7 Cara Mudah Membuat Rakan Facebook Suka Dan Selesa Dengan Kita
Pemasaran menggunakan Facebook atau laman web sosial yang lain, adalah sedikit berbeza dengan cara-cara yang lain. Ini kerana, pemasaran sosial sebegini adalah lebih kepada bentuk ‘komuniti’. Kita tidak boleh ikut suka hati sendiri sahaja atau hentam keromo.
Di Facebook, terdapat banyak cara untuk membuatkan orang sukakan kita atau dalam sebutan yang lebih enak, orang amat selesa dengan diri kita. Perkara ini amat penting di dalam bisnes iaitu seboleh mungkin, kita mahu elakkan seseorang ‘terluka’ akibat cara yang kita gunakan.

Di sini, saya senaraikan 7 cara yang boleh membuatkan rakan-rakan di Facebook selesa, suka, tersenyum, gembira dan sayangkan kita:
Cara 1. Jika mereka menulis sesuatu di bahagian status, memuat-naik sebarang imej atau menulis sesuatu di bahagian Notes, klik pada Like. Hanya semudah itu. Jika merasakan tidak pasti dapat memberikan komen terbaik, klik pada Like pun sudah memadai.

Semakin banyak jumlah Like yang diberikan kepada rakan lain, semakin gembira rakan FB tersebut. Dan kita semakin kerap klik Like, mereka semakin mengenali dan 'menyukai' diri kita.
Cara 2. Berikan komen atau pendapat yang bernas dan membuatkan mereka gembira. Elakkan memberikan pendapat yang bertentangan dengan kata-kata mereka walaupun kita boleh melakukan sedemikian. Pendek kata, sokong sahajalah benda yang baik dan betul. Bukan perlu dibayar pun. Malah, kita di FB adalah untuk mencari ‘kawan’, bukan lawan.

Contoh Komen Yang Positif
Cara 3. Apabila mereka ada menulis sesuatu pada bahagian Notes, kongsikan artikel (Notes) itu dengan menggunakan fungsi SHARE. Rugikah melakukan hal ini? Bukankah ‘sharing itu caring’… (Kalau ikhlas, dapat pahala).

Dengan menyebarkan tulisan mereka, betapa berterima kasih dan sukanya mereka terhadap kita.
Cara 4. Elakkan mesej atau sebarang tulisan yang berbentuk mengajar-ngajar orang lain seperti hanya kita yang betul dan orang lain salah. Contohnya:
“Kepada anda semua, Facebook, Facebook juga, sudah solat atau belum? Tidak baik lambat-lambatkan solat ok. Jangan lalai sangat dengan FB ni.”
Walaupun mesej di atas adalah baik dan bermanfaat, tetapi keburukannya adalah:
- Ahli FB lain akan terasa seperti dibodoh-bodohkan umpama mereka tidak tahu hal ehwal solat dan tidak sensitif terhadap hal Agama.
- Orang akan melihat kita sebagai orang yang riak kononnya hanya kita yang betul dan orang lain buruk-buruk belaka.
- Kelak apabila kita sendiri terbuat silap, padahnya akan terpalik semula ke muka kita. Jangan terlalu menunjuk pandai. Berpada-pada itu jalan terbaik.
Jadi, bagaimana mahu berkongsikan pesanan yang baik-baik atau kata-kata peringatan seperti yang saya contohkan di atas? Caranya adalah:
- Kongsikan informasi atau dalam ayat yang ‘pasif’. Contohnya: “Orang-orang yang menjaga solatnya, akan dijaga dirinya oleh Allah SWT.” Contoh lain: “Allah meletakkan orang yang menjaga solat pada kedudukan yang terbaik di sisiNya.”
- Tulis mesej dalam bentuk kata-kata atau dialog. Contoh:
Sebelum ustaz kesayangan kami menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau sempat berpesan, “Kamu jagalah solat fardhu sebaik-baiknya, jika kamu mahu berjaya di dunia dan di akhirat.”
Contoh bentuk dialog yang saya lakukan:

