Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Kes Berat : Salah Guna Nama Irfan Khairi!

Sejak dua menjak ni, banyak pula skim cepat kaya yang baru dan pelbagai bentuk. Saya dah malas sebenarnya nak menulis perkara macam ni sebab saya lihat kebanyakan orang yang sertai adalah orang yang sama sahaja terutama mereka yang susah nak terima nasihat orang.

Yang terkini, ada satu skim atau program yang telah salah gunakan nama Irfan Khairi. Memang tak patut ia dilakukan sebab ia jelas satu perkara yang amat salah dan boleh diklafikasikan sebagai satu jenayah yang berat juga.

Semenjak tahun 2005 lagi, saya sentiasa mengikuti perkembangan Irfan Khairi (IK) dan pada awal kemunculan IK, ada satu kes yang salah gunakan nama beliau. Untuk kes pertama, si pesalah telah dikenakan tindakan undang-undang.

Sekarang, ada lagi orang buat salah yang sama dan mencipta ‘bala’ untuk diri sendiri. Ini kes tak ambil teladan daripada kes dulu-dulu lah ni. Si pesalah itu sekarang sudah berdepan dengan tindakan undang-undang.

Bacaan selanjutnya anda boleh lawati blog Irfan Khairi di sini:

IK Ambil Tindakan Undang-Undang

Yang pasti apa yang IK beritahu, si pesalah tersebut telah pun dikenalpasti. Oh, mudah rupanya nak cari pesalah siber ya. ;) So, hati-hati kepada mereka yang asyik ganggu orang melalui Internet. Dunia ni bukan besar mana pun. Janganlah cari padah. Banyak lagi benda baik yang boleh dibuat.

Kita perlu ingat satu prinsip sahaja. Sehebat mana teknologi, kita perlu ingat bahawa teknologi itu manusia yang cipta. Jadi jangan ingat kita boleh guna teknologi dengan andaian kita selamat dan orang tak boleh kenalpasti kita. Ia andaian yang silap.

Pelajaran di sini:

1. Kita ada peruntukan undang-undang. Gunakan sahaja kalau orang salah guna atau rampas hak kita. Janganlah terlalu berlembut tak bertempat.

2. Buat baik berpada-pada, buat jahat JANGAN SEKALI-KALI.

3. Orang akan semakin ligat ambil hak kita jika kita tidak bertindak tegas.

4. Jangan suka-suka salah guna nama orang. Gunalah nama sendiri yang ibu bapa kita berikan!

Incoming search terms:

  • dr azizan osman menipu
  • dr azizan osman penipu
  • dr azizan osman tipu
  • dr azizan osman menipu penipu
  • azizan osman penipu
  • dr azizan tipu
  • dr azizan penipu
  • irfan khairi penipu
  • kes kena tangkap dengan polis sebab penipuan online
  • kes salah guna internet

Pakej Kit Blogger Versi 2.7!

Alhamdulillah, setelah bertungkus-lumus, akhirnya siap juga Pakej Kit Blogger versi 2.7.

Sebaik sahaja release WordPress 2.7, saya terus melakukan kemaskini ebook. Hampir 100 muka surat juga kemaskini tersebut! Bukan sahaja lebih 200 imej screenshot yang dilakukan dan dimasukkan ke dalam ebook, malah ayat-ayat di dalam ebook sekali lagi di’proof-read’!

Klik di sini untuk membaca artikel ini sepenuhnya…

Incoming search terms:

  • duit affiliate niagakit

Perancangan 2009

Tahun 2008 sudah semakin hampir kepada tirai penutupnya. Tahun 2009 akan menjelma dan ‘buku baru’ akan dibuka oleh sesiapa sahaja..

Begitu juga saya dan perniagaan yang sedang saya usahakan ini. Di akhir tahun ini, ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan di samping merancang untuk tahun hadapan.

Luangkan Masa Untuk Perancangan

Tanpa perancangan, segalanya hanya akan jadi sebuah permainan. Di dalam perniagaan, perancangan amat penting sekali. Perancangan kerja, projek, kewangan dan juga pengurusan.

