Saya tidak pernah menafikan bahawa bekerja makan gaji banyak kelebihannya. Malah apa pun kerjaya kita, yang perlu dilihat adalah pada soal tanggungjawab dan keikhlasan, bukan pada gaji atau kebebasan semata-mata.
Namun ada pilihan untuk kita. Bagi diri saya sendiri, bekerja makan gaji selama setahun membuktikan yang saya tidak boleh bekerja di bawah orang lain. Saya tidaklah kata saya terlalu baik, tetapi akibat saya terlalu baik, orang mempergunakan saya. Malah dibuli. Haha..
Lantas, saya terus terjun ke bidang perniagaan terutama perniagaan internet walaupun persediaan mental dan modal tidaklah begitu banyak. Namun jiwa dan diri saya tenang dan boleh lakukan apa saja yang saya mahukan walaupun terkadang terpaksa mengikat perut. Tiada lagi bos atau orang atas yang mengawal saya dan memarahi saya sesuka hati.
Saya juga boleh bercuti dan ke mana saja saya mahu pergi pada bila-bila masa tanpa perlu mengisi borang dan meminta kebenaran daripada sesiapa. Seperti semasa saya menulis artikel ini, saya sedang berada di kampung menjenguk kedua orang tua saya yang kurang sihat. Saya boleh balik dan berada di kampung selama mana yang saya mahu dan pergi serta balik semula pada bila-bila masa.
Inilah kelebihan dan kehebatan perniagaan melalui internet. Anda tidak perlu ada kedai yang besar dan pekerja yang ramai untuk menjaga kedai. Sebaliknya anda hanya perlu ada kedai maya iaitu laman web jualan. Segalanya diautomasikan walaupun tidak sepenuhnya. Anda hanya perlu menyemak emel beberapa kali sahaja dalam sehari.
Syarat utama untuk berniaga melalui internet adalah memiliki sebuah laptop dan juga talian internet. Saya galakkan anda mengutamakan laptop kerana anda boleh bawa ia ke mana sahaja termasuk semasa anda pulang ke kampung halaman.
Talian internet pula sekarang mempunyai banyak pilihan. Jika di kawasan bandar, anda boleh gunakan broadband seperti Celcom. Namun jika tiada kemudahan sebegitu, anda boleh singgah di mana-mana tempat yang menyediakan kemudahan WiFi. Sekarang kedai mamak pun dah ada sediakan kemudahan sebegini.
Kedai-kedai kopi moden seperti Cafe Bean, Starbucks sehinggalah kepada restoran KFC, McD dan lain-lain termasuk kebanyakan hotel menyediakan kemudahan WiFi. Anda hanya perlu menempah sekurang-kurangnya segelas minuman dan duduklah berjam-jam lamanya tanpa ada orang yang akan menghalau anda.
Jadi jika anda pulang ke kampung dan tiada talian internet, salah satu penyelesaian adalah pergi ke bandar berdekatan dan carilah tempat yang sediakan kemudahan WiFi.
Bagi diri saya, kampung saya bukanlah kampung sangat, tapi sebuah pekan. Talian Streamyx sampai di sini. Jadi saya buka satu akaun Streamyx di rumah. Bila saya di Johor, saya gunakan broadband Celcom atau Wimax. Jika saya berada di kampung, saya gunakan Streamyx.
Inilah kehidupan seorang usahawan internet: boleh berniaga walau di mana saja anda berada selagi ada kemudahan internet. Namun jika tiada talian internet pun, ‘kedai’ tetap akan berfungsi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu iaitu laman web jualan produk anda.
Pra-Syarat Usahawan
Menjadi seorang usahawan memerlukan kerja yang kuat dan perlu semangat yang tinggi. Rata-rata kita sering mendengar keseronokan menjadi seorang usahawan, namun sebelum mereka berjaya, mereka banyak juga kegagalan. Nak berjaya tidak semudah memetik jari.
Jika anda ingin melakukan perniagaan internet sepenuh masa, perancangan rapi perlulah dilakukan dengan baik terutama jika anda sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab kewangan yang besar.
Kemudian, jika anda rasa anda bukan seorang yang berdisiplin sangat, latih diri dahulu agar berdisiplin terutama dari segi penggunaan waktu dan wang. Apabila anda sudah berniaga sepenuh masa, usaha andalah yang menentukan sebanyak mana pendapatan yang bakal diperolehi.
Sedikit usaha, banyak malas, maka sedikitlah pendapatan anda. Jika banyak usaha, kena caranya dan rajin, maka insyaAllah banyaklah pendapatannya.
Salah satu matlamat saya melakukan perniagaan adalah untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada kedua ibu bapa saya dan keluarga saya. Adalah satu nikmat yang tak terhingga apabila melihat ibu bapa senang hati dan gembira.
Walaupun mereka sering mempertikaikan mengapa saya tidak bekerja makan gaji terutama kerja kerajaan, namun saya memahami mereka berkata begitu kerana sayangkan saya. Namun saya menjadi usahawan adalah juga kerana saya sayangkan mereka.
Saya tidak mahu teruskan tradisi keluarga saya dengan bekerja makan gaji dan minda hanya ditakluk dengan dunia makan gaji semata-mata. Niat saya adalah untuk mengubah tradisi keluarga saya daripada minda yang ditakluk tersebut kepada dunia yang lebih ‘mencabar’.
Malah saya juga ingin membuka mata sesetengah pihak yang sering mengkritik saya mengapalah saya dengan ‘bodoh’ memilih jalan keusahawanan. Kata mereka kan bagus kalau saya kerja dengan kerajaan. Tidaklah perlu berhempas pulas siang malam bekerja. Nak pinjam duit pun mudah (statement ini yang paling membuat saya tertawa seorang diri).
Saya tidaklah melawan kata-kata mereka kerana saya yakin mereka tetap begitu tanpa mahu membuka minda, malah sebenarnya saya sudah agak lali dengan kritikan sebegitu sejak hampir 4 tahun yang lepas. Tak apalah, mereka berkata begitu kerana mereka selesa dengan makan gaji, tapi saya bukanlah orang yang selesa dengan dunia tersebut.
Namun saya tetap menghormati mereka, tetapi mereka janganlah memandang rendah para usahawan. Tanpa usahawan, ekonomi negara pasti hancur. Saya amat kagum dengan sesiapa sahaja yang menjadi usahawan sepenuh masa kerana tidak semua orang berani mahu menjadi begitu.
Bebas…
Saya percaya dan yakin, hanya melalui jalan keusahawanan sahaja saya boleh mengubah hidup saya dan keluarga saya dengan ‘cepat’. Dan melalui keusahawanan jugalah saya boleh memiliki kebebasan hidup terutama bebas melakukan apa yang saya mahu tanpa sebarang kekangan dan cengkaman orang lain.
Saya bebas!
Wassalam.
Incoming search terms:
- kebebasan masa
- borang kebenaran bawa laptop
- tanggungjawab seorang pengusaha apa saja
- usahawanan bebas membuat kebebasan












Komen Terkini