Dialog ini tidak ditujukan terus kepada rakan-rakan di FB walaupun tujuan sebenar adalah mahu menyampaikan mesej berkaitan kepada mereka.
Mungkin ada yang tertanya, adakah mesej berbentuk di atas akan sampai kepada pembaca? Jawab saya:
- Kita perlu tahu bahawa, di Facebook (rakan di senarai kita) ada pelbagai golongan. Ada ustaz, penulis buku, orang-orang lebih berusia daripada kita, ahli-ahli Agama, motivator dan pelbagai lagi. Secara asasnya, mereka adalah orang yang baik. Jadi apa kesannya jika kita mengajar-ngajar mereka? Maka sudah memadai sampaikan mesej dalam bentuk informasi sahaja seperti yang saya nyatakan di atas. Cara itu sungguh enak dan sedap dibaca.
- Jika mahu menegur dalam bentuk terus (direct), hubungi sahaja individu berkaitan melalui Inbox (mesej peribadi). Elakkan menulis secara terbuka. Jika mahu juga, gunakan cara kedua di atas (bentuk kata-kata). Contohnya:
Saya telah menasihati seseorang melalui mesej peribadi (Inbox) dengan berkata begini: “Saudara. Facebook adalah tempat untuk berkenal-kenalan dan saling berkongsi sesuatu informasi. Tetapi jikalau saudara melakukan SPAM di Wall saya atau melalui Inbox saya, adakah matlamat utama kita berkawan akan tercapai? Saya mohon saudara tidak melakukan SPAM lagi terhadap saya atau mana-mana ahli Facebook yang lain.”
Dengan cara di atas, orang lain yang membaca tidak akan terasa hati atau bersalah sangka terhadap kita kerana mereka faham bahawa, teguran dan mesej itu adalah bukan untuk mereka. Tetapi dalam masa yang sama, semua yang membaca akan mengambil pelajaran.
Cara 5. Menulis sesuatu yang santai yang boleh membuat orang gembira, boleh turut serta atau membuat mereka sedikit ketawa atau ceria. Cara ini akan menyebabkan hubungan akan terjalin dengan lebih baik. Contoh sebenar yang saya lakukan:

Dalam masa 19 minit, 21 buah 'interaksi' telah berlaku di antara saya dan rakan-rakan yang lain.
Cara 6. Dalam keadaan tertentu, sebutkan (tag) nama seseorang atau beberapa orang pada bahagian Status (post). Sedikit sebanyak cara ini akan membuatkan mereka rasa dihargai dan akan menjadikan kita lebih dekat dengan mereka. Pastikan lakukan dengan ikhlas, dan bukan semata-mata mahu mengambil perhatian mereka atau ada tujuan tersirat (udang di sebalik batu).
Contoh yang saya lakukan:

Hanya 6 nama sahaja boleh di-tag pada satu post status.
Bagaimanakah cara untuk Tag nama rakan FB? Tonton video berikut:
Pautan ke Video: http://www.facebook.com/video/video.php?v=181273154593
Cara 7. Mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan andai mereka menulis sesuatu mengenai kejayaan yang mereka perolehi. Jika mereka mengeluh perasaan, berikan kata-kata atau doa yang baik pada bahagian komen. Jika mereka bertanyakan sesuatu, jawablah sebaik mungkin.
Terjadi satu kes di mana, ada seorang ahli FB meminta pandangan dengan ahli FB yang lain, bagaimana beliau boleh menambah semangat perjuangan hidupnya. Lantas ada seorang ahli FB mengkritik dengan berkata, tidak perlu meminta pandangan orang lain, malah turut mengkritik si penanya.
Akibatnya, saya tidak pasti apa yang dirasai oleh si penanya. Mungkin rasa kecewa. Sepatutnya dalam keadaan tersebut, ahli-ahli (kawan) yang lain perlulah tiupkan semangat atau memberi tip kepada dirinya di saat beliau memerlukan kekuatan. Bukan menambah beban di hatinya.
Kesimpulan
Itulah tujuh cara atau kaedah mudah, bagaimana kita boleh membuatkan orang lain yang mengikuti kita di Facebook sukakan kita, sayangkan kita, rindukan kita dan selesa dengan kita.
Akhir kata, semua cara di atas adalah selaras dengan konsep komunikasi sesama manusia sebenarnya. Dan cara-cara di ataslah sebenarnya di antara kaedah bersosial di laman web sosial. Tidak kisahlah kita di Facebook, forum atau blog, seboleh mungkin kita cuba yang terbaik selagi ada nafas untuk melakukannya.
Semoga bermanfaat.









