Setelah saya melancarkan ebook Kuasa Forum dan boleh dikatakan sepenuhnya selesai, saya berehat selama dua hari (Sabtu & Ahad).
Saya mempunyai beberapa projek lagi yang perlu disiapkan mengikut urutan keutamaan. Kesemuanya adalah projek tertunda yang sepatutnya siap pada tahun lepas lagi. Antara projek tersebut:
1. Ebook Teknik Mudah Affiliate (TMA)
2. Video Panduan Pemasangan Blog dot Com
3. Projek CD (dirancang pada Februari 2009 lepas)
Semua bahan-bahan, malah draf, sudah pun ada. Cuma perlu tambah beberapa lagi dan “touch up” mana yang perlu. Ebook cover untuk TMA dan Video Blog tu pun dah lama siap.
Setelah siap produk-produk di atas nanti, saya mempunyai beberapa projek lagi yang perlu dilaksanakan. Azam saya adalah, saya mahu mempunyai banyak koleksi produk saya sendiri terutama produk informasi. Ya, self publishing.
Anda boleh lihat kesemua produk informasi berbayar saya di sini:
http://www.facebook.com/album.php?aid=75537&id=817509593
Perkembangan Lain:
1. Forum XXXX
Saya juga akan wujudkan satu forum. Forum apakah itu? Tunggu saja pengumuman daripada saya nanti. Saya pun belum buat keputusan sama ada mahu guna platform apa sama ada phpBB atau VBulletin. Anda ada pendapat? Mana satu yang anda rasa lebih bagus?
Kalau difikirkan setakat ni, disebabkan projek forum ni untuk jangka masa yang lama dan lebih kepada komersil, saya akan guna vBulletin.
2. Ebook / Buku Perniagaan Internet?
Anda mungkin perasan yang setakat ini saya belum keluarkan lagi panduan perniagaan internet bukan? Sebaliknya saya banyak keluarkan ebook yang berkaitan IT, komputer dan Internet seperti Sistem DPP, Sistem EZSurvey, Panduan WordPress dan juga Ebook Panduan FTP.
Sebenarnya saya ada modul perniagaan internet, tapi ia perlu dikemaskini sebab banyak perkara yang sudah berubah. Malah saya juga ada modul untuk seminar dan ceramah.
Insyaallah, saya pada satu masa nanti pasti akan terbitkan buku melalui penerbit buku tertentu. Ya lah, asyik ebook saja, nak juga buku kan?
Malah sebenarnya saya sudah ada senarai tajuk-tajuk buku yang saya mahu tulis.
Berbalik kepada modul perniagaan internet, kalau saya dah kemaskini, saya mungkin akan menjualnya dalam bentuk manual (cetakan). Saya banyak produk sebenarnya, cuma tak release sahaja.
3. Seminar? Bengkel?
Anda juga mungkin tertanya, mengapa saya belum adakan seminar atau bengkel sendiri. Sebenarnya saya mempunyai sebab tersendiri. Dan kini saya sedang merancang sesuatu yang terbaik untuk bakal peserta seminar atau bengkel saya. Saya akan cuba wujudkan satu kelainan.
Seminar-seminar sedia ada memang membantu. Namun saya perhatikan adanya satu dua perkara yang kurang. Dan saya akan isi kekurangan tersebut. Semuanya sudah dirancang, cuma tunggu masa sahaja untuk melaksanakannya.
Untuk pengetahuan, sejak tahun 2005 hingga 2007, saya pernah memberikan ceramah, mengadakan bengkel dan juga seminar. Tapi kemudian saya ‘bersara’ buat seketika kerana ada “kekurangan” yang perlu saya perbaiki. Prinsip saya, saya mahu ‘puaskan’ hati peserta.
