Saya rasa saya perlu berkongsi dengan anda mengenai satu buku ini yang bertajuk “Skali Lagi” tulisan Tengku Farith Rithauddeen. Buku ini mengisahkan jatuh bangun dan sepak terajang di dalam dunia keusahawanan beliau bersama rakan kongsinya.

(Sumber imej: www.pts.com.my)
Sudah lama niat di hati untuk membeli buku ini, tapi saya sering lupa dan menangguh. Lantas Ahad lepas saya terus ke kedai buku untuk membelinya. Sebelum saya terlupa, buku versi Bahasa Melayu ini adalah terbitan PTS Profesional.
Saya tidak mahu menyatakan berapa bab yang ada dalam buku ini malah saya sendiri pun tidak baca sangat nombor babnya. Akibat begitu menarik sekali perkongsian cerita oleh Tengku Farith, saya teruja, asyik dan lupa perkara yang lain sehinggakan tajuk besarnya pun saya tak ingat.
Bagi saya, bayaran RM18.00 untuk buku ini hanyalah bayaran untuk cetakan buku sahaja. Tetapi nilai sebenar perkongsian oleh Tengku Farith tiada nilainya. Nilai pengalaman beliau bersama rakan kongsi di dalam mencipta kejayaan adalah amat besar sekali dan amat bernilai kepada sekalian para usahawan.
Apa yang menjadi dasar utama penulisan buku ini adalah jatuh bangun penulis bersama rakan kongsinya di dalam membina empayar perniagaan dot com di bawah jenama SKALI sehingga mencapai kejayaan di hari ini.
Walaupun bisnes yang mereka ceburi adalah berbentuk skala besar (projek juta-juta), namun secara asasnya, nilai keusahawanan mereka sesuai kepada sesiapa sahaja termasuk usahawan berskala kecil.
Semangat, motivasi, kegagalan, kekecewaan, konflik dan sebagainya yang menjadi asam garam dunia keusahawanan semuanya telah digarapkan dengan baik di dalam buku ini.
Mungkin ada yang tertanya, apakah produk SKALI? Dulu, di peringkat permulaan, projek besar mereka adalah enjin pencari dan pengiklanan online dengan kerjasama pihak AltaVista. Kini, hala tuju mereka telah berubah iaitu kepada syarikat penyedia e-bisnes seperti penyedia simpanan data.
Untuk pengetahuan anda, pihak SKALI adalah antara pihak awal yang menyediakan khidmat data center. Pada masa itu kata mereka, pihak Telekom dan Jaring belum lagi memiliki data center sendiri.
Hasrat anak-anak muda di SKALI ini di peringkat permulaan begitu tinggi dan kejayaan sudah diimpikan di dalam fikiran masing-masing. Lagi-lagi merekalah perintis kepada projek sebegitu (enjin carian).
Namun, kejayaan hanyalah mimpi di siang hari. Satu demi satu masalah telah dihadapi oleh mereka. Manis yang diharap, pahit yang terpaksa ditelan hari demi hari bertahun lamanya.
Bayangkan, daripada puluhan pekerja, akhirnya sehingga tahap maksimum, yang tinggal hanyalah rakan kongsi sahaja. Itu pun tanpa bergaji atau paling banyak RM200 sebulan! Malah, Tengku Farith hanya menunggang skuter sahaja pada saat genting mereka.
Walaupun begitu, mereka terus menghadapi dengan cekal. Mereka survive habis-habisan walaupun sampai satu tahap mereka bertegang sesama sendiri. Namun, mereka tetap bersama dan berdiri teguh dengan cita-cita mereka.
Kini, SKALI bukan lagi seperti dulu. Mereka sudah ada tapak dan payung. Penat lelah dan perit jerih mereka selama hampir 10 tahun sudah terbalas..
Itu hanyalah ringkasan sahaja. Anda boleh baca rentetan cerita mereka dengan membaca buku ini.

Satu Pasukan Yang HEBAT! (Sumber Imej: skalilagi.net)
Antara pelajaran penting yang saya pelajari daripada buku ini adalah:
1. Jangan lakukan sesuatu yang bukan kemampuan kita. Salah satu punca pihak SKALI menghadapi masalah adalah kerana mengambil projek di luar daripada skop/kemampuan mereka.
2. Fokus. Pentingnya fokus kepada kekuatan atau skop perniagaan. Saya (malah mungkin anda), berkali-kali lari fokus. Kejap Ebay, kejap lelong, kejap produk digital, kejap adsense. Akhirnya semua tak dapat.
Anda tidak perlu risau mengenai MSI (multiple streams of income) sebab ia boleh dilakukan kelak. Yang PENTING adalah bina dahulu empayar dalam satu bidang.
3. Kerjasama. Salah satu yang dipelajari oleh pihak SKALI adalah jangan tamak di dalam mendapatkan tender projek. Sebaliknya, boleh bekerjasama dengan pihak yang memenangi tender itu dengan menyediakan sesuatu yang kita mampu sediakan.
