Blog Perniagaan Internet: SmartUsaha.com

Ke Batu Pahat + Kubur..

Hari ni iaitu hari Ahad, 26/2, saya bersama 5 orang kawan lagi pergi ke Batu Pahat. Errm, bukan jalan-jalan cari makan, tapi ada kerja sedikit.. Saya ikut mereka sebab dah lama juga tak ‘jalan jauh’. Ya lah, asyik mengadap buku & komputer sahaja dan di kesempatan yang ada sedikit (hari minggu), saya ikutlah mereka.. Badan punya rezeki, sarapan pagi dan makan tengahari dapat makan free. Apa lagi, orang belanja lah.. Nasi beriani lagi tu.. :-)

Baiklah, saya bukan nak ceritakan apakah yang saya buat kat Batu Pahat tu, atau apa-apa pasal tu. Cuma, semasa perjalanan (jalan kaki) ke masjid untuk solat zuhur berjema’ah, saya telah melalui sebuah perkuburan saudara kita se-Islam. Ermm, kalau ikutkan dah lama tak ke kubur terutama melawat kubur saudara mara & ahli keluarga terdekat. Al-maklum, saya kat Johor dan kampung di Kelantan, balik hanya sekali dua setahun.

Apa yang ingin dinyatakan adalah, apabila melihat kubur-kubur di situ, hati saya tersentak dan ‘ngeri’ apabila memikirkan mengenai kematian. Ya lah, sudah cukupkah amalan kita? Dalam satu hari berapa kali kita beristighfar? Kerja atau perkara-perkara salah yang kita sedar ia salah, masih lagikah menjadi tabiat kita? Fikirkanlah, bila anda dimasukkan ke dalam liang lahad, dikambus dengan tanah, gelap-gelita menemani anda. Kecuali bagi orang yang beriman dan beramal sholeh, mereka diluaskan kuburnya, diberi cahaya untuknya sehingga tiba hari kiamat. Bagi mereka yang banyak dosanya, sudah jelas dinyatakan diancam keperitan seksaan di dalam kubur.. Anda tahu, tak perlu saya ceritakan.

Apakah kaitan perkara ini dengan perniagaan internet? Entah apa-apa zul ni.. Ya, ada kaitan! Kita sebagai umat Islam, janganlah begitu gelojoh, tamak dan ‘gila’kan harta dan dunia tanpa mahu memilih dan mengkaji sesuatu terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. Jika ulama’ mengatakan sesuatu itu haram, maka turutilah. Mereka lebih faham dan lebih mempunyai cahaya hidayah yang lebih tinggi daripada kita. Maafkan saya kerana menggunakan perkataan HARAM dan tidak menggunakan perkataan TIDAK BOLEH. Kedua perkataan ini jauh bezanya dan kekadang sama maksudnya. Perkataan haram lebih jelas dan mudah untuk difahami..

Saya amat berharap dan ingin mengajak bersama sahabat semua agar kita menjadi usahawan yang bukan sahaja berjaya di dunia, bahkan kita juga berjaya di ‘sana’. Jadilah usahawan internet atau usahawan apa sahaja yang mengikut lunas-lunas dan garisan Islam agar harta dan pendapatan kita diredhai oleh ALLAH Yang Maha Pemurah.

Bagi mereka yang melakukan program atau perniagaan yang jelas dan nyata diharamkan oleh Islam, segeralah meninggalkannya. Anda hanya mendapat kekayaan di sini sahaja, tetapi anda tidak mendapat kekayaan iman dan keredhaanNya. Dalam tak sedar, anda sedang berada di dalam kemurkaan Yang Maha Esa.

Usahawan Islam yang sejati adalah usahawan yang bukan hanya mengumpul kekayaan dunia semata-mata, tetapi mereka sentiasa taat dan mengikut garisan Islam, redha dan menerima apa sahaja perintah Allah. Mereka juga bukan mementingkan kekayaan semata-mata, tetapi hati mereka jelas, terang dan nyata apakah matlamat hakiki mereka di dalam kerja perniagaan dan keusahawanan. Ya, usahawan Islam tahu matlamat hakiki mereka.. Fikir-fikirkanlah dan renungkanlah seketika apakah matlamat anda? Saya boleh memberitahu apakah matlamat hakiki yang patut kita ada, tapi apa kata kita sama-sama mengkaji, bertanya dan memikirkan matlamat hakiki ini? Kalau masih tak terjawab, jom pi tanya ustaz.. :-)

Ingatlah, tatkala malaikat maut datang menjemput, segalanya tak berguna lagi, melainkan iman, taqwa dan amal sholeh..

