Misi Pengakhiran 2009: Tulis Tiga Buah Buku

Sebelum tahun 2009 ini berakhir, salah satu matlamat saya adalah menulis tiga buah buku. Ia seperti nampak mustahil, namun bagi saya ia tidak. Yang penting perlu ada teknik, perancangan dan juga disiplin.

Malah seorang penulis buku iaitu Tuan Zamri Mohamad sendiri telah menyatakan bahawa tidak mustahil untuk menulis tiga buah buku dalam masa tiga bulan:

tulis-buku

(Imej di atas: Petikan daripada Facebook)

Tidak kisahlah ia akan diterbitkan pada tahun ini atau tahun depan, yang pasti matlamat saya sehingga akhir tahun ini adalah ingin menulis tiga buah buku. Topiknya sudah pasti berkaitan dengan Internet Marketing iaitu bidang fokus saya selama ini.

Untuk memudahkan usaha ini, di antara usaha yang akan saya lakukan adalah:

  • Belajar daripada penulis-penulis berpengalaman
  • Merujuk buku-buku panduan dan bahan bacaan di Internet

Adakah matlamat ini akan tercapai? Kita tunggu dan lihat. 😀

Selamat Menyambut Hari Raya AidilFitri 1430H

Di kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1430H kepada semua pembaca blog ini, para pelanggan saya (smartusaha.com), rakan-rakan di Facebook, ahli-ahli forum Wangcyber, subscribers Newsletter smartusaha dan kepada semua umat Islam di seluruh dunia.

Jika saya ada tersalah bahasa, terlanjur kata dan apa jua jenis kesalahan, saya memohon kemaafan. Semoga kita kembali kepada fitrah manusia yang baik-baik bersempena dengan hari raya fitrah ini seperti bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

kad-raya-9

Kita berjumpa lagi selepas hari raya nanti. Lupakan kerja dahulu dan ambillah peluang dan masa yang ada untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Hari raya lah antara hari yang sesuai untuk bertemu dengan mereka yang amat jarang kita bersua muka.

Selamat bergembira bersama orang yang tersayang.

Wassalam.

Yang ikhlas,
Mohd Zulfadli (SmartZul)
www.SmartUsaha.com

Buat Duit Dengan Kepakaran

Pada artikel sebelum ini, saya ada menyatakan pentingnya kita mempunyai kepakaran yang khusus. Banyak sekali kelebihan-kelebihannya seperti kita mudah untuk lebih mahir dengan bidang / topik tersebut dan dapat fokus dengan baik di dalam menjalankan perniagaan.

Pada artikel kali ini, saya akan menyatakan seringkas mungkin bagaimana kita boleh menjana pendapatan atau membina sebuah perniagaan dengan kepakaran kita tersebut.

Langkah Pertama:

Kenal pasti bidang kepakaran anda.

Contoh – Internet Marketing

Sesuaikan dengan diri anda. Mungkin bidang kewangan, kesihatan, motivasi dan sebagainya.

Langkah Kedua:

Kenal pasti Pengkhususuan utama anda dalam bidang tesebut.

Contoh – Pay Per Click (PPC) Marketing

Kalau bidang anda adalah kewangan sebagai contoh, mungkin lebih fokus kepada pengurusan kewangan peribadi, atau pengurusan kewangan perniagaan, atau lebih kepada terus teknik yang khusus atau sebagainya…

Langkah Ketiga:

Kenal pasti target market anda. Siapa? Mungkin individu? Perniagaan kecil dan sederhana? Usahawan? Atau mungkin mengikut kategori atau kumpulan kerjaya. Mempunyai target market tersendiri adalah agar anda lebih mudah untuk menyampaikan maklumat yang lebih sesuai dan tepat kepada mereka.

Target market boleh pelbagai dan sekurang-kurangnya satu.