Walaupun bisnes SOHO hanya dilakukan di rumah sahaja, namun jangan melihat ia sebelah mata sahaja. Kita perlu belajar asas akaun, pengurusan kewangan dan juga pengurusan perniagaan. Beli buku berkaitan dan juga sertai kursus-kursus yang perlu.

Andaikata tahun 2008 ini tidak banyak pencapaian yang anda perolehi, jangan melihat ia sebagai kegagalan. Tetapi lihatlah ia sebagai satu PROSES pembelajaran yang akan menjadikan anda lebih matang.

Saya sendiri pun, sehingga kini begitu banyak juga kesilapan demi kesilapan yang telah dilakukan. Namun saya tidak lihat ia sebagai petanda yang saya perlu berputus-asa atau berhenti daripada usaha ini.

Sebaliknya, itu semua adalah PENGALAMAN yang amat-amat bernilai. Semakin saya mengalami kegagalan, barulah saya faham erti kepentingan kegagalan tersebut. Semakin banyak kita gagal, kita semakin matang, berfikiran jauh, kental dan berani.

Saya amat yakin, dengan beberapa ‘kegagalan’ saya pada tahun ini, semua itu akan memberikan hasil yang berkali ganda pada tahun hadapan. InsyaAllah.

Bagaimana pula dengan anda? Pastikan kesilapan yang dilakukan atau kegagalan yang dialami dijadikan sebagai satu batu loncatan untuk anda mencapai kejayaan.

Selamat berjaya dan kita jumpa semula di tahun 2009!

Wassalam.

Pengumuman:

1. Pakej Kit Blogger: Saya akan hubungi mereka yang terlibat dan akan umumkan pelancaran versi kemaskini nanti.

2. Saya akan ‘bercuti’ seminggu dua pada bulan Disember ini daripada menulis di blog. Mungkin sehingga hujung tahun ini. Ke mana saya? Tak ke mana. Banyak kerja akhir tahun yang perlu disiapkan.

Harap maklum.

Incoming search terms:

  • perancanagn keusahawanan
  • perancangan amat penting
  • perancangan kieusahawanan
  • perancangan masa hadapan usahawan

Blook?

Ada yang tahu, ada yang tak tahu apa itu “blook”.

Blook adalah ringkasan bagi blog book di mana panggilan untuk sebuah buku yang dihasilkan dengan menggunakan artikel-artikel yang ditulis di blog.

Antara contoh buku yang mana sebahagian besar isi kandungan bukunya adalah daripada artikel dari blog adalah:

1. Siri Nota Jutawan Irfan Khairi

2. Wang, Anda dan Islam – Ustaz Zaharuddin

3. Jiwa Kacau – oleh Geng Jurnal

Saya tidak pasti berapa banyak buku yang dihasilkan melalui cara ini. Dan konsep blook ini sudah lama digunapakai di luar negara, cuma mungkin masih baru di Malaysia.

Walau pun begitu, tidak bermakna semua artikel dicopy paste sahaja dari blog, sebaliknya ia perlu diedit dan dipersembahkan dalam format yang lebih baik.

Selain buku, sebenarnya artikel-artikel yang anda tulis di blog boleh dipersembahkan dalam pelbagai bentuk seperti audio dan video.

Hakcipta Terpelihara

Artikel yang anda tulis di blog adalah satu harta atau khazanah anda yang amat bernilai. Sebab itu anda perlu jaga ia baik-baik dan jangan sesekali biarkan orang lain mengambilnya tanpa kebenaran.

Pastikan anda tidak memandang remeh hal ini terutama mereka yang mengambil artikel anda untuk tujuan komersil. Jika ini terjadi, yang ruginya adalah anda..

Kesimpulan

Koleksi artikel anda adalah salah satu jalan pintas untuk anda menghasilkan buku tanpa perlu mula menulis dari A hingga Z. Semuanya siap sedia, cuma yang perlu dilakukan adalah mempersembahkannya dalam bentuk yang lebih baik dan menarik.

Anda ada blog yang mengandungi artikel dan ia berpotensi untuk dipasarkan dalam bentuk buku? Jika ya, anda mungkin boleh mencubanya sama ada secara penerbitan sendiri atau melalui mana-mana pihak penerbit.

Namun, tidak semestinya buku bercetak. Anda juga boleh terbitkan dalam bentuk ebook jika sesuai dengan pasaran.

Selamat mencuba.

Incoming search terms:

  • terbitkan blook

Skali Lagi

Saya ingin berkongsi dengan anda mengenai satu buku ini yang bertajuk “Skali Lagi” tulisan Tengku Farith Rithauddeen. Buku ini mengisahkan jatuh bangun dan sepak terajang di dalam dunia keusahawanan beliau bersama rakan kongsinya.

(Sumber imej: www.pts.com.my)

Sudah lama niat di hati untuk membeli buku ini, tapi saya sering lupa dan menangguh. Lantas Ahad lepas saya terus ke kedai buku untuk membelinya. Sebelum saya terlupa, buku versi Bahasa Melayu ini adalah terbitan PTS Profesional.

Saya tidak mahu menyatakan berapa bab yang ada dalam buku ini malah saya sendiri pun tidak baca sangat nombor babnya. Akibat begitu menarik sekali perkongsian cerita oleh Tengku Farith, saya teruja, asyik dan lupa perkara yang lain sehinggakan tajuk besarnya pun saya tak ingat.

Bagi saya, bayaran RM18.00 untuk buku ini hanyalah bayaran untuk cetakan buku sahaja. Tetapi nilai sebenar perkongsian oleh Tengku Farith tiada nilainya. Nilai pengalaman beliau bersama rakan kongsi di dalam mencipta kejayaan adalah amat besar sekali dan amat bernilai kepada sekalian para usahawan.

Apa yang menjadi dasar utama penulisan buku ini adalah jatuh bangun penulis bersama rakan kongsinya di dalam membina empayar perniagaan dot com di bawah jenama SKALI sehingga mencapai kejayaan di hari ini.

Walaupun bisnes yang mereka ceburi adalah berbentuk skala besar (projek juta-juta), namun secara asasnya, nilai keusahawanan mereka sesuai kepada sesiapa sahaja termasuk usahawan berskala kecil.

Semangat, motivasi, kegagalan, kekecewaan, konflik dan sebagainya yang menjadi asam garam dunia keusahawanan semuanya telah digarapkan dengan baik di dalam buku ini.

Mungkin ada yang tertanya, apakah produk SKALI? Dulu, di peringkat permulaan, projek besar mereka adalah enjin pencari dan pengiklanan online dengan kerjasama pihak AltaVista. Kini, hala tuju mereka telah berubah iaitu kepada syarikat penyedia e-bisnes seperti penyedia simpanan data.

Untuk pengetahuan anda, pihak SKALI adalah antara pihak awal yang menyediakan khidmat data center. Pada masa itu kata mereka, pihak Telekom dan Jaring belum lagi memiliki data center sendiri.

Hasrat anak-anak muda di SKALI ini di peringkat permulaan begitu tinggi dan kejayaan sudah diimpikan di dalam fikiran masing-masing. Lagi-lagi merekalah perintis kepada projek sebegitu (enjin carian).

Namun, kejayaan hanyalah mimpi di siang hari. Satu demi satu masalah telah dihadapi oleh mereka. Manis yang diharap, pahit yang terpaksa ditelan hari demi hari bertahun lamanya.

Bayangkan, daripada puluhan pekerja, akhirnya sehingga tahap maksimum, yang tinggal hanyalah rakan kongsi sahaja. Itu pun tanpa bergaji atau paling banyak RM200 sebulan! Malah, Tengku Farith hanya menunggang skuter sahaja pada saat genting mereka.

Walaupun begitu, mereka terus menghadapi dengan cekal. Mereka survive habis-habisan walaupun sampai satu tahap mereka bertegang sesama sendiri. Namun, mereka tetap bersama dan berdiri teguh dengan cita-cita mereka.

Kini, SKALI bukan lagi seperti dulu. Mereka sudah ada tapak dan payung. Penat lelah dan perit jerih mereka selama hampir 10 tahun sudah terbalas.

Itu hanyalah ringkasan sahaja. Anda boleh baca rentetan cerita mereka dengan membaca buku ini.

