Tiga Perkara Penting yang Perlu Anda Utamakan dalam Perniagaan

Terlalu banyak buku yang telah kita baca, seminar, kursus dan membaca tip-tip di Facebook. Akhirnya kita pening kepala, apakah yang perlu kita fokus dalam perniagaan?

Dari sudut perjalanan perniagaan (tidak ambil kira soal pengurusan), berikut adalah tiga tindakan yang perlu anda lakukan dalam perniagaan. Tiga perkara yang paling perlu anda fokus.

1. Pilih satu jalan

Tetapkan satu jalan perniagaan yang anda mahu lakukan. Jangan lihat apa yang usahawan lain buat, tetapi apa yang boleh anda buat? Mula-mula pilih industri, niche, kemudian pilih pasaran yang anda mahu masuk dan kemudian baru sediakan produk.

Contohnya, saya memilih industri Information Technology. Pasaran saya adalah usahawan-usahawan online di Malaysia. Produk saya pula terdiri daripada produk informasi (ebook, video, kursus) dan juga perkhidmatan. Niche saya adalah lebih kepada teknikal online seperti website, WordPress, blog dan shopping cart.

Saya melihat ramai usahawan berjaya fokus pada satu perjuangan sahaja terutama pada permulaan. Malah ada yang menjadi jutawan dengan satu ‘jalan’ sahaja. Sudah banyak contoh sebegini. Jadi apa salahnya kita mencontohi mereka yang telah berjaya dan gunakan cara yang sama (iaitu mula dengan satu usaha perniagaan terlebih dahulu).

2. Fokus

Fokus adalah perkara yang paling penting. Kadang-kadang kita mahu berhenti apa yang kita sedang buat kerana melihat orang lain berjaya dalam bidang mereka, dan kita mahu lakukan apa yang mereka lakukan. JANGAN… Jangan ikut bisikan liar itu. Teruskan jalan yang telah anda pilih, melainkan bidang perniagaan anda sudah malap pasarannya ataupun ada sebab yang kukuh untuk anda berhenti.

Fokus juga adalah fokus dalam melakukan pemasaran dan jualan. Fokus juga dalam perkara-perkara dalaman seperti pengurusan perniagaan anda. Contohnya, anda perlu sentiasa merekodkan keluar masuk duit ke dalam satu rekod yang kemas. Lakukan secara konsisten.

Fokus juga bermaksud, fokus pada perniagaan dan perkara-perkara penting sahaja dalam hidup. Tangguhkan dulu “keseronokan” sehinggalah sampai masanya untuk anda “bergembira”. Anda perlu bekerja keras terlebih dahulu terutama pada peringkat permulaan perniagaan.

Fokus juga bermaksud, fokus pada strategi, teknik dan tatktik yang betul terutama yang telah memberikan hasil kepada anda. Jangan mencuba-cuba strategi baru jika ia boleh ‘membakar’ wang anda, melainkan anda mempunyai bajet khas untuk mencuba kaedah baru yang belum pasti.

3. Kembangkan

Jika anda berjaya menjual 10 unit produk pada hari ini, usahakan untuk gandakan lagi jumlah jualan pada hari-hari mendatang. Jika anda mempunyai 100 orang pelanggan setia pada hari ini, tingkatkan lagi menjadi lebih daripada itu. Jika anda mempunyai dua produk, tambah lagi produk. Jika anda mempunyai 50 orang pengedar, tambah lagi.

Anda perlu berkembang dari hari ke hari walaupun sedikit demi sedikit. Jangan melihat berkembang itu dari sudut yang besar terus. Ingat, sebuah kejayaan yang besar adalah terhasil daripada kejayaan-kejayaan kecil.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

One thought on “Tiga Perkara Penting yang Perlu Anda Utamakan dalam Perniagaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *