mempunyai pegangan ini mempunyai banyak kelebihan di dunia dan akhirat. Antaranya adalah:

  • Pembeli yakin dengan produk yang dijual.
  • Kita sebagai peniaga tidak mengambil rasuah untuk berbisnes.
  • Bantu membantu antara bisnes lain.
  • Tidak mengamalkan bisnes under table.
  • Allah S.W.T akan merahmati perjalanan bisnes kita.

Perbalahan isu syariah compliant ini berlanjutan sehingga hari ini. Namun sebagai seorang yang dahagakan kejayaan dari sudut islamik, kita wajar menitikberatkan pegangan ini dalam bisnes yang kita jalankan.

Formula #4 – Kita Hanya Gagal Jika Mengaku Kalah

Peroleh kemenangan atau mati syahid. Ayat daripada buku novelis sejarah Islam, Abdul Latip ini dapat menggambarkan formula keempat ini secara keseluruhan. Jika kita baca perkongsian daripada usahawan yang berjaya, kesemua mereka mempunyai sifat pejuang.

Ini kerana adat bisnes adalah naik dan turun. Kita perlu bersedia pada bila-bila masa. Hari ini pelanggan kita mungkin ramai, dan jualan kita meningkat. Tetapi hari esok mungkin pelanggan memulangkan semula produk kita, dan meminta ganti rugi.

Sebagai seorang usahawan, kita tidak boleh mengalah jika menghadapi sebarang cabaran besar. Anggap ia sebagai batu loncatan untuk memperoleh kejayaan yang lebih besar. Dalam satu ayat Al-Quran menyatakan, “Allah lebih tahu daripada apa yang kita tahu.”

Ayat ini seperti memberitahu kita Allah S.W.T tahu akan kebaikan yang akan diperoleh, selepas berlakunya kejadian yang tidak akan kita ingini. Pemilik bisnes mesti bersikap tabah dan memiliki sifat seorang pejuang.

Formula #5 – Penuhi Niat Untuk Berbisnes

Niat memulakan bisnes dalam sisi Islam adalah untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah S.W.T, serta menjadikan ia sebagai bekalan selepas mati. Apabila kita mempunyai niat untuk menubuhkan perniagaan, kita akan menyediakan produk dan servis yang memenuhi keperluan pelanggan.

Dengan erti kata lain, kita menolong pelanggan untuk memberikan apa yang mereka perlu. Bagi yang masih lagi ragu-ragu untuk berbisnes, maka baca semula formula ini. Jangan terpengaruh dengan kata-kata orang yang tidak pernah berbisnes, seperti, “Tak perlu bisnes-bisnes, nanti kena maki hamun dengan orang.”

Jika niat kita baik, maka kita tidak perlu risau dengan keadaan sekeliling apabila membangunkan perniagaan. Tuhan akan membantu kita.

Formula #6 – Lakukan Apa yang Usahawan Lakukan

Buku E-Myth Revisited menerangkan tugas seorang usahawan bukan melakukan semua kerja-kerja teknikal. Sebagai seorang usahawan, kita banyak memerlukan daya fikir yang menghasilkan kreativiti dan inovasi.

Tugas-tugas teknikal perlu diberikan kepada pekerja kita yang mempunyai kepakaran, dalam bidang masing-masing. Jika kita lakukan segala-galanya dalam bisnes, kita akan kekurangan masa untuk mencambah idea baru, serta kekurangan masa untuk melakukan ibadat.

Sebagai contoh, Aminah (bukan nama sebenar) merupakan pengusaha bisnes kek. Kedai beliau yang terletak di Gombak dibuka pada pukul 8 pagi hingga 10 malam. Aminah mempunyai 2 orang pekerja, tetapi beliau juga turut melakukan kerja-kerja teknikal, seperti membuat kek, menguruskan tempahan dan sebagainya.

Akibat daripada melakukan kerja-kerja ini, Aminah sedar beliau kekurangan masa untuk bersama keluarga yang tercinta. Ini kerana beliau pulang ke rumah sekitar 3 pagi. Ketika itu anak-anaknya sudah tidur. Aminah juga sedar beliau tidak lagi mempunyai masa untuk beribadat pada waktu malam, kerana badannya letih selepas pulang dari kerja.