Mungkin prinsip ini “kurang bagus”, tapi saya puas hati kalau saya berjaya puaskan hati orang yang telah membayar saya. Saya tidak suka melakukan sesuatu yang sekadar melepas batuk di tangga sebab saya telah dibayar. Jadi saya saya harus berikan yang sewajarnya.
4. Offline?
Saya juga akan mula berniaga secara offline. Rezeki Allah itu luas. Jadi saya tidak mahu letak semua telur dalam satu bakul (hanya bisnes internet sahaja). Allah sendiri menyarankan kita ‘berjalan di segenap penjuru’ di muka bumi ini untuk mencari rezeki. Banyak benda boleh dibuat sebenarnya.
Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepadaNyalah kamu kembali setelah dibangkitkan”. (Ayat 15: Surah Al-Mulk)
Saya tidak kisah income saya bukan keseluruhan datang dari internet. Yang penting bagi saya adalah dapat hidup dengan baik dan mati dengan baik. Tak perlu susah-susahkan diri atau persempitkan pandangan yang hanya satu bidang atau cara sahaja yang perlu dibuat. Kebanyakan usahawan internet pun, lambat laun bila dah buat duit di internet, akan bagi talk, buat bengkel dan seminar juga (offline).
Saya tidak kisah income saya bukan keseluruhan datang dari internet. Yang penting bagi saya adalah dapat hidup dengan baik dan mati dengan baik. Dan yang paling utama, rezeki itu halal. Tidak kisahlah perlu keluarkan peluh atau tidak, penat atau tidak. Janji halal. Susah atau senang, ia adalah pilihan. Dan tidak salah memilih yang susah selagi ia halal. Yang susah kalau kita ikhlas, ia akan jadi mudah. Hidup ni kalau semua nak mudah, susahlah.
5. Pejabat
Saya sebenarnya telah menyewa satu ruang pejabat sejak beberapa bulan yang lepas. Ingin cuba memisahkan rumah (kehidupan personal) dan juga perniagaan. Sekarang, bila saya pulang ke rumah, saya berehat dan melakukan aktiviti pengisian minda, emosi dan dalaman. Bila saya masuk ke pejabat, saya fokus pada kerja. Fikiran saya lebih tenang sekarang.
Walau kadang-kadang saya perlu buat kerja di rumah, tapi tidak selalu. Kebanyakan peralatan dan material bisnes saya semua telah berada di pejabat. Di rumah saya “kosong”. Hanya bawa balik laptop dan Celcom Broadband sahaja sebagai persediaan kalau-kalau perlu online dan buat kerja yang perlu disiapkan. Pendek kata, saya tinggalkan kerja saya “di luar rumah”.
Malah yang lebih menyeronokkan apabila saya melakukan aktiviti offline, saya bertemu dengan lebih ramai orang terutama para usahawan. Saya juga dapat mengasah lagi kemahiran komunikasi saya dan belajar pelbagai pengetahuan dan pengalaman orang lain.
InsyaAllah, dengan cara begini, hidup saya lebih teratur dan “sempurna”. Kepada usahawan internet, anda mungkin perlu keluar juga. Jangan lupakan dunia offline. Takkan hidup mati depan komputer je kot.
Saya belum dapat dedahkan di mana lokasi pejabat saya. Kalau nak jumpa saya di pejabat, perlu buat appointment dulu. Tapi buat masa ni, saya belum bersedia sebab saya sedang setup lagi perancangan offline saya. Tapi dah ada yang tahu, malah dah jumpa saya di pejabat.
Anda jangan salah sangka. Saya bukanlah keluar pagi-pagi dan bersesak-sesak di jalan untuk ke pejabat. TIDAK. Saya akan pergi ke pejabat pada bila-bila masa. Saya ada pelbagai tujuan mengapa saya menggunakan ruang pejabat.
Dipendekkan cerita, kini kebanyakan urusan rasmi saya lebih diyakini oleh banyak pihak selepas saya menggunakan pejabat berbanding hanya beroperasi di rumah. Sampai tahu tahap, mungkin kita perlu “upgrade” cara kita beroperasi.
