Penulis Bukan Editor

Apabila kita bercita-cita menjadi seorang penulis yang berjaya, faktor mahir tatabahasa dan susunan ayat bukanlah syarat wajib, sebaliknya ia adalah satu kelebihan jika memilikinya.

Mengapa ia bukan syarat wajib? Kerana apabila penulis terlalu memfokus kepada “betul dan salah” dalam penulisan, proses kreativiti dan penyudahan penulisan akan terganggu. Inilah punca kebanyakan orang tidak siap-siap dalam menghasilkan sebuah buku.

Bagi tulisan yang akan diterbitkan dalam bentuk buku melalui penerbit khususnya, pihak penerbit telah menyediakan kemudahan suntingan hasil tulisan (karya) yang dihasilkan oleh penulis. Suntingan itu dilakukan oleh editor yang dilantik. Penulis hanya perlu fokus kepada penghasilan isi kandungan yang berkualiti, manakala editor pula akan menyusun dan membetulkan mana-mana bahagian yang perlu.

Ia umpama sebuah rumah yang dibangunkan oleh individu yang berkemahiran (umpama seorang penulis), tetapi susun atur dan hiasan dalaman rumah adalah bukan kepakarannya. Ia adalah di bawah kepakaran interior designer (iaitu editor).

Jadi, jika anda mahu menulis buku, tulis dahulu sampai siap tanpa memikirkan perkataan dan ayat yang anda tulis itu betul ataupun salah. Kerja penulis adalah menulis, kerja editor adalah memperkemaskan lagi tulisan itu, termasuk menyesuaikan dengan garis panduan pihak penerbit.

Jika anda menerbitkan sendiri buku ataupun ebook, maka bagaimana mahu menyemak tulisan itu ada kesalahan ataupun tidak? Jawapannya, gunakan khidmat freelance editor. Begitu juga layout dalam buku atau ebook, dan juga cover buku, gunakan juga khidmat freelancer seperti designer yang boleh melakukannya.

Langkah Pertama Menjadi Usahawan Internet Berjaya

Mahu tidak mahu, kita tidak dapat nafikan hasil yang banyak yang diperolehi oleh sesebuah perniagaan Internet yang adalah salah satu ciri kejayaan.

Aliran tunai yang masuk ke akaun bank tanpa henti-henti (umpama sungai yang terus mengalir) adalah tanda bahawa bisnes yang dilakukan mungkin telah memenuhi beberapa faktor penting seperti menjual produk yang betul-betul ada permintaan atau potensi pasaran, dan juga usaha pemasaran yang dilakukan adalah agresif (bersungguh-sungguh) dan betul.

Jadi, salah satu langkah pertama untuk meraih kejayaan dalam perniagaan adalah meningkatkan kadar keuntungan dan hasil yang diperolehi. Ini boleh dilakukan dengan beberapa cara:

  • Jual produk yang orang mahu.
  • Pembelian berulangan.
  • Saiz pasaran tidak terlalu kecil.
  • Pemasaran yang betul.
  • Strategi tambah nilai.

Apabila hasil perniagaan diperolehi dengan begitu banyak, gunakan wang itu untuk mengembangkan lagi perniagaan, di samping membuat simpanan dan persediaan untuk hari-hari seterusnya. Bijak membuat duit dan bijak mengurusnya adalah dua kemahiran yang seharusnya ada dalam diri semua usahawan.

SmartZul di Harian Metro

Pada Harian Metro keluaran 30 Julai 2012 sisipan Bisnes, saya berpeluang untuk keluar dalam bahagian itu bagi soal jawab perniagaan Internet.

Saya telah ‘scan’ keratan bahagian itu untuk pembaca blog ini yang terlepas untuk membacanya atau mendapatkan satu naskhah akhbar Metro pada hari tersebut.

Klik pada imej di bawah untuk bacaan yang lebih jelas (besar).

Perniagaan Internet: Selidik Pasaran - SmartZul

Soal jawab ini adalah lebih kepada asas memulakan perniagaan Internet, perkara-perkara penting dan juga kepentingan melakukan penyelidikan / kajian pasaran.

Tiga Tahap Perniagaan Internet

Terdapat tiga tahap perniagaan, iaitu:

  1. Memulakan bisnes
  2. Menstabilkan bisnes
  3. Mengembangkan bisnes

Pada tahap pertama, kita memerlukan banyak masa, tenaga dan kos untuk membina sebuah perniagaan. Ia umpama membina sebuah rumah dari membina tapak sehinggalah siap sebuah rumah yang boleh didiami. Pada peringkat permulaan, biasanya kita akan bermula seorang diri ataupun bersama seorang rakan niaga.

Pada peringkat kedua, katakan bisnes telah maju ataupun telah beroperasi dengan baik, salah satu aspek yang kritikal adalah jumlah pendapatan sentiasa stabil ataupun berada dalam kawalan. Pada ketika ini, apakah usaha yang boleh dilakukan agar perniagaan terus dapat survive dalam apa jua keadaan dan mendapat hasil yang sewajarnya.

Pada peringkat ketiga, iaitu di saat perniagaan telah stabil dan maju, ia perlu dikembangkan lagi agar hasil pendapatan dan keuntungan dapat digandakan. Jadi, apakah strategi yang boleh dilakukan? Mungkin melaburkan lebih banyak wang untuk pemasaran, membuka cawangan dan membuka bisnes yang berbeza tetapi masih dalam bidang yang sama.

Soalan cepu emas di sini adalah, selepas kita selesai melalui tiga tahap di atas, apakah yang akan berlaku seterusnya? Setiap sesuatu pasti ada kemuncak dan ‘akhirnya’. Saya akan berikan jawapannya dalam bahagian komen di bawah. 🙂

Enam Peringkat Usahawan Internet

Peringkat 1: Buat duit poket

Peringkat 2: Sampingan serius (part time)

Peringkat 3: Sepenuh masa seorang diri (self employed)

Peringkat 4: Sepenuh masa bersama satu pasukan (teamwork)

Peringkat 5: Pemilik perniagaan (orang lain/staf yang urus perniagaan)

Peringkat 6: Pelabur (hanya pegang share dalam mana-mana perniagaan online)

Anda di peringkat mana? 🙂