Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Rahsia Perniagaan Internet Sebenar

Artikel ini adalah mengenai perniagaan internet yang SEBENAR. Bukan mengenai buat duit di internet. Perniagaan internet sebenar memerlukan satu kekuatan yang bukan sekadar berdiri di atas kekuatan taktik dan teknik semata-mata.

Kebanyakan usahawan internet memfokuskan kepada taktik dan teknik. Sebahagian besar masa mereka dihabiskan untuk menguasai teknik-teknik pemasaran perniagaan seperti SEO, blogging, PPC dan pelbagai lagi. Ada 1001 cara pemasaran dan cara promosi.

Jika anda dikatakan sebagai pakar SEO, bagi saya, itu bukan kekuatan utama anda di dalam perniagaan internet. Kebanyakan yang saya perhatikan, ramai yang mudah tewas di ‘gelanggang’ perniagaan internet gara-gara mereka banyak fokus atau semata-mata fokus kepada taktik dan teknik sahaja.

Walaupun anda hebat dan pakar di dalam sesuatu teknik, ia bukanlah satu ‘aset’ atau kekuatan yang boleh dibanggakan atau boleh diharap untuk terus membawa anda ke hadapan dan terus kekal di dalam perniagaan. Mengapa saya berkata begini?

Mudah saja jawapannya. Jika hari ini anda yang hebat dalam SEO, esok akan muncul pula sekurang-kurangnya seorang lagi pakar SEO. Lusa dan seterusnya muncul lagi pakar-pakar SEO, malah mungkin lebih hebat daripada anda.

Jika anda hebat dalam blogging, jangan terlalu berbangga dengannya kerana esok lusa akan muncul pula seorang pakar blogging yang lebih hebat dan berjaya daripada anda.

Jadi, apakah salah satu rahsia kejayaan perniagaan internet untuk satu jangka masa yang lama? Jawapannya adalah keunikan diri anda sendiri yang tidak boleh ditiru oleh orang lain atau jika ia ditiru, ia tidak terlalu menjadi.

Hal ini kita boleh lihat perniagaan jenama KFC, Pizza dan McD, walaupun ada pihak lain yang cuba meniru konsep yang sama, namun ketiga-tiga perniagaan tadi tetap teguh, malah sentiasa mempunyai pelanggan yang ramai. Sebaliknya yang cuba meniru konsep mereka itu gagal atau kurang berjaya.

Mengapa ini berlaku? Kerana mereka mempunyai keunikan tersendiri. Dalam bahasa marketing, kita panggil keunikan ini sebagai Unique Selling Proposition (USP). Secara ringkas ia bermaksud keunikan tersendiri yang membezakan sesebuah perniagaan dengan perniagaan yang lain.

Sebagai contoh mudah, di dunia ini hanya seorang sahaja yang menggunakan nickname SMARTZUL (saya lah, siapa lagi). Tidak ada dua, tiga atau orang lain yang menggunakan nama tersebut. Ini terbukti apabila setiap kali saya ke mana-mana program, jika saya menyebut nama Zul, orang tidak begitu memberi respon. Tapi apabila saya sebut “saya smartzul”, reaksi mereka berbeza daripada biasa. Ini kerana mereka tahu, inilah zul smartusaha.com. :D

Untuk mewujudkan USP atau keunikan pada bisnes anda, ada pelbagai cara sama ada dengan menggunakan logo, warna, style perniagaan, slogan, nama perniagaan dan lain-lain lagi.

Sebagai contoh, katakan anda pakar dalam bab SEO. Jadi, apakah perbezaan yang hanya anda sahaja satu-satunya boleh berikan kepada pelanggan anda? Mungkin anda boleh janjikan perubahan ranking kepada website laman web pelanggan anda dalam masa 12 jam sahaja. Atau mungkin anda mempunyai satu perisian SEO unik yang hanya anda sahaja yang memilikinya.