Cerita di atas adalah contoh daripada seorang insan yang tidak mengamalkan aktiviti, yang harus dilakukan oleh usahawan. Usahawan tidak melakukan kerja-kerja teknikal. Jika tuan dan puan masih belum berkemampuan untuk mempunyai pekerja, kumpul dan simpan duit syarikat untuk dilaburkan kepada para pekerja.

#7 – Sedar Mati Hanya Menunggu Kita

Usahawan mempunyai dua kemungkinan, iaitu terjerumus dalam bisnes yang melibatkan perkara yang baik-baik dan sebaliknya. Dalam buku Indahnya Kematian, penulis menyatakan individu yang selalu ingat mati adalah individu yang dapat mengelakkan diri, daripada terjerumus dalam pengakhiran yang tidak baik.

Menyedari mati juga akan membuatkan kita berjuang sehabis baik dalam bisnes. Ia tidak ubah seperti berjihad untuk melakukan kebaikan. Oleh itu, setiap kali sebelum tidur, katakanlah pada diri kita, “Adakah apa yang aku lakukan hari ini diberkati Tuhan?”.

#8 – Perbanyakkan Mentor

T. Harv Eker, jutawan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang keusahawanan dan motivasi ini memberitahu, manusia boleh mencipta kejayaan dengan pantas hari ini, kerana kita dicipta sebagai insan yang mudah meniru perilaku orang lain.

Jika kita mahu berjaya dalam bisnes batik, maka kita perlu cari individu yang berjaya dalam bisnes batik. Sama juga seperti bisnes internet, kita perlu mencari mentor yang sudah berjaya dalam bisnes ini.

Tujuan mentor adalah untuk mengekalkan fokus bisnes kita, serta melihat aktiviti dan gaya fikir mereka dalam membuat sesuatu keputusan, yang melibatkan pembangunan bisnes. Dengan mempunyai mentor, kita dapat mengurangkan risiko kegagalan, dan mempercepatkan proses kejayaan.

Mentor juga tidak terhad pada seorang. Kita perlukan pelbagai mentor untuk pelbagai aktiviti lain. Contohnya, jika kita mahu memasak, jadikan Chef Wan sebagai mentor masakan.  Jika mahu tahu cara melaburkan wang yang ada, kita boleh belajar daripada Azizi Ali.

Formula #9 – Menggagalkan Diri Berkali-kali

Formula ini melibatkan keberanian dan kepercayaan yang tinggi pada diri sendiri. Jika sebelum ini kita pernah gagal, kita mesti menganggap ia sebagai satu lagi langkah ke arah kejayaan.

Dalam satu temubual bersama Anik Singal, individu yang membangunkan bisnes internet bernilai lebih USD1 juta dalam masa satu tahun menyatakan, untuk berjaya dalam bisnes internet, kita perlu gagal berkali-kali. Ini kerana kegagalan dapat mengajar kita erti berkreativiti dalam bisnes.

Anik juga pernah gagal dalam bisnes internet lebih daripada 7 kali. Beliau juga pernah mengalami kerugian ketika menjalankan bisnes ini. Namun semua itu tidak menjadi penghalang, jika kita menganggap setiap kegagalan akan membantu kita mempercepatkan proses kejayaan.

Cukup 9 Formula, Mulakan Sekarang

Satu pepatah Arab menyatakan, masa itu ibarat pedang. Jika kita lambat, ia akan memotong kita. Sama juga situasinya ketika kita sedang membaca entri ini. Jangan menunggu masa yang sesuai, kerana ia tidak akan tiba.

Apa yang perlu kita lakukan adalah bertindak. Lakukan satu langkah yang kita rasakan ia adalah langkah pertama. Jika langkah pertama kita pergi ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) untuk mendaftarkan nama perniagaan, maka lakukan sekarang.

Usahawan perlu bertindak pantas. Ini kerana usahawan sentiasa bersikap optimistik dan cepata mengambil peluang.

Biodata Penulis

Aqif Azizan dan Hasbul Aqill adalah pemilik blog perniagaan terkemuka di Malaysia. Mereka juga merupakan usahawan internet sepenuh masa, dan mahu menolong orang ramai membina perniagaan menerusi Majalah Niaga. Dapatkan juga informasi perniagaan secara santai di Komik Niaga.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.
Share

13 thoughts on “9 Formula Mencipta Kejayaan Bisnes Internet

  1. sayacomel says:

    yap, jangan mudah mengaku kalah dan putus asa.