6. Emel, JV..
Mungkin di antara anda ada menghantar emel kepada saya terutama pertanyaan mengenai JV dan mahu belajar ebiz. Maafkan saya jika saya belum balas atau tidak balas. Bukan tidak mahu balas, cuma terkadang saya terlupa untuk melakukannya atau memerlukan balasan emel yang panjang. Jadi saya harap anda memahami.
Salah satu bentuk emel yang selalu saya terima adalah mahu belajar mengenai perniagaan internet. Bukan saya tak nak membantu, tapi kini saya sedang usahakan untuk membuat modul perniagaan internet yang membantu. Modul ini saya tak akan jual di internet. Ia hanya diberikan kepada pelanggan konsultasi saya sahaja apabila dilaksanakan kelak.
Jadi, kepada sesiapa yang nak belajar daripada saya, jika diizinkanNya (saya sentiasa berdoa agar saya sihat supaya dapat membantu orang lain), saya akan umumkan nanti setelah saya bersedia.
Berkaitan dengan JV pula, jika anda mahu JV dengan saya, peratusan untuk saya setuju adalah tinggi jika produk anda begini:
1. Dihasilkan sendiri oleh anda. Bukan produk luar negara.
2. Sasaran adalah pasaran Malaysia.
3. Berbahasa Malaysia.
4. Produk baru (new fresh product) atau re-launch product.
5. Tidak sama dengan produk sedia-ada saya. Takkan nak promosi produk orang lain yang sama dengan produk saya kot.
6. Sesuai dengan audiens saya (pembaca blog dan subscibers saya) serta dengan bidang pengetahuan saya iaitu Internet Marketing, bisnes, motivasi dan komputer/internet.
7. “Betul-betul berkualiti” dan bukan produk yang ala kadar.
8. Tell the truth. Sales letter tak terlalu over-hype. Zaman untuk hype dah tak ada dah. Rakyat Malaysia semakin matang.
Jika tidak menepati salah satu syarat di atas, saya biasanya akan menolak jemputan JV. Mungkin syarat ke-7 tu sedikit ketat. Saya juga perlu jaga nama saya. Kalau saya salah promosi produk, saya juga yang akan turut dipersalahkan.
Tapi ada juga kes di mana produk yang cukup syarat tapi saya tak dapat bekerjasama kerana kesibukan atau ada projek sendiri yang perlu saya fokuskan masa, usaha dan tenaga. Saya buat masa ini hanya mahu target pasaran Malaysia (online dan offline) sahaja dulu, maka sebab itu produk anda perlu berbahasa Malaysia.
Isu Panas: Support After Sales
Saya memang menyediakan support terutama untuk masalah-masalah tertentu seperti masalah download produk atau masalah yang berkaitan dengan pembelian. TAPI, ramai yang salah sangka..
Kebanyakan produk informasi saya TIDAK SAMA SEKALI disertakan dengan khidmat konsultansi, khidmat nasihat dan ia bukan kursus, coaching atau training. Ramai yang menganggap dengan membayar beberapa puluh ringgit, mereka rasa berhak untuk jadikan saya sebagai “hamba”.
Tidak semua pelanggan bersikap sebegitu, tapi ada sebilangan yang boleh dibilang dengan jari. Saya pernah menulis mengenai perkara ini di mana kalau kita beli sesebuah produk, kita HANYA beli produk itu. Sebaliknya BUKAN khidmat nasihat melainkan ada dijanjikan. Jadi kita tiada hak untuk mempergunakan orang lain dengan bayaran yang “sedikit” tersebut.