Contoh lain pula, jika anda menyediakan khidmat konsultasi pemasaran internet, keunikan anda adalah menjanjikan pendapatan RM10,000 hanya dalam masa 14 hari kepada pelanggan anda yang mana janji ini tidak dilakukan oleh konsultan atau pihak lain.

Atau mungkin anda menggunakan tagline tertentu seperti “Formula XYZTM” yang mana dengan menggunakan formula tersebut yang hanya anda sahaja yang memilikinya, pelanggan anda mampu menjadi usahawan yang berjaya dalam dalam tempoh yang singkat.

Untuk menampakkan lagi kehebatan USP, kita ambil contoh perniagaan servis tukang paip (plumber). Begitu ramai yang menyediakan khidmat sebegitu. Cuba kita lihat contoh berikut yang diambil dari laman web 88db.com:

usp-tukang-paip

Katakan anda mengalami kerosakan paip atau yang berkaitan di luar daripada waktu kerja (katakan jam 8.00 malam), pihak manakah yang anda akan hubungi dahulu? Katakan kesemua pihak di atas adalah di kawasan yang tidak jauh dari rumah anda. Bagi diri saya dan secara normalnya, sudah pasti saya akan hubungi pihak yang menyediakan servis 24 jam yang boleh dihubungi pada bila-bila masa sahaja.

Bagi contoh iklan di atas, saya ada dua pilihan iaitu “call a plumber in emergency” dan juga “24hrs plumbing service”. Tapi yang kedua lebih jelas kerana menyatakan kesediaan berkhidmat dalam 24 jam berbanding yang pertama hanya menyatakan emergency semata-mata yang tidak pasti menyediakan khidmat di luar waktu kerja atau tidak.

Ini iklan penyedia khidmat 24 jam tersebut yang boleh dihubungi walau pada jam 2 pagi:

Need a plumber at 2am? Sounds absurd.
Can’t wait until weekend to fix the problem?

Blockage, leaking and all sort of problems related to plumbing, tap, water tank, basin sink piping and pump – we’ll save you from the wrinkle on your foreheads. Let us do the ‘dirty job’.

Call the 24/7 Plumber at 019-2063872 for the best ever plumbing service.

Sumber: http://my.88db.com/my/Services/Post_Detail.page/Household/Plumbing/?PostID=75939

Saya harap dengan contoh di atas, kita semakin jelas betapa pentingnya USP (keunikan) dalam perniagaan atau di dalam melakukan iklan / pemasaran. Kalau setakat mengatakan anda boleh memasak ayam goreng yang sedap, orang lain pun boleh juga. Jadi wujudkan ayam goreng yang berbeza daripada orang lain. Confirm berderu-deru orang datang ke kedai anda.

Bagi pihak HPA (sebuah perusahaan yang semakin meningkat naik) telah mula sedikit demi sedikit mewujudkan rangkaian perniagaan ayam goreng dengan nama RFC (Radix Fried Chicken).

Keunikannya adalah pada ayam organiknya yang menyihatkan, malah sos cilinya pun bebas daripada bahan yang membahayakan kesihatan, dan tepung ayamnya pula disadur dengan herba. Malah air minuman di RFC pun bebas daripada kandungan gula yang tidak menyihatkan.

Kewujudkan RFC yang berbeza itu sedikit sebanyak telah ‘menggugat’ jualan perniagaan ayam goreng yang lain sehinggakan ada beberapa pihak yang panas punggung cuba menjatuhkan usaha HPA tersebut. Walaupun RFC masih lagi ‘bertatih’ dalam bidang ayam goreng, namun sehingga kini ia dilihat sebagai pencabar utama kepada pihak lain seperti KFC.

Contoh lagi: Jika anda seorang designer, apakah keunikan anda berbanding dengan designer yang lain? Sebagai contoh, saudara Mazlie Nadzri (VirtualNiaga.com), beliau adalah orang terawal (pertama?) yang menggunakan tagline “design siap dalam 24 jam”. Inilah perbezaan beliau dengan designer online yang lain.