Contohnya, tawarkan bahagian yang pihak pemenang tender itu dengan sesuatu yang mereka tidak pakari. Pelajaran di sini, jangan mahu mendominasi pasaran secara tamak (sorang-sorang). Jika boleh bahagi keuntungan dengan pihak lain, lakukannya.
4. Rundingan. Pihak SKALI begitu banyak menghadapi masalah terutama kewangan. Tapi mereka pandai berunding dan mencadangkan jalan penyelesaian kepada pihak yang menuntut sesuatu daripada mereka. Salah satunya pihak pemiutang.
Jadi, jika anda dilanda masalah, jangan terus menyerah kalah. Cuba berunding dan senaraikan beberapa cadangan kepada pihak berkaitan.
5. Bijak berfikir. Pentingnya berfikir dengan tenang dan bijak di dalam menyelesaikan masalah dan jangan mudah berputus-asa. Pihak SKALI mungkin tidak akan berjaya seperti sekarang jika mereka tidak duduk semeja dan merancang strategi dan tindakan.
6. Nilai KEGAGALAN. Mereka banyak mengalami kegagalan demi kegagalan. Kini, sudah pasti mereka semakin matang dan profesional. Yang lebih penting, mereka tidak takut gagal malah semakin berani melakukan sesuatu yang orang lain takut melakukannya.
7. Perkongsian. Sewaktu SKALI menghadapi zaman kejatuhan, ada beberapa pihak membantu mereka. Sebab itu mereka mampu lagi bernafas. Jadi pesan Tengku Farith, jika kita sedang berjaya, apa salahnya membantu mereka (usahawan) yang sedang mengalami kesusahan.
8. Perlu menilai orang dari dalam dan luar. SKALI pernah kerugian masa selama satu tahun di dalam mendidik satu syarikat milik tiga orang anak muda. Mereka dipilih kerana bagusnya idea produk mereka.
Namun, tidak disangka rupanya nilai dalaman anak-anak muda itu terlalu rapuh. Pelajaran yang pihak SKALI perolehi adalah, jangan menilai pada bagusnya hitam putih pada kertas atau produk, tapi nilai juga dalaman manusia yang terlibat.
9. Persamaan pendapat bukan titik tolak kejayaan satu pasukan. Rakan kongsi di dalam SKALI mempunyai corak pemikiran yang berbeza. Akibat daripada perbezaan itulah SKALI kekal sehingga ke hari ini.
Mungkin selama ini kita menganggap perlunya sama pemikiran bagi semua satu pasukan perniagaan. Ia satu anggapan yang salah. Dengan berbezanya pendapat dan cara berfikir, di situlah wujudnya ranting demi ranting idea dan strategi.
Dalam kes SKALI, Tengku Rithauddeen memang tidak sama pemikirannya dengan rakan kongsi yang lain. Katanya, beliau jenis cool dan seorang rakan kongsi yang lain amat tegas sekali.
Jadi, jika anda melakukan sesuatu secara berpasukan, elakkan sifat “yes man”. Ia boleh meleburkan usaha yang dilakukan. Biarlah rakan kongsi terasa hati sedikit demi kebaikan bersama. Sudah pasti, sifat saling memahami dan terbuka teramatlah penting.
10. Jangan takut berimpian besar. Pasukan SKALI memang bercita-cita besar. Impian itu bukan sekadar impian, tapi dilakukan dengan penuh kesungguhan. Sebab itu mereka kekal sehingga sekarang.
11. Tukar Model Perniagaan. Setelah melihat projek enjin pencari tidak memberikan keuntungan yang besar, lantas Team SKALI menukar strategi dengan melihat apakah skop lain yang mereka boleh ceburi dan sudah semestinya yang mempunyai harapan yang cerah.
Bagi anda para usahawan, jika anda rasakan apa yang anda lakukan sekarang tidak sesuai atau merasakan ia tidak dapat membawa anda kepada impian yang dicitakan, cubalah beralih kepada usaha atau idea yang lain.
Banyak lagi pelajaran penting di dalam buku ini. Beli dan bacalah. Tip saya, baca buku ini di satu tempat yang sunyi dan tiada gangguan. Hayati perjalanan SKALI dari mula sehingga ke hari ini. Hayati dengan sepenuh hati…
Saya amat yakin, selepas anda habis membaca buku ini dengan PENUH PENGHAYATAN, saya teramat yakin, motivasi dan semangat anda akan naik dengan mendadak. Anda yang sedang berputus-asa akan pasti tidak sabar-sabar untuk bermula sekali lagi. InsyaAllah.
Walaupun banyak pelajaran di dalam buku ini, namun saya simpulkan kepada intipati utama iaitu:
“Jika GAGAL, jika hilang fokus, mulakannya SEKALI LAGI.”
Akhir kata bagi penutup artikel ini, saya juga sekali lagi akan menganalisa semula kedudukan perniagaan saya sekarang untuk beranjak ke tahap yang lebih baik.
Anda bagaimana? Sudah berputus-asa? Jangan begitu. Mulakanlah sekali lagi!
PS. Berita baik: Anda sebenarnya boleh download percuma buku ini (versi digital) di sini:
http://skalilagi.net/index.php?ch=download
Komen Terkini