Satu Pasukan Yang HEBAT! (Sumber Imej: skalilagi.net)

Antara pelajaran penting yang saya pelajari daripada buku ini adalah:

1. Jangan lakukan sesuatu yang bukan kemampuan kita. Salah satu punca pihak SKALI menghadapi masalah adalah kerana mengambil projek di luar daripada skop/kemampuan mereka.

2. Fokus. Pentingnya fokus kepada kekuatan atau skop perniagaan. Saya (malah mungkin anda), berkali-kali lari fokus. Kejap Ebay, kejap lelong, kejap produk digital, kejap adsense. Akhirnya semua tak dapat.

Anda tidak perlu risau mengenai MSI (multiple streams of income) sebab ia boleh dilakukan kelak. Yang PENTING adalah bina dahulu empayar dalam satu bidang.

3. Kerjasama. Salah satu yang dipelajari oleh pihak SKALI adalah jangan tamak di dalam mendapatkan tender projek. Sebaliknya, boleh bekerjasama dengan pihak yang memenangi tender itu dengan menyediakan sesuatu yang kita mampu sediakan.

Contohnya, tawarkan bahagian yang pihak pemenang tender itu dengan sesuatu yang mereka tidak pakari. Pelajaran di sini, jangan mahu mendominasi pasaran secara tamak (sorang-sorang). Jika boleh bahagi keuntungan dengan pihak lain, lakukannya.

4. Rundingan. Pihak SKALI begitu banyak menghadapi masalah terutama kewangan. Tapi mereka pandai berunding dan mencadangkan jalan penyelesaian kepada pihak yang menuntut sesuatu daripada mereka. Salah satunya pihak pemiutang.

Jadi, jika anda dilanda masalah, jangan terus menyerah kalah. Cuba berunding dan senaraikan beberapa cadangan kepada pihak berkaitan.

5. Bijak berfikir. Pentingnya berfikir dengan tenang dan bijak di dalam menyelesaikan masalah dan jangan mudah berputus-asa. Pihak SKALI mungkin tidak akan berjaya seperti sekarang jika mereka tidak duduk semeja dan merancang strategi dan tindakan.

6. Nilai KEGAGALAN. Mereka banyak mengalami kegagalan demi kegagalan. Kini, sudah pasti mereka semakin matang dan profesional. Yang lebih penting, mereka tidak takut gagal malah semakin berani melakukan sesuatu yang orang lain takut melakukannya.

7. Perkongsian. Sewaktu SKALI menghadapi zaman kejatuhan, ada beberapa pihak membantu mereka. Sebab itu mereka mampu lagi bernafas. Jadi pesan Tengku Farith, jika kita sedang berjaya, apa salahnya membantu mereka (usahawan) yang sedang mengalami kesusahan.

8. Perlu menilai orang dari dalam dan luar. SKALI pernah kerugian masa selama satu tahun di dalam mendidik satu syarikat milik tiga orang anak muda. Mereka dipilih kerana bagusnya idea produk mereka.

Namun, tidak disangka rupanya nilai dalaman anak-anak muda itu terlalu rapuh. Pelajaran yang pihak SKALI perolehi adalah, jangan menilai pada bagusnya hitam putih pada kertas atau produk, tapi nilai juga dalaman manusia yang terlibat.

9. Persamaan pendapat bukan titik tolak kejayaan satu pasukan. Rakan kongsi di dalam SKALI mempunyai corak pemikiran yang berbeza. Akibat daripada perbezaan itulah SKALI kekal sehingga ke hari ini.

Mungkin selama ini kita menganggap perlunya sama pemikiran bagi semua satu pasukan perniagaan. Ia satu anggapan yang salah. Dengan berbezanya pendapat dan cara berfikir, di situlah wujudnya ranting demi ranting idea dan strategi.

Dalam kes SKALI, Tengku Rithauddeen memang tidak sama pemikirannya dengan rakan kongsi yang lain. Katanya, beliau jenis cool dan seorang rakan kongsi yang lain amat tegas sekali.

Jadi, jika anda melakukan sesuatu secara berpasukan, elakkan sifat “yes man”. Ia boleh meleburkan usaha yang dilakukan. Biarlah rakan kongsi terasa hati sedikit demi kebaikan bersama. Sudah pasti, sifat saling memahami dan terbuka teramatlah penting.