Walaupun designer lain juga boleh menyiapkan design dalam 24 jam, namun disebabkan saudara Mazlie orang pertama yang fokus menyediakan servis siap dalam 24 jam, maka secara normalnya kekuatan itu telah menjadi ‘milik’ beliau. Walaupun ada designer lain yang mahu mencuba “tagline” sebegitu, namun ia sedikit sukar kerana perkhidmatan 24 jam Mazlie itu telah menjadi “buah mulut” ramai orang.

Design yang cantik dan berkualiti bukanlah satu-satunya aspek yang boleh membantu kerana begitu ramai designer yang boleh menghasilkan design yang bagus. Jadi jelas, keunikan (USP) adalah aspek yang paling mendasar yang perlu dititik-beratkan. Maka jika anda adalah designer, apakah keunikan servis design anda yang boleh anda janjikan kepada para pelanggan?

Maka ada tiga pelajaran penting yang kita lihat di sini iaitu:

1. Perlu ada keunikan yang TIADA pada orang lain (usahawan/perniagaan)

2. Jadi yang pertama (be the first) yang memiliki keunikan tersebut

3. Lakukan ‘viral marketing’ (pemasaran mulut ke mulut) yang ‘agresif’ untuk menyebarkan keunikan tersebut

Biasanya orang pertama yang memulakan sesuatulah yang akan ‘menang’ dan menjadi ‘pemilik’ bagi perkara tersebut. Buktinya, apabila disebut ayam goreng, ramai yang teringat KFC. Apabila disebut pizza, ramai orang terus terfikirkan Pizza Hut. Ini kerana mereka mempunyai keunikan dan juga menjadi perintis utama dalam bidang sebegitu serta ‘agresif’ melakukan pemasaran.

Kesimpulan

Perbezaan dengan pihak lain menyebabkan anda sentiasa dicari dan dikehendaki kerana fitrah manusia suka mencari ilmu, perkhidmatan atau produk yang berbeza untuk melengkapkan, menambah atau meningkatkan pembelajaran dan usaha mereka. Malah fitrah manusia suka mencuba sesuatu yang berbeza berbanding perkara sama yang ramai melakukannya.

Persoalannya sekarang, apakah keunikan anda atau perniagaan anda? Jika tidak ada, wujudkannya dengan segera sebelum terlambat dan menyesal di kemudian hari. Milikilah perbezaan sekurang-kurangnya pada nama perniagaan yang unik.

Kekuatan utama perniagaan bukanlah semata-mata pada kepakaran, tetapi keunikan anda atau perniagaan anda lah yang terus mengukuhkan kedudukan anda di dalam arena persaingan yang begitu sengit. Lagi-lagi di zaman maklumat yang begitu pantas ini.

Dalam kata yang mudah, “be different or die”.

-

Kebebasan Hidup Melalui Keusahawanan Internet?

Saya tidak pernah menafikan bahawa bekerja makan gaji banyak kelebihannya. Malah apa pun kerjaya kita, yang perlu dilihat adalah pada soal tanggungjawab dan keikhlasan, bukan pada gaji atau kebebasan semata-mata.

Namun ada pilihan untuk kita. Bagi diri saya sendiri, bekerja makan gaji selama setahun membuktikan yang saya tidak boleh bekerja di bawah orang lain. Saya tidaklah kata saya terlalu baik, tetapi akibat saya terlalu baik, orang mempergunakan saya. Malah dibuli. Haha.. ;)

Lantas, saya terus terjun ke bidang perniagaan terutama perniagaan internet walaupun persediaan mental dan modal tidaklah begitu banyak. Namun jiwa dan diri saya tenang dan boleh lakukan apa saja yang saya mahukan walaupun terkadang terpaksa mengikat perut. Tiada lagi bos atau orang atas yang mengawal saya dan memarahi saya sesuka hati.