Wassalam.

“Tak guna kaya berjuta, kalau takwa panjang sejengkal”

“Baik hidup beratap bocor, dari hidup mencari murkaNya”.

ikhlas,

mohd zulfadli.

Kata-Kata ‘Hikmat’ Irfan Khairi.. – Siri 1

Siapa yang tak kenal dengan jutawan muda kita ini? Dialah yang menjadi inspirasi dan pembuka semangat serta menjadi perintis dan ‘model’ untuk rakyat Malaysia berjaya di dalam bidang perniagaan internet, dan tidak terkecuali saya.

Di kali ini, saya sertakan beberapa kata-kata irfan yang diambil daripada temuramah yang telah dilakukan oleh beberapa pihak seperti akhbar dan majalah terkemuka negara. Bacalah dan hayati. Beliau sering mengulangi bahawa, dia pernah gagal, bermula dari bawah, berusaha keras dan mengambil masa yang lama. Jadikan kata-kata beliau di bawah ini sebagai panduan untuk kita berjaya di dalam perniagaan internet sepertimana beliau.

‘Semua ini bukan datang dengan sendiri, sebaliknya saya berusaha keras untuk mencapainya’.

Selama setahun saya menghadapi masalah untuk mendapatkan pelanggan, menyebabkan perniagaan yang dijalankan menghadapi kegagalan’.

‘Ketika itu , cara promosi yang dilakukan tidak betul, cara pemilihan produk yang salah, dan sasaran pasaran yang tidak tepat, telah menyebabkan perniagaan yang dijalankan menghadapi kegagalan’.

‘Ramai yang menganggap apabila kita ada laman web dan ada produk, pelanggan akan dating. Namun hakikatnya , jika laman web berkenaan tidak dipromosikan , maka tidak ada siapa yang tahu kewujudannya’.

- Dewan Ekonomi, Januari 2006

irfan khairi irfan

Bagaimana Caranya Menghindar Dari JERAT Online SCAM

oleh : Irfan Khairi

Salam sejahtera,

Sejak beberapa bulan lepas, nama saya sering di kaitkan dengan skim online yang berteraskan SCAM. Bertujuan untuk menipu orang ramai dalam mengaut keuntungan. Sehingga hari ini, syarikat saya dan Azizi Ali telah mengambil tindakan keatas 2 individu yang melanggar undang-undang hakcipta dan harta intelek dalam kes-kes sebegini. Untuk maklumat lanjut, sila ke http://www.rahsiainternet.com/penting.htm

Berikut adalah 3 tips untuk menghindarkan diri anda dari terkena JERAT SCAM.

1: SCAM atau menipu online sering bertujuan untuk mengaut keuntungan dari mereka yang dalam keadaan terdesak. Kebanyakan SCAM berasas kepada peluang membuat duit. Sekiranya anda berdepan dengan sebarang peluang menjana wang di Internet, Email atau SMS, anda perlu lebih berhati-hati oleh kerana asas SCAM adalah dalam menarik minat mereka yang terdesak inginkan penyelesaian kepada masalah kewangan.

Fikiran anda perlu lebih berhati-hati dan was-was apabila berdepan dengan sebarang skim menjana pendapatan di Internet oleh kerana kebanyakan SCAM lahirnya di situ.

2: Kebanyakan SCAM berasas kepada ‘anonymity’ iaitu, pengasas SCAM tersebut sama ada individu ataupun syarikat, inginkan maklumat mereka disembunyikan. Mereka bagaikan menyorok di alam siber di mana asal-usul mereka tidak diketahui.

Individu atau syarikat tersebut tidak akan mendedahkan identiti mereka. Maklumat-maklumat penting seperti alamat mereka, cara menghubungi, kewujudan mereka sering dirahsiakan. Anda perlu berhati-hati, sekiranya mereka inginkan segala urusan 100% online. Kewujudan mereka hanya 100% maya. Mungkin ianya 100% SCAM.

3: Akhir sekali, berhati-hati sekiranya peluang yang diberi oleh individu atau syarikat bunyinya amat mudah (too good to be true). Memperolehi sejumlah wang yang besar bukan suatu perkara yang mudah. SCAM sering mewar-warkan bahawa menjana pendapatan adalah amat mudah. Serta, skim tersebut akan menjanjikan pulangan yang tinggi (beribu-ribu ringgit) dengan pelaburan yang rendah (mungkin RM10).