Langkah Empat:

Wujudkan USP untuk diri anda dan perniagaan anda. Mungkin artikel di sini boleh memberikan sedikit idea. Keunikan (USP) amat penting di dalam perniagaan agar kita ada perbezaan dengan perniagaan atau usahawan lain.

Langkah Lima:

Hasilkan pendapatan dengan beberapa kaedah dengan menggunakan kepakaran anda tersebut. Di antaranya adalah:

1. Produk informasi (ebook, video, audio, manual, modul pelajaran)

2. Personal Coaching / Consulting

3. Menulis / menerbit Buku

4. Mengadakan seminar, workshop atau ceramah

5. Membership site (laman keahlian berbayar)

Banyak bukan? Buatlah satu-satu. Kalau dapat buat beberapa cara di atas, anda akan memiliki sumber pendapatan yang pelbagai. Jangan sesekali bergantung pada satu cara sahaja.

Kita dapat lihat di sini bahawa dengan hanya satu kepakaran sahaja pun kita sudah boleh dapatkan hasil dengan pelbagai kaedah.

Langkah Enam:

Lakukan promosi, pemasaran dan lain-lain perkara yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan. Saya yakin anda tahu cara untuk melakukan pemasaran sama ada secara Online ataupun Offline. Boleh rujuk mana-mana panduan yang berkaitan.

Cuma tip saya di sini, buat permulaan atau sebagai keutamaan, pilih beberapa strategi dan teknik sahaja yang boleh dilakukan secara konsisten. Kefahaman dan keberkesanan itu lebih utama berbanding buat banyak cara promosi tapi hasil tidak begitu memuaskan.

Jika anda melakukan pemasaran melalui internet, ‘visible’kan diri anda. Antara caranya adalah dengan membina profile dengan aplikasi percuma seperti Linkedin, Facebook dan Google Profile. Dan buat juga blog untuk bisnes anda.

Kepentingan men-visible-kan diri adalah agar orang boleh mencari anda di Internet dan yang lebih utama adalah anda tidak menyembunyikan identiti anda. Maka prospek akan lebih yakin dengan anda kerana anda tidak merahsiakan diri anda. Tiada keraguan yang timbul..

Antara alat promosi yang paling mudah adalah kad bisnes. Yang ini wajib. Kalau anda pergi ke mana-mana, jika ada orang berminat mahu tahu mengenai bisnes yang anda dilakukan, kad bisnes boleh membantu. Malah kita pun akan nampak lebih profesional.

Kesimpulan

Ini hanya nota ringkas saya sahaja. Tambah mana yang perlu. Apabila kita merancang, kita akan nampak dengan jelas apa yang perlu kita lakukan walaupun dengan hanya satu kepakaran.

Buatlah satu simple business plan yang menyenaraikan beberapa perkara di atas. Kalau ada perancangan, kita lebih mudah untuk fokus. Kita hanya perlu ikut apa yang kita rancang itu sahaja atau customize jika perlu.

Buat duit atau membina sebuah perniagaan dengan menggunakan kepakaran adalah salah satu cara yang termudah, malah menggunakan modal permulaan yang amat rendah. RM100 pun sudah cukup biasanya. Yang pasti, modalnya tidak mencecah beribu-ribu. Dan untuk melakukannya, bermula dari rumah pun boleh. Menarik bukan?

Saya adalah salah seorang di antara ramai lagi usahawan yang menggunakan pengetahuan atau kepakaran yang dimiliki untuk menjana pendapatan. Sebagai contoh saya lebih kepada bidang internet dan komputer. Lihat sahaja produk informasi saya, ia lebih kepada teknikal dan internet seperti Pakej Kit Blogger, Panduan Mudah FTP, Sistem EZSurvey dan beberapa lagi.

Dalam masa yang sama juga, saya kadang-kadang memberikan nasihat sama ada secara percuma atau berbayar mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang saya tersebut. Semuanya saya lakukan hanya dari rumah secara Online atau jika perlu bertemu, tempat dan masa adalah fleksibel.