Saya juga boleh bercuti dan ke mana saja saya mahu pergi pada bila-bila masa tanpa perlu mengisi borang dan meminta kebenaran daripada sesiapa. Seperti semasa saya menulis artikel ini, saya sedang berada di kampung menjenguk kedua orang tua saya yang kurang sihat. Saya boleh balik dan berada di kampung selama mana yang saya mahu dan pergi serta balik semula pada bila-bila masa.

Inilah kelebihan dan kehebatan perniagaan melalui internet. Anda tidak perlu ada kedai yang besar dan pekerja yang ramai untuk menjaga kedai. Sebaliknya anda hanya perlu ada kedai maya iaitu laman web jualan. Segalanya diautomasikan walaupun tidak sepenuhnya. Anda hanya perlu menyemak emel beberapa kali sahaja dalam sehari.

Syarat utama untuk berniaga melalui internet adalah memiliki sebuah laptop dan juga talian internet. Saya galakkan anda mengutamakan laptop kerana anda boleh bawa ia ke mana sahaja termasuk semasa anda pulang ke kampung halaman.

Talian internet pula sekarang mempunyai banyak pilihan. Jika di kawasan bandar, anda boleh gunakan broadband seperti Celcom. Namun jika tiada kemudahan sebegitu, anda boleh singgah di mana-mana tempat yang menyediakan kemudahan WiFi. Sekarang kedai mamak pun dah ada sediakan kemudahan sebegini.

Kedai-kedai kopi moden seperti Cafe Bean, Starbucks sehinggalah kepada restoran KFC, McD dan lain-lain termasuk kebanyakan hotel menyediakan kemudahan WiFi. Anda hanya perlu menempah sekurang-kurangnya segelas minuman dan duduklah berjam-jam lamanya tanpa ada orang yang akan menghalau anda.

Jadi jika anda pulang ke kampung dan tiada talian internet, salah satu penyelesaian adalah pergi ke bandar berdekatan dan carilah tempat yang sediakan kemudahan WiFi.

Bagi diri saya, kampung saya bukanlah kampung sangat, tapi sebuah pekan. Talian Streamyx sampai di sini. Jadi saya buka satu akaun Streamyx di rumah. Bila saya di Johor, saya gunakan broadband Celcom atau Wimax. Jika saya berada di kampung, saya gunakan Streamyx.

Inilah kehidupan seorang usahawan internet: boleh berniaga walau di mana saja anda berada selagi ada kemudahan internet. Namun jika tiada talian internet pun, ‘kedai’ tetap akan berfungsi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu iaitu laman web jualan produk anda.

Pra-Syarat Usahawan

Menjadi seorang usahawan memerlukan kerja yang kuat dan perlu semangat yang tinggi. Rata-rata kita sering mendengar keseronokan menjadi seorang usahawan, namun sebelum mereka berjaya, mereka banyak juga kegagalan. Nak berjaya tidak semudah memetik jari.

Jika anda ingin melakukan perniagaan internet sepenuh masa, perancangan rapi perlulah dilakukan dengan baik terutama jika anda sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab kewangan yang besar.

Kemudian, jika anda rasa anda bukan seorang yang berdisiplin sangat, latih diri dahulu agar berdisiplin terutama dari segi penggunaan waktu dan wang. Apabila anda sudah berniaga sepenuh masa, usaha andalah yang menentukan sebanyak mana pendapatan yang bakal diperolehi.

Sedikit usaha, banyak malas, maka sedikitlah pendapatan anda. Jika banyak usaha, kena caranya dan rajin, maka insyaAllah banyaklah pendapatannya.

Salah satu matlamat saya melakukan perniagaan adalah untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada kedua ibu bapa saya dan keluarga saya. Adalah satu nikmat yang tak terhingga apabila melihat ibu bapa senang hati dan gembira.