  2. Hanafi Wawi says:

    Dalam formula no 9 tu bagaimana yang dikatakn menggagalkan diri berkali-kali, adakah kita kena gagalkan diri dulu beberapa kali dan lepas tu baru berusaha untuk berjaya atau sebaliknya.

    Mengikut kefahaman saya, dalam bisnes kegagalan itu memang lumrah dalam bisnes dan kita tak perlu menggagalkan diri kalau dah tahu perkara yang kita buat tu boleh menempa kegagalan jadi kita pilihlah jalan menuju kejayaan.

  3. Aidil says:

    gagal dalam percubaan pertama itu biasa,
    gagal yang sama pada cubaan kedua itu binasa.

    konsep post-mortem (refleksi) mesti diamalkan selepas melakukan sesuatu pekerjaan.

  4. Mr Mantra says:

    Sati artikel yang membakar semangat.
    Thanks saudara zul, saya akan dalami
    mesej2 penting dari artikel ini…

  5. Salam zul,

    Cukup hebat 9 formula yang dikongsikan di atas. Dan sebahagian daripadanya merangkumi dari aspek keagamaan.

  6. RaziZainon says:

    Pada saya formula ke 3 amat berbisa(dan kena ikhlas melaksana)Jika dilihat dari pelaksanakannya,ia mungkin formula paling akhir difikirkan.

    Nmuan dari segi kesan,ia paling hebat kerana sebab musabab melaksanaknnya hadir dari hati.

    Perbalahan dalam hal ini,saya yakini dapat diredakan (penyelesaian) dengan konsep sebaran produk atau ilmu secara sukarela.

    Terdapat pengusaha maklumat menggunakan konsep derma.Tak derma?tak apa selagi apa yang dihasil dapat disebarkan:)

  7. yushjas says:

    Perkongsian ilmu yang memberi manfaat.
    Terima kasih.

  8. afzal laidin says:

    bukan sahaja membakar semangat tapi memberi peringatan.
    Formula #9 tu mmg agak susah nak diikuti. Ketahanan mental, fizikal yg kuat perlu untuk menghadapi kegagalan yg berkali-kali.

  9. maugemukcom says:

    Agi idup agi ngalaban. Selagi hidup jangan mengaku kalah!

  10. oswald says:

    Salam,

    Terutama Pemilik Website ini
    saya masih baru di sini…

    Saya harap mendapat manafaat dan ilmu berguna di sini:)

    Saya nak Tahu Pendapat Anda Sekalian “KENAPA BANYAK LAGI YANG MASIH GAGAL” dalam perniagaan online walaupun telah mengunakan Tips Yang diberikan…

    Sekadar pandangan…
    Pada Pandangan Saya….Mungkin Ia Lebih Memerlukan “KESABARAN” Pandangan Anda Pula Bagaimana?….

    Terima kasih
    oswald

    1. smartzul says:

      Salam,

      Panjang jika mahu diulas. Namun suka untuk saya nyatakan, satu cara mudah untuk meraih hasil adalah belajar daripada mereka yang tahu kaedah yang benar-benar berkesan. Itu saja caranya.

      Kedua, kita perlu sentiasa memantau kaedah yang digunakan. Jika tidak mendatangkan hasil, ubahsuai kaedah sehingga meraih hasil.

      Ketiga, jumlah trafik perlu banyak, tidak cukup sekadar puluh-puluh orang sahaja. Ini kerana, kadar standard biasanya 1 daripada 100 orang akan membeli. Jadi perlu agresif dalam melakukan promosi.

      Keempat, bina senarai emel (mailing list). Ia adalah cara yang terbukti kaedah mudah dan cepat menghasilkan pendapatan.

      Kelima, belajar ilmu copywriting. Kemahiran ini penting untuk kita menulis ayat yang boleh membuatkan orang mahu membeli.

      1. oswald says:

        Perkongsian Bernamfaat…Terima Kasih

  11. oswald says:

    Salam,

    Saya setuju dengan saudara smartzul memang info yang bernas..Terima Kasih

    Saya dah habis Baca 9 Formula mencipta kejayaan memang perkongsian yang bermanfaat..

    Saya Suka Formula 6 “lakukan Apa yang usahawan lakukan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Current ye@r *

CommentLuv badge

Notify me of followup comments via e-mail. You can also subscribe without commenting.