10. Jangan takut berimpian besar. Pasukan SKALI memang bercita-cita besar. Impian itu bukan sekadar impian, tapi dilakukan dengan penuh kesungguhan. Sebab itu mereka kekal sehingga sekarang.

11. Tukar Model Perniagaan. Setelah melihat projek enjin pencari tidak memberikan keuntungan yang besar, lantas Team SKALI menukar strategi dengan melihat apakah skop lain yang mereka boleh ceburi dan sudah semestinya yang mempunyai harapan yang cerah.

Bagi anda para usahawan, jika anda rasakan apa yang anda lakukan sekarang tidak sesuai atau merasakan ia tidak dapat membawa anda kepada impian yang dicitakan, cubalah beralih kepada usaha atau idea yang lain.

Banyak lagi pelajaran penting di dalam buku ini. Beli dan bacalah. Tip saya, baca buku ini di satu tempat yang sunyi dan tiada gangguan. Hayati perjalanan SKALI dari mula sehingga ke hari ini. Hayati dengan sepenuh hati…

Saya amat yakin, selepas anda habis membaca buku ini dengan PENUH PENGHAYATAN, saya teramat yakin, motivasi dan semangat anda akan naik dengan mendadak. Anda yang sedang berputus-asa akan pasti tidak sabar-sabar untuk bermula sekali lagi. InsyaAllah.

Walaupun banyak pelajaran di dalam buku ini, namun saya simpulkan kepada intipati utama iaitu:

“Jika GAGAL, jika hilang fokus, mulakannya SEKALI LAGI.”

Anda bagaimana? Sudah berputus-asa? Jangan begitu. Mulakanlah sekali lagi!

PS. Berita baik: Anda sebenarnya boleh download percuma buku ini (versi digital) di sini:

http://skalilagi.net/index.php?ch=download

Layari Blog Motivasi Usahawan

-

Incoming search terms:

  • Tengku Farith Rithauddeen
  • skali lagi
  • skali
  • rumusan buku skali lagi tengku farith
  • skuter paling smart
  • SKALI TEAM
  • skali lagi tengku farith
  • blog tentang skali net
  • rangkaian perniagaan digi gerila pemasaran
  • pemasaran gerila

Jangan Perlahankan Langkah Anda

Salah satu faktor seseorang usahawan itu berputus-asa atau rasa berputus-asa adalah kerana pihak ketiga sama ada melalui kritikan negatif atau perbuatan jahat.

Seperti yang saya nyatakan di artikel-artikel sebelum ini, kritikan yang baik adalah kritikan yang dibuat secara berhemah dan ikhlas. Sebaliknya kritikan yang negatif adalah kritikan yang boleh membunuh motivasi dan daya gerak orang yang dikritik.

Namun, apa jua bentuk kritikan pun, anda sebagai usahawan jangan terlalu meluangkan masa yang banyak untuk melayan kritikan-kritikan tersebut dengan perasaan yang negatif. Apatah lagi turut sama ‘berperang’ dengan pengkritik-pengkritik tersebut.

Jika menghabiskan masa yang banyak untuk melayan mereka, sudah pasti ia akan memperlahankan pergerakan usaha yang sedang anda lakukan. Ini kerana apabila mereka memulakannya dan anda pula menambah, maka bermulalah babak-babak yang entah bila penamatnya (macam siri tenovela Indonesia beratus-ratus episod).

Lain jika anda tidak melayan langsung, ia pasti akan berakhir di situ sahaja atau yang berdrama hanya si tukang kritik dan kuncu-kuncunya sahaja. Tidak melayan kritikan bukan bermaksud kita tidak profesional, tetapi sebab kita profesionallah kita tidak melayan perkara yang membuang masa kita yang amat bernilai.

Yang Kurang Tidak Semestinya Tak Bagus

Di dalam buku The AirAsia Story, Tony Fernandes berulang kali menyatakan:

“Kebanyakan orang Malaysia suka melihat perkara negatif. Mereka sering mempersoalkan kenapa kekurangan itu terjadi? Sebaliknya mereka tidak terlalu lihat apa yang baik seolah-olah bagi mereka yang gagal atau kurang itu adalah salah atau tidak boleh sama sekali.”

