Merdekakan Diri Anda…
Friday, August 31st, 2007Salam bahagia. Jika anda baru di blog ini, anda digalakkan subscribe RSS feed blog ini. Klik di sini. Atau daftar Newsletter kami di sini. Terima kasih kerana melawat!
Pada hari ini, saya tidak akan menulis mengenai perniagaan Internet kerana selain saya mahu berehat, hari ini (Jumaat) adalah hari cuti kerana sambutan hari kemerdekaan.
Malah, keesokannya iaitu 1 September 2007, SmartUsaha.com akan mencapai usia dua tahun… Saya mahu berehat, mahu menganalisis dan mahu melihat kembali apakah yang telah berjaya dilakukan, apakah yang perlu dilakukan dan apakah yang tidak perlu dilakukan selepas ini.
Malaysia sudah merdeka selama 50 tahun. Kekalkanlah kemerdekaan ini sebaik-baiknya. Janganlah diwujudkan isu perkauman. Janganlah mudah menyebar-nyebarkan berita yang palsu. Itu semua dakyah musuh negara yang dengki dengan kemakmuran Malaysia…
Kemerdekaan yang kita kecapi sekarang adalah hasil perjuangan orang dulu-dulu. Bukan setakat perjuangan dengan fizikalnya, malah perjuangan akalnya juga di dalam menentang pemikiran-pemikiran yang melemahkan bangsa dan rakyat.
Walaupun kita sudah merdeka 50 tahun, namun tidak bermakna kita merdeka dari segala aspek perangai, amal, pemikiran, minda, kewangan, perniagaan dan sebagainya.
Ya, sebelum kita laungkan merdeka, tanya diri kita dahulu, “sudah merdekakah aku?”. Jika tidak, laungan itu hanya memekikkan telinga semata-mata, masuk dari telinga kanan dan keluar di telinga kiri.
Kalau sekarang kita suka berfikir negatif, tidak yakin, maka bebaskan diri kita dari cengkaman tersebut.
Jika sekarang kita takut untuk memulakan perniagaan Internet, buangkan perasaan itu.
Jika sekarang kita dengki dengan kejayaan orang lain, maka buangkan sifat itu dan berusahalah agar kita juga berjaya.
Jika sekarang kita asyik berfikir negatif itu dan ini, tukarlah kepada fikiran-fikiran yang positif…
Kalau sekarang mudah benar menyanggah pendapat orang lain, sudah tiba masanya mendengar pandangan mereka dengan penuh hormat. Jika tidak setuju, hormatilah cara, pegangan, prinsip dan pendapat mereka selagi mana ia tidak memudaratkan anda dan orang lain. Kita, tidak boleh menjadi “hakim” untuk hidup orang lain.
Kalau sekarang kita suka menyusahkan orang lain, tidak kira apa bentuk dan caranya, hentikanlah sikap itu. Berdirilah atas kaki sendiri dan jangan sesekali suka menyusahkan orang lain.
Juga kalau sebelum ini kita malas untuk belajar, mengkaji dan berusaha lebih untuk perniagaan, maka kali ini, katakan pada diri sendiri, aku tidak boleh malas lagi!
Ingatlah di saat si ibu melahirkan kita, mereka mahu menjadikan kita seorang yang baik dan tidak menyusahkan orang. Tapi kalau sekarang kita suka menghasut dan memfitnah, menyusahkan hati dan hidup orang, betapa hancurnya hati dan impian seorang ibu?
Kemudian, jika sebelum ini atau sekarang ini kita rasa jauh ketinggalan, katakan pada diri sendiri, “mengapa aku perlu rasa begini??”. Sekali lagi tekankan pada diri sendiri, “aku, perlu jadi diri sendiri!“.
Maksudnya, kalau si dia memandu kereta BMW… “cukuplah aku Perodua Kancil sahaja”. Ini bukan menanamkan minda dengan impian yang rendah. Ini bukan bermaksud merendah diri tak bertempat. Tetapi, itulah hakikatnya kemampuan anda sekarang. Usahalah, kelak mungkin bukan hanya BMW, malah mempunyai Jet Peribadi sendiri.
Ingat, kejayaan bukan terletak pada harta semata-mata! Tak guna harta bertimbun-timbun, tetapi diri begitu penuh dengan sifat-sifat yang negatif.
Pendek kata, jika sekarang kita mempunyai sesuatu yang negatif atau sifat mazmumah (buruk), usahlah lagi menyimpan sifat, sikap dan perangai tersebut. Ia bukan hanya menyusahkan diri sendiri, malah menyeret sekali orang lain.
Tidak kisahlah kita mahu melihat aspek negatif itu dari segi Agama, motivasi diri, minda atau apa-apa saja cara, janji anda melihat dengan ilmu yang benar, penuh keinsafan dan boleh mengubah diri kepada yang lebih baik. Yang penting, kita diredhaiNYA.
Untuk itu, saya dan blog ini akan berehat sementara waktu untuk bertanyakan diri sendiri, “sudah merdekakah aku?”.
Jumpa lagi.
If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!