Akhir sekali sebagai penutup artikel ini, sila tonton video berikut (Selling Online Expertise) yang menunjukkan bagaimana ‘Menjual Kepakaran Secara Online’:

Selling Online Expertise

Jika video tidak terpapar di atas, sila klik link berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=0l1xQpCsMV0

Wassalam.

Motivasi Usahawan: Muda-Muda Pun Dah Putus Asa?

Hanya sekadar artikel ringkas berkaitan motivasi. Artikel ini khas untuk orang-orang muda. Tapi sesuai juga untuk sesiapa sahaja..

Bagi usahawan yang masih muda (ehem, saya pun muda juga), bekerjalah besungguh-sungguh. Tiada sebab untuk kita berputus-asa dengan mudah atau bermalas-malasan untuk bekerja.

Satu gerai di bazar Ramadhan yang saya kunjungi, peniaga di gerai tersebut adalah sepasang suami isteri yang sudah lanjut usianya. Saya ni tidak boleh lihat orang berusia, saya cepat “mengasihani”. Lantas saya pun ke gerai tersebut untuk membeli sedikit lauk.

Saya perhatikan wajah makcik yang sedang asyik menyediakan lauk tersebut kepada saya, ternampak kesungguhan pada wajahnya. Walaupun saya yakin umurnya sudah amat berusia, namun saya kagum dia tetap bersungguh untuk terus mencari rezeki walaupun sedar umurnya sudah ‘di penghujung’ (masa untuk berehat..).

Walaupun saya lihat dia seperti memaksa dirinya bergerak dan berdiri, nampak sedikit letih, namun dia tetap gagahkan diri. Persoalannya mengapa? Padahal dia boleh sahaja duduk di rumah atau upah sahaja orang lain berniaga untuknya. Atau tunggu saja anak-anak berikan wang belanja. Tetapi mengapa pasangan berusia ini masih menggagahkan diri?

Jawapannya mungkin mereka meletakkan tanggungjawab hidup pada diri mereka sendiri. Walaupun ada anak, tapi selagi mereka mempunyai kudrat, selagi itu mereka boleh mencari rezeki sendiri tanpa berharap kepada orang lain. Alangkah bagusnya kalau anak-anak muda seperti kita mempunyai semangat dan prinsip sebegini.

Persoalannya, bagaimana dengan kita yang masih muda ini? Masih kuat, banyak tenaga, banyak masa.. Tetapi mengapa kita mudah beralasan, malas dan mudah berputus asa? Pada masa muda inilah untuk kita bekerja kuat kerana kita masih ada tenaga dan masa yang banyak.

Semoga kita bekerja bersungguh-sungguh seperti pasangan berusia yang saya ceritakan di atas. Tiada masa untuk kita bermalas-malasan dan berputus-asa. Ketepikan segala alasan yang kita ciptakan sendiri. Letakkanlah diri kita lebih hebat daripada segala masalah dan ujian. InsyaAllah kita akan maju terus ke hadapan.

“orang yang hebat tidak lari daripada masalah kerana mereka meletak diri mereka lebih tinggi daripada masalah.”

Semoga berjaya!

ps. Teringat nenek saya masa dia bekerja di kantin sekolah. Pukul 4.30 pagi dah mula kerja. Seorang diri. Menyediakan masakan untuk ratusan murid sekolah. Berterusan hampir 20 tahun lebih lamanya. Namun sedikit pun tidak nampak putus asa pada dirinya. Pernah hampir terputus jari, namun masih terus bekerja. Kerja, kerja dan kerja tanpa mengira penat lelah walaupun pening dan demam. Nenek saya adalah inspirasi utama saya. Sehingga kini masih belum terungkai rahsia di sebalik kesungguhannya itu..

pps. Saya lebih mengkagumi orang yang ‘menjalankan’ perniagaan berbanding mereka yang ‘memiliki’ perniagaan. Mengapa? Anda tahu jawapannya. 🙂