Begitu juga seperti yang dikatakan oleh Billi Lim dalam bukunya Berani Gagal. Kebanyakan manusia melihat bahawa gagal itu adalah salah besar malah seperti satu dosa. Dan selama ini, pelajaran yang sering dilaungkan termasuk di sekolah dan pusat pengajian adalah lebih kepada mencapai kejayaan. Seolah-olah kalau boleh jangan gagal langsung.

*Petikan kata-kata mereka di atas saya tulis balik secara bebas.

Akibat daripada kesalahfahaman pemikiran ini, maka ramai usahawan tidak kekal lama dalam bidang perniagaan. Mereka tiada jati diri dan kekuatan untuk bangkit kembali. Yang mereka ada cuma semangat untuk berjaya tetapi tiada semangat dan keberanian untuk menghadapi kegagalan.

Mudah ceritanya, kebanyakan orang selama ini dididik agar TAKUT kepada gagal. Kesannya apabila gagal, maka mereka 100% membuat kesimpulan mereka telah GAGAL sepenuhnya dan mereka bersalah besar.

Pelajaran: Kesilapan atau kegagalan dalam setiap usaha bukan kegagalan yang muktamad. Itu adalah pelajaran agar kita tidak melakukan lagi sesuatu yang tidak mendatangkan hasil.

Nasihat Kepada Pengkritik

Kritikan yang baik adalah kritikan yang seimbang dan adil. Kritikan yang baik adalah dengan menyatakan pro dan kontra serta tidak bias kepada mana-mana pihak atau ada kepentingan diri atau semata-mata untuk menampakkan kehebatan diri.

Tapi apa yang sering kita lihat, ramai yang asyik mengkritik kekurangan atau kegagalan orang lain. Ini satu sikap yang kurang ajar wajar sebab ia boleh membunuh motivasi orang yang dikritik tersebut. Kebanyakan pengkritik sering salah faham yang mana mereka ingat mereka boleh perbetulkan sesuatu dengan kritikan, tapi hakikatnya tidak selalu begitu.

Hati-hati dalam penulisan dan kata-kata. Bertanggungjawablah sebaik mungkin. Jangan hanya tahu mengkritik dan biarkan orang yang dikritik demam tak kebah akibat motivasi mereka jatuh mendadak kerana kritikan yang amat berbisa. Ini biasanya berlaku melalui kritikan berbentuk ‘personal attack’.

Di dalam Islam pun amat menggalakkan kita diam daripada berbicara kerana tidak semestinya bicara kita itu menjernihkan keadaan melainkan ia perlu dan betul-betul boleh membantu.

Islam amat menekankan soal menjaga lisan (kata-kata, penulisan..) malah banyak ulama’ menulis satu kitab khas mengenai menjaga lisan. Semoga kita dijauhi daripada cakap-cakap yang tidak bermanfaat dan menyusahkan hidup orang lain.

Jangan sebab kita pandai menulis atau blogger yang dikenali, hebat atau sebagainya, kita boleh tulis apa sahaja yang kita mahu. Kita tetap disempadani oleh adab, adat, nilai kehidupan, peraturan hidup dan etika. Mudah katanya, jangan sesekali perbuatan kita seperti kita tidak berAgama.

Sebab itu kita perlu fikir dahulu sebelum menulis atau berkata-kata. Fikir dulu apakah akibat daripada perbuatan tersebut. Kalau ia boleh menyusahkan kehidupan orang, jangan ringan tangan melakukannya melainkan ia amat perlu.

Walaupun menulis atau berkata itu mudah dan ringan, tetapi untuk bertanggungjawab terhadapnya tidak seringan yang disangka. Jadi, fikirkan baik-baik dan jadi seorang yang bertanggungjawab serta adil di dalam mengkritik.

Apa pun, kritikan itu jika kena pada tempat dan caranya, ia tidak salah, malah boleh memberikan momentum. Tapi bagi saya, saya tak ada banyak masa untuk mengkritik orang lebih-lebih lagi orang yang lebih berjaya daripada saya.

Sebaliknya, kita perlu banyak belajar daripada orang yang berjaya dan BUKAN mengkritik mereka walaupun kita boleh mengkritik.