NAMUN, jika anda adalah salah seorang pelanggan saya, anda pasti tahu yang saya walau lambat balas pun, saya tetap balas emel anda. Kes ini lebih kerap untuk pelanggan ebook Kit Blogger saya. Malah terkadang, saya hubungi semua pelanggan melalui emel untuk memaklumkan sesuatu perkembangan terkini. Bagi ebook Kit Blogger, saya sering kemaskini ebook dan berikannya secara percuma tanpa meminta sebarang caj.
Sampai satu tahap, saya tolong selesaikan masalah mereka. Mereka tidak minta, tapi saya yang tawarkan diri. Saya suka membantu mereka yang menghormati saya dan datang dengan cara yang beradab. Tapi kalau saya didatangi dengan biadab dan menganggap saya seperti hamba, saya sama sekali tak akan membantu. Malah sampai satu tahap, saya akan berikan “ceramah percuma” kepada mereka.
Tapi masih ada lagi yang tidak puas hati dengan khidmat percuma saya tersebut. Dan saya minta maaf kerana saya tidak dapat puaskan hati semua orang walaupun saya sudah cuba yang terdaya. Saya juga ada masa untuk diri saya sendiri dan kalau mahu saya bantu, sila bayar saya dengan bayaran yang setimpal. Apa ingat masa saya tak ada nilai?
Saya seringkali berlembut dan memberi peluang kepada ramai orang (pelanggan), tapi bila tiba masanya, saya akan bertegas kerana saya ada hak untuk mempertahankan hak-hak saya yang tidak dihormati padahal saya menghormati hak-hak mereka.
Bagi anda yang berniaga, ingat.. Jangan benarkan sesiapa mengambil atau mencuri masa anda tanpa memberikan sebarang faedah kepada anda. Begitu ramai manusia yang suka mempergunakan orang lain demi kepentingan dan kepuasan sendiri. Pertahankan hak anda baik-baik.
Satu lagi perkara penting, saya juga manusia biasa. Walaupun saya melakukan perniagaan internet, tidak bermaksud saya berada di depan komputer selama 24 jam. Kebanyakan produk yang saya jual, saya sertakan terma dan syarat. Antara perkara yang saya tekankan adalah:
1. Support saya hanya pada hari dan waktu bekerja: Isnin – Jumaat, 8.00 pagi – 5.00 petang. Lepas waktu itu, izinkan saya berehat dan meluangkan waktu bersama keluarga saya. Harap tidak diganggu. Ia adalah hak dan privasi saya. Jika ada perkara urgent, SMS saya. No telefon, saya ada bagi. Semua pelanggan ada no. telefon saya.
2. Boleh emel pada bila-bila masa. Tapi saya akan balas pada waktu seperti yang saya nyatakan di atas. Namun jika urgent atau dalam keadaan tertentu, saya akan “overtime” (tak tengok waktu).
3. Support hanya melalui emel sahaja terutama mengenai perkara teknikal.
Pendek kata, kami juga bekerja seperti mana orang lain bekerja. Yang bezanya, kami gunakan internet. Kami bekerja ada waktunya, ada harinya. BUKAN 24 jam dan 7 hari seminggu.
Seperti mana pelanggan ada hak, maka usahawan / peniaga juga ada hak. Hormat menghormatilah satu sama lain. Janganlah memperhambakan atau mempergunakan para usahawan. Setakat bayaran puluhan ringgit, ia bukan satu nilai yang besar pun. Kita tak ada hak untuk berlebih-lebih meminta macam-macam benda dengan mereka terutama yang tidak kita bayar.
Hasil kerja mereka atau produk yang dijual itu sudah cukup untuk kita berterima kasih kepada mereka. Mereka adalah penyelesai masalah kita. Hormati mereka, bincang dengan baik dan berkomunikasilah dengan sopan. Jika kita hormati mereka, mereka juga akan menghormati kita.