Walaupun mereka sering mempertikaikan mengapa saya tidak bekerja makan gaji terutama kerja kerajaan, namun saya memahami mereka berkata begitu kerana sayangkan saya. Namun saya menjadi usahawan adalah juga kerana saya sayangkan mereka.

Saya tidak mahu teruskan tradisi keluarga saya dengan bekerja makan gaji dan minda hanya ditakluk dengan dunia makan gaji semata-mata. Niat saya adalah untuk mengubah tradisi keluarga saya daripada minda yang ditakluk tersebut kepada dunia yang lebih ‘mencabar’.

Malah saya juga ingin membuka mata sesetengah pihak yang sering mengkritik saya mengapalah saya dengan ‘bodoh’ memilih jalan keusahawanan. Kata mereka kan bagus kalau saya kerja dengan kerajaan. Tidaklah perlu berhempas pulas siang malam bekerja. Nak pinjam duit pun mudah (statement ini yang paling membuat saya tertawa seorang diri).

Saya tidaklah melawan kata-kata mereka kerana saya yakin mereka tetap begitu tanpa mahu membuka minda, malah sebenarnya saya sudah agak lali dengan kritikan sebegitu sejak hampir 4 tahun yang lepas. Tak apalah, mereka berkata begitu kerana mereka selesa dengan makan gaji, tapi saya bukanlah orang yang selesa dengan dunia tersebut.

Namun saya tetap menghormati mereka, tetapi mereka janganlah memandang rendah para usahawan. Tanpa usahawan, ekonomi negara pasti hancur. Saya amat kagum dengan sesiapa sahaja yang menjadi usahawan sepenuh masa kerana tidak semua orang berani mahu menjadi begitu.

Bebas…

Saya percaya dan yakin, hanya melalui jalan keusahawanan sahaja saya boleh mengubah hidup saya dan keluarga saya dengan ‘cepat’. Dan melalui keusahawanan jugalah saya boleh memiliki kebebasan hidup terutama bebas melakukan apa yang saya mahu tanpa sebarang kekangan dan cengkaman orang lain.

Saya bebas!

Wassalam.

Perniagaan Internet di Malaysia Sudah Huru Hara!

Ya, perniagaan internet di Malaysia sudah huru-hara!

Sana ada product launch, sini ada, kat mana-mana pun ada.

Post kali ini bukan kritikan, tapi untuk menyatakan kesyukuran sebenarnya. Bagi mereka yang nampak peluang yang ada, mereka melihat ini semua sebagai satu peluang.

Semenjak dua menjak ini, saya banyak menerima undangan JV. Tak larat nak terima semua. Sebab produk sendiri pun dah lari dari timeline projek. Maaflah tak dapat join JV. Takat ulas di blog tu, bolehlah.

Berbalik kepada tajuk, huru-hara yang saya maksudkan adalah kebanjiran produk. Bukan takat niche Internet Marketing, malah kini sudah ada mereka yang sudah mengorak langkah ke hadapan menjual produk-produk terutama ebook mengenai pelbagai topik.

Adakah anda nampak yang saya nampak?

Sesetengah orang melihat ini semua sebagai satu cabaran atau persaingan, tapi bagi sesetengah orang yang berfikiran jauh, mereka melihat ini semua sebagai satu peluang besar.

Apa yang ingin saya sampaikan adalah, kebanyakan produk-produk itu disediakan sekali dengan peluang program affiliate. Komisen pun boleh tahan. Biasanya dari RM15 hingga RM60. Kerja anda hanya mempromosikan sahaja.

Kalau sebulan anda sertai 4 program affiliate dan setiap satu anda hasilkan RM100, anda sudah dapat RM400.00. Kalau dapat RM200 setiap satu, anda dapat RM800. Saya tahu ia sikit, tapi ok lah tu kan? Itu baru 4 program affiliate, kalau lebih lagi?