Bak kata Karam Singh Walia sambil mengangkat-ngangkat tangannya, “Lembu orang dikejar-kejar, lembu sendiri yang kelaparan. Yang dikejar tak dapat, yang lapar mati kebuluran”.

(Nama dan pepatah di atas hanya rekaan sahaja bagi menyedapkan artikel ini).

Sekian, wassalam.

Incoming search terms:

  • usahawan respons kepada kritikan

Panduan Asas SEO + Tiga Rahsia PENTING

SEO adalah satu teknik pemasaran dan promosi yang percuma. Atau dalam istilah Internet Marketing, ia dipanggil sebagai Organic Search.

Namun, ikhlas saya katakan, untuk mendapat hasil SEO yang memuaskan ia memakan masa. Tapi walaupun mengambil masa, jika anda tidak mulakan sekarang, maka hasilnya entah bila anda akan dapat. Dan saya buat SEO untuk blog ini sejak dua tahun yang lepas lagi.

Jadi mulakan hari ini juga sedikit demi sedikit. Buat yang asas-asas dulu pun tak apa macam link exchange, submit ke direktori, internal linking dan juga On Page SEO. Sebelum tu, kenal pasti apakah keyword yang patut anda target melalui keyword research.

Satu syarat penting, buat secara normal dan jangan terlalu mendadak. Sebab itu amat penting anda rangka jadual untuk aktiviti SEO laman web atau blog anda.

Dengan siapa boleh belajar SEO?

Jawapan mudah, bukan dengan saya. Saya hanya pengamal (practitioner) dan bukan pakar atau bukan ahlinya. Saya tarik diri awal-awal lagi ya. :)

Ada tiga sumber yang anda boleh belajar SEO:

1. Daripada Internet Marketer yang ada pengalaman dan hasil SEO tersendiri. Mereka bukan bercakap kosong.

2. Daripada laman web enjin carian sendiri. Contohnya seperti laman web Google (Webmaster Help).

3. Daripada pakar-pakar SEO profesional yang diiktiraf.

Saya memetik kata-kata Jon Leger yang mana katanya, banyak blog atau laman web yang kongsikan tip dan teknik SEO. TAPI sayang sekali, mereka tidak nyatakan BUKTI dan FAKTA.

Contoh: Kalau mereka kongsi 10 teknik berkesan SEO, mereka tidak nyatakan mengapa teknik itu berkesan beserta dengan faktanya. Kalau nyatakan teori, at least bagitahu logiknya.

Jadi, hati-hati dengan nasihat mereka yang tidak ada bukti, fakta atau sandaran yang kuat. Malah mungkin teknik-teknik yang dikongsikan itu sudah tidak relevan malah yang lebih teruk, anda menghabiskan banyak masa dengan teknik yang tak berkesan.

Tiga RAHSIA Penting

Saya ingin kongsikan tiga tip penting atau boleh dikatakan sebagai PANTANG dalam SEO.

1. Rahsiakan kata-kunci (keywords)

Mendedahkan kata-kunci yang anda fokus (target) adalah satu KESALAHAN BESAR. Ia umpama ingin memusnahkan perniagaan anda sendiri. Semakin ramai yang gunakan keyword tersebut, maka semakin besar persaingan yang wujud.

Jika kita perasan, ramai marketer yang buat kesilapan ini. Kononnya mereka mahu menunjukkan kehebatan ilmu SEO mereka, lantas mereka katakan, “lihat, laman web saya ni dah dapat no 1 di google dengan keyword ni”.

Lainlah jika website tersebut hanya sebuah website/blog pandu-uji sahaja, maka itu tidak mengapa. Tapi kalau ia laman web perniagaan, 100% digalakkan jangan dedahkan kata-kunci yang digunakan.

2. Rahsiakan maklumat SEO laman web anda

Tidak kisah anda lakukan apa-apa model perniagaan. Yang penting adalah JANGAN dedahkan maklumat SEO laman web anda. Maksudnya, anda cerita yang dengan keyword ini menyebabkan laman web ini dapat top ten di google.