Saya nyatakan ini semua bukan kepada mereka yang datang kepada saya dengan baik-baik. 97.5% para pelanggan saya semuanya baik-baik dan saya amat ‘sayangkan’ mereka. Cuma segelintir sahaja yang mudah cakap lepas dan tidak memahami diri orang lain. Jadi jangan pula ada yang terasa ya. Saya yakin yang sedang membaca ni adalah orang yang baik-baik. Orang yang tak baik dia tak ada masa nak baca tulisan panjang macam ni.
Dan saya juga tak nak kata support saya bagus. Tapi setakat ini, ramai yang berpuas-hati walaupun masih ada ruang kekurangan yang perlu saya perbaiki. Saya berterima kasih kepada para pelanggan saya yang memahami dan memberi sokongan kepada saya.
Mungkin anda anggap saya sedang marah. Saya bukan marah.
Cuma mewakili para usahawan (terutama usahawan internet) yang sering disalah-anggap (lainlah si penipu skim cepat kaya atau penjual ebook scam). Kami hanya menyatakan hak-hak kami yang banyak dilanggar oleh para pelanggan. Kami juga ada hak privasi kami sendiri. Tolong hormati.
Kesimpulan kepada perkara ini: Jualan produk saya tidak termasuk khidmat nasihat, konsultansi, coaching atau khidmat tolong buat. Harga bagi kebanyakan produk saya adalah harga untuk produk tersebut, bukan sekali dengan khidmat nasihat. Tapi saya ada sediakan khidmat selepas jualan untuk perkara tertentu dan tidak berlepas tangan. Saya juga sedar hak-hak para pelanggan yang perlu saya penuhi.
Sekian setakat ini, harap maklum.
Tip Perniagaan Internet: Usahalah dengan Kudrat Sendiri
Nasihat saya kepada sesiapa yang baru ingin bermula atau ingin mengetahui sesuatu ilmu, usahalah sendiri. Jangan berharap atau bergantung harap kepada orang lain.
Saya sendiri pun kebanyakan perkara saya cari dan usaha sendiri. Ya lah, kalau nak harap orang lain, mereka tak akan bagitahu mudah-mudah melainkan kawan rapat atau satu group. Jadi saya tekad untuk usaha sendiri sama ada beli buku, ebook, research, bertanya, pinjam buku dan sebagainya.
Tidak kisahlah usaha anda itu perlu bayar atau tidak, tapi jangan bergantung harap pada orang lain. Saya masih ingat semasa di kampus dulu, saya belajar sendiri HTML. Tanya kawan, kawan tak nak ajar. Lantas saya beli buku. Tak cukup dengan itu, saya pinjam buku di perpustakaan. Akhirnya saya faham apa itu HTML.
Di zaman sekarang, kita perlu bergerak pantas. Siapa yang lambat dia akan ketinggalan atau kalah. Jangan duduk diam dan jangan tunggu peluang. Sebaliknya kita yang perlu wujudkan peluang sendiri. Fikiran pula perlu sentiasa ligat dan azam juga perlu kuat. Kita tidak boleh rasa lemah. Walau susah sekali mana pun, kita perlu hadapi, lalui dan melakukannya.
Kalau kita tidak berjaya, jangan sesekali salahkan orang lain kerana kita mampu untuk memperbetulkan keadaan. Kita ada pilihan sebenarnya: Hanya mahu dan tak mahu sahaja. Antara minda (pemikiran) yang positif atau negatif sahaja. Elakkanlah diri daripada membuang masa dan penuhilah ia dengan sesuatu yang produktif sama ada untuk spiritual, emosi, fizikal, sosial atau material.
Inilah yang dikatakan sebagai survival kehidupan. Sebahagian besar adalah “ditentukan oleh tangan kita sendiri” (usaha). Bukan orang lain.
Sekian.
Incoming search terms:
- isu semasa keusahawanan
- perkembangan isu semasa
- isu perkembangan semasa
- isu semasa dalam perkembangan keusahawanan
- isu semasa perkembangan aktiviti keusahawanan
- isu-isu semasa dalam keusahawanan
Komen Terkini