Saya kini selain sibuk memikirkan hala tuju perniagaan sendiri, saya juga memikirkan bagaimana saya boleh gunakan masa dan tenaga orang lain dan mereka boleh berikan saya duit? Dengan syarat saya melakukan sedikit kerja dan biarkan ia berjalan secara automatik.

Jika anda berniaga sepenuh masa, pendapatan sampingan dan seeloknya automatik (at least 80-90%) amatlah penting untuk membantu aliran tunai perniagaan anda atau diri anda sendiri. Orang kata ada duit tambahan selain pendapatan utama yang memerlukan usaha kita sepenuhnya.

Setakat ini sejak tahun 2006 lepas, saya telah dapat banyak komisen program affiliate termasuk menjadi top affiliate. Namun saya belum berpuas hati kerana kebanyakan usaha saya adalah secara manual dan mengambil masa. Malah usaha promosi juga sekali sekala sahaja.

Kalau anda faham apa yang ingin saya sampaikan, baguslah. Kalau tak faham, cuba faham-fahamkan. Saya sekarang sedang memikirkan apa yang perlu saya lakukan agar ada ‘sistem’ yang menjalankan kerja untuk saya. Saya hanya perlu setup sekali dan ia akan beroperasi 24 jam, 7 hari seminggu tanpa ‘sentuhan’ daripada saya.

Banyak program affiliate di pasaran Malaysia sekarang. Ia adalah peluang untuk mereka yang bijak bertindak dan berusaha. Bagi yang usaha, dapatlah rezeki. Bagi yang tak nampak apa-apa, memang tak dapat apa-apalah.

Itu saja lontaran idea saya setakat ini. Kalau anda nampak dan faham idea saya ni, anda tahu apa yang perlu anda lakukan.

Manfaatkan segala peluang yang ada dan jadilah perintis utama!

ps. Saya ke preview Irfan Khairi tempoh hari dan saya dapati masih ramai yang tidak tahu melakukan perniagaan internet. Bermaksud, jika anda mula sekarang, anda boleh jadi perintis atau tiada persaingan yang tinggi.

pps. Salah satu teknik promosi terbaik di internet adalah dengan menggunakan emel. Dapatkan ebook percuma panduan asas mengenai kaedah ini. Sila klik di sini untuk mendapatkannya. Ramai yang tak download. Jangan menyesal kalau ebook ni dah tak ada nanti. :D

Perkembangan Terkini Saya

Apa khabar para pembaca blog Smartusaha.

Mungkin ramai yang tertunggu-tunggu untuk membaca artikel terkini di blog ini. Maafkan saya jika anda tertunggu-tunggu.

Perkembangan saya terkini

Saya sejak bulan ini banyak melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan juga mengikuti beberapa kursus serta seminar.

Semalam saja saya baru balik dari Kuala Lumpur dan berada di sana selama tiga hari. Pada 3, 4 dan 5 Jun lepas pun saya juga berada di Kuala Lumpur.

Penat juga ulang alik dari Johor ke KL dan KL ke Johor. Namun saya sengaja melakukan ini semua untuk membiasakan diri dengan perjalanan kerana kelak saya sudah pasti akan sentiasa bergerak ke sana sini apabila telah mula memperkembangkan perniagaan saya secara offline.

Pada 3 Jun yang lepas, saya dan beberapa orang IM tempatan telah bertemu dengan pihak PTS. Ada beberapa perkara yang kami bincangkan bersama termasuk hala tuju bidang Internet Marketing di Malaysia dan bagaimana kami boleh bekerjasama.

Saya juga sekarang dalam usaha untuk menulis buku saya sendiri dan insyaAllah mungkin akan diterbitkan oleh pihak PTS. Niat menulis buku bukan semata-mata kerana inginkan populariti, tapi saya mahu memperluaskan lagi perkembangan ilmu perniagaan dan pemasaran internet. Saya akan kongsikan apa yang saya ada dan termampu.