Terima kasih sdr zul, memang informasi yang hebat,cara satu tu memang senang tapi jarang buat. Sekali lagi terima kasih atas perkongsian ini.
panduan yg best..
Saya suka gambar matahari ini
Thanks bro zul 4 info…segala ilmu yang diberi adalah amat berharga..ilmu bukan senang dapat tetapi buang ilmu itu senang saja.
saya jugaaa…
Klik “like ” adalah cara paling mudah..
almaklum lah kalau rakan facebook dah beribu orang mungkin, mana nak terlayan untuk komen di setiap status mereka. huhu.. trimas atas tips tersebut. ada lagi teknik yg saya pun belum buat lagi :p
Kita tidak perlu klik semua orang. Tip di sini:
1. Masa kita sedang di FB, klik pada status kawan yang sedang aktif atau yang terkini.
2. Klik pada status kawan-kawan yang sudah kita kenali.
… jika tidak pasti dapat memberikan komen yang baik, cukup dengan 'like' saja.. dan saya terus mengamalkannya;-) Terima kasih Zul.
Tips yg berguna dan sememangnya best! Nak share kat facebook
ala….zul , akak kan tiap2 hari terapi senyummmmm celalu….buat hati bahgia….:))) ima acih gmbr tu hehehe…akak suka yahooooo!!!!!….
Tip yang menarik dan best, macam selalu
Nak share kat facebook ni…
Saya setuju dengan tips yang diberikan, seboleh-bolehnya untuk berFB mesti ada skill PR.
betul..betul..betul..
Ini artikel EMAS! Izinkan saya kongsi dengan rakan-rakan lain Tuan Zul.
Tidak boleh disangka lagi. Itu formula luar biasa menjalin hubungan akrab FB.Mungkin ada lagi tips yang menarik dari kawan-kawan yang lain ? Boleh dikompilasikan…
perkongsian yang menarik untuk saya.
Terima kasih, saya sudah kongsikan dngan para pembaca saa. Moga-moga ramai yang mendapat manfaat.
Sesuatu yg amat menarik utk dipraktikkan …
Selalu melihat status Smartzul untuk mengetahui cara yang terbaik. Good..
Kak Ida: Abg zul ckp xelok riak. hehe..
ala…gurau dlm fb pun tak lehhhh
hehe.. boleh je.. nk brlawak leh join my group.. group kisah lawak.. hehehe..http://www.facebook.com/group.php?gid=251774679152
Terima kasih semua. Kalau ada yang mahu tambah, saya amat suka.
Terima kasih semua yang SHARE artikel ini. Semoga dapat pahala berterusan.
Terima kasih semua, tidak dapat saya membalas setiap satu komen di sini. Saya amat menghargainya.
moga Allah memberikan lebih ilmu pada smartzul utk dikongsikan lagi dan lagi dan lagi..
Saya ada tuliskan TEORI cara mudah membuat rakan suka dan selesa dengan kita dalam buku terbaru saya. Tetapi tuan Zul sudah satu langkah di hadapan dengan menulis tips PRAKTIKAL dengan FB! Tahniah tuan!
artikel ini amat berguna.Sementelahan pula, sekarang ini FB digunakan bukan sahaja untuk mencari "kawan", tetapi juga mencari"lawan"…
tips yg berguna en. zul. terima kasih!!!
Idup tuan Zul!
))
sebuah artikel yang menarik dan padat dengan ilmu. syabas Tuan Zul di atas perkongsian berharga ini.
Panduan yg sangat bagus. Terima kasih
tips yang ringkas dan mudah namun ada impaknya..smartzul sendiri telah menunjukkan contohnya..thanks.
Sy suka sgt artikel ini.satu perkongsian ilmu yg baik.akan sy gunakan tip-tip yg diberikan sdr smartzul sebaik-baiknya…:)
Tip yang best.Saya nak try di facebook saya lah.Setakat ini saya belum menguasai penggunaan facebook saya.tapi kali ni saya nak aktif balik lah.Thanksks bro.
Artikel yang sangat baik. Mudah difahami oleh beginners mcm saya. Thanks so much.
Assalamualaikum.
Tuan Zul yang dikasihi, terima kasih kerana berkongsi info yang bagus. Sesetengahnya saya belum jumpa lagi.
Mungkinkah boleh saya menambah sedikit?
- Elakkan bermain games atau kuiz dan mengepos maklumat itu ke dalam status. Hal ini menyebabkan status rakan-rakan kita dipenuhi mesej update permainan dan dianggap sebagai spam. Sebahagian besar tidak suka membacanya dan merasa tidak selesa sekiranya kita melakukan sedemikian.
Sekiranya mahu bermain juga, boleh, tapi elakkan ‘bergaduh’ dalam games, dan elakkan mengepos mesej games ke status.
Terima kasih.
bagus ar tips ni..ade tip yg sy x terpikir pun..tima kaceh
bagus juga kalau kita ada facebook. facebook ada banyak kegunaannya.
saya dah mengambil post ini untuk berkonsi bersama para pembaca..dan saya terpaksa memadam sedikit maklumat kerana gambarnya terlalu besar untuk blog saya..maaf..
Tips yang amat mudah untuk kita ikuti tapi kadang-kadang kita tak terfikir sangat passal tu
Saya berterima kasih atas info ini.Mari kita mempraktikkan supaya tahap kewibawaan kita semakin mantap.
teruja nak try kat my FB..tq encik zul..
salam..info yang menarik..thanks encik zul…mintak izin nak copy, share ngan kengkawan..bleh ye…
terima kasih en zul…info yg sgt berguna…
Terima kasih kembali.