Jika anda dedahkan, para pesaing akan mula mengkaji laman web anda dan strategi yang anda gunakan. Ingat, Internet amat berbeza dengan perniagaan offline di mana dengan Internet, pesaing amat mudah untuk korek strategi sesebuah website.

Jadi, salah satu cara untuk kurangkan risiko sebegitu atau menyusahkan usaha pesaing korek rahsia, jangan dedahkan maklumat SEO laman web anda.

3. Rahsiakan teknik yang anda gunakan

Jika anda ada terjumpa atau menemui teknik yang berkesan untuk laman web anda, rahsiakannya. Bisnes tetap bisnes. Bayangkan, jika anda kongsikan teknik tersebut, bukan satu, dua, tiga atau empat pesaing akan gunakannya, malah beribu-ribu pesaing.

Kalau mahu kongsikan teknik tersebut, boleh. Tapi terangkan secara umum sahaja dan jangan dedahkan apa keyword yang anda guna serta website yang anda libatkan (melainkan ia web pandu-uji).

Tip Mudah PASTI Jadi Punya

Tip ini amat mudah dan kalau anda dedahkan keyword pun, pasti tak berguna sedikit pun untuk pesaing anda. Tak percaya? Tak apa, sila baca lagi…

Jika anda seorang usahawan, sudah pasti salah satu cara orang mengenali anda adalah melalui nama. Kalau boleh, biarlah nama itu unik. Tak semestinya nama sebenar anda.

Contohnya, saya lebih dikenali sebagai smartzul. Jadi, sebab orang lebih kenal saya dengan panggilan smartzul, maka apa yang akan saya lakukan adalah:

1. Beli nama domain smartzul.com

2. Guna nama smartzul di mana-mana saja (forum, komen di blog, dalam laman web, signature, profile web social dan lain-lain lagi…)

Jadi, katakan anda sudah femes, atau ramai orang kenal anda dengan nama anda tersebut, mereka akan cari di enjin carian. Ya, ini sudah pasti 100%.

Malah, mengikut pemerhatian saya, ada sesetengah pembaca blog ini menaip nama saya atau nama smartusaha di enjin carian untuk masuk ke blog ini.

Begitu juga dengan website-website lain macam Utusan, Berita Harian, pembaca mereka akan taip di enjin carian untuk masuk ke web tersebut. Mengapa? Sebab mereka malas untuk taip URL. ;)

Jadi, di sinilah pentingnya penggunaan nama brand (jenama) anda secara ‘agresif’. Serius, teknik penggunaan keyword jenama ini amat-amat berkesan. Ia sudah pasti tak berguna pun untuk pesaing anda gunakan nama jenama anda tersebut.

Mudah cerita, anda promosikanlah diri anda dengan jenama yang unik dan pasti pengguna internet akan guna nama tersebut untuk cari mengenai anda.

Promosikanlah nama anda itu di mana-mana sahaja. Bagi kes saya, syukur sebab saya ada nama unik iaitu Smartzul. Kalau saya guna Zulfadli, ramai nama Zulfadli atas dunia ni. Hakikatnya, nama Smartzul lebih dikenali daripada nama Zulfadli.

Pemasaran SEO dengan menggunakan nama yang unik sudah pasti akan menjadi. InsyaAllah. Dengan penggunaan nama yang unik, tak perlu sangatlah anda bersaing dengan usahawan yang lain.

Yang perlu anda lakukan adalah, promosikan diri anda dan cipta buzz mengenai perniagaan atau diri anda. Selebihnya orang akan cari anda melalui enjin carian.

Tapi, teknik ini hanya sesuai untuk promosi diri (personal brand) atau untuk jenama produk sahaja. Untuk produk-produk yang umum, anda tetap perlu guna keyword berkaitan.

Kesimpulannya, jika anda seorang yang femes, belilah satu nama domain untuk nama yang anda guna tersebut. Rugi kalau tak gunakan nama domain bagi nama tersebut, sebab yang pasti, pengguna internet akan cari anda melalui enjin carian.

Moga anda jelas dengan penerangan pasal kata-kunci jenama diri di atas.

Incoming search terms:

  • rahsia seo
| Panduan Buat Blog Wordpress | Kuasa Pemasaran Forum | Kuasa FTP |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)