Terima kasih kepada pihak PTS di atas penghargaan yang diberikan kepada IM-IM tempatan dan melihat secara serius bidang IM ini.

Kemudian pada malam 3 Jun itu, saya pergi ke preview PeoplePreneur di Midvalley. Ini kali pertama saya ke Midvalley. Saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai preview tersebut, cuma ia adalah mengenai training program yang amat bagus juga modulnya.

Tiga orang jutawan termasuk Dr. Irfan Khairi akan membimbing para peserta dengan menggunakan konsep mentoring dan sama-sama menjalinkan networking di antara para peserta. Network di sini bukan MLM ya, tapi bekerjasama dan menjalin rangkaian di antara satu sama lain.

Kemudian keesokan harinya, juga di Midvalley (Hotel Cititel), saya ke preview Workshop Jutawan Internet Irfan Khairi. Memang penuh dewan. Walaupun preview, tapi Dr. Irfan banyak juga kongsikan idea dan mengenai perniagaan internet. Teringat saya di awal saya mengikuti ceramah Dr. Irfan pada tahun 2005 di UTM Johor dulu di mana dari situlah saya mula berkenalan dengan Dr. Irfan.

Secara kesimpulan mengenai preview workshop tersebut, bukan hanya saya dapat belajar mengenai kejayaan Dr. Irfan, malah banyak lagi beberapa perkara yang saya dapat simpulkan untuk diri saya. Salah satunya, jika ada orang membenci kita, ada lagi ramai yang sukakan kita. Contoh terbaik, walaupun ada yang tidak sukakan Dr. Irfan, tapi penuh juga dewan tu! ;)

Saya ke mana-mana seminar atau kursus bukan saja belajar apa yang diajarkan, tapi saya juga cuba memerhatikan gaya dan prinsip orang yang berjaya tersebut. Ia adalah perkara-perkara tersirat yang boleh kita fikir dan buat kesimpulan untuk diri kita sendiri.

Selepas preview tu, saya terus pulang ke hotel dan tidak sempat untuk berjumpa dengan peserta lain termasuk dengan Dr. Irfan (dah berborak sebenarnya di preview peoplepreneur). Tapi terserempak pula dengan seorang sahabat online saya (pembeli ebook saya sebenarnya) iaitu Yusnizam (dikenali juga sebagai Master Yus).

Secara tak sedar, hampir 30 minit juga berbual dengan beliau. Yusnizam adalah penulis buku “Bagaimana Menjadi Cikgu Tuisyen Berjaya”, terbitan Truewealth. Kalau nak belajar cara jadi cikgu Tuisyen berjaya, bolehlah hubungi beliau atau sertai seminar yang beliau anjurkan.

*Saya sebenarnya agak low profile di mana-mana kursus atau seminar. :D Saya kalau jadi peserta, memang saya akan jadi peserta dan saya akan anggap “i’m nothing”. Maka baru mudah kita nak belajar dengan sesiapa pun. Pepatah bijak pandai mengatakan, “kalau nak belajar, jangan bawak gelas yang penuh!”.

Sepakar mana kita, janganlah cepat puas hati dan ego dengan ilmu dan kejayaan yang kita ada. Belajarlah dengan sesiapa saja selagi ilmu itu baik atau yang telah kita tahu. Lain orang, lain pemahamannya walaupun nampak sama. Sepatutnya semakin banyak ilmu yang kita ada, kita semakin beriman dan baik amal. Bukan semakin bongkak dan busuk hati.

Kalau saya, saya akan pergi ke mana-mana kursus pun hatta topik atau modul yang diajar dah saya tahu. Saya suka belajar dan mahu terus mempertajamkan apa yang telah saya tahu. Itu cara sayalah. Mungkin orang lain berbeza caranya.*

Oklah. Nanti saya sambung lagi coretan perkembangan terkini saya di next post.

Wassalam.

| Panduan Buat Blog Wordpress | Panduan FTP | Sistem Survey |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)