Fikiran mereka sebelum terkena scam mungkin mengatakan “Wang yang dilaburkan kecil… sekiranya tidak berjaya, ianya tidak apa. Sebab saya cuma hilang RM10 sahaja”. Bagi pihak individu atau syarikat yang melakukan SCAM pula mengatakan “RM10 adalah jumlah kecil. Kalau mereka (yang terkena) kehilangan RM10 sahaja sudah tentu mereka tak mencari saya. 1,000 orang bayar RM10, saya sudah untung RM10,000!”

Di dunia ini, tiada skim yang wujud di mana anda melakukan sedikit kerja, kemudiannya pulangan berlipat kali ganda akan melimpah ruah kepada anda. Sekiranya ini terjadi, maka, sudah tentu skim-skim tersebut sudah diberitakan di dada akhbar, di berita TV dan media-media yang lain oleh kerana ia dapat membantu masyarakat hidup dengan lebih mewah.

Jangan lupa, SCAM bertujuan untuk menarik mereka yang terdesak inginkan wang. Tumpuan skim-skim scam adalah untuk menarik mereka yang “Inginkan pulangan tinggi, tetapi usaha yang kurang”. Mudah-mudahan anda tidak terjerat dalam kategori ini.

SCAM ada di merata-rata dan antaranya amat halus untuk dikesan. Antara nasihat yang paling baik adalah untuk “tepuk dada, tanya selera” – tanya diri anda sendiri. Sekiranya di hati anda terdetik sesuatu skim itu mungkin SCAM, maka, anda perlu berhati-hati. Kajian menunjukkan ramai yang terkena SCAM sebenarnya sebelum menyertai skim/sistem tersebut sudah mempunyai rasa hati (rasa tak sedap hati), tetapi masih terus menyertainya oleh kerana sifat “ingin tahu” yang kuat sama ada skim tersebut adalah penyelesaian kepada masalah kewangan mereka!

Semoga kita lebih berhati-hati dengan JERAT SCAM,

Irfan Khairi

http://www.rahsiainternet.com

Catatlah…

Errm, apa yang perlu dicatatkan tu Zul? Catat kira-kira ker?

Hehe, kira-kira? Bukanlah.. Bukan catat debit kredit.. Duit masuk duit keluar, tapi idea.. :-)

Ya, rata-rata kita tidak bawak pen dan buku (tak kiralah buku 555 ker, kertas ke apa ker), tapi mesti tak ramai yang bawak kan? Jadi, bermula saat anda baca tulisan saya ni, apa kata kita mulakan satu tabiat atau hobi baru? Ya, menulis dan mencatat idea-idea yang tetiba datang tak dijemput. begitulah selalunya kan?

Sebagai contoh, apabila kita melihat sesuatu, tak semena-mena-nya datang idea untuk sesuatu perkara. Tengok kereta orang tersadar tepi jalan sebab tayar pancir. Hmm, kan bagus kalau aku buat servis bergerak repair kereta? Tak percaya? Kat tempat saya ada seorang yang buat servis hanya menampal tayar motor yang bocor! Hanya perlu menghubunginya kalau tayar motor anda pancit.. Saya juga yakin, di tempat anda juga ada.

Saya petik dari sebuah tulisan mengenai menulis idea atau apa yang kita fikirkan:

Tuliskan Apa Yang Anda Fikirkan

Saya tidak kisah berapa baik memori yang anda ada, tetapi mengapa perlu dibiarkan sahaja. Mengapa perlu menanggung risiko jika terlupa sesuatu yang penting? Menulis perkara yang ada di fikiran anda akan menolong melegakan otak anda yang sarat dengan maklumat. Apabila anda menulisnya anda tidak perlu takut jika terlupa pada masa yang diperlukan.

Jika anda mempunyai idea – tuliskan.

Jika anda mempunyai masalah – tuliskan.

Apabila anda menulis sesuatu masalah, anda akan dapati bahawa anda boleh berfikir dengan lebih jelas, dan satu masa nanti perkara tersebut dapat diselesaikan. Teknik ini nampak mudah, tapi jika anda mula menggunakannya, anda pasti akan lihat perbezaannya kelak.

Maka, jadikan menulis catatan itu sebagai satu tabiat untuk anda walau di mana anda berada hatta di kedai makan sekalipun.. Anda perlu tahu, inilah antara yang perlu anda ada untuk menjadi orang yang berjaya. :-)

| Panduan Buat Blog Wordpress | Panduan FTP | Sistem Survey |
SmartUsaha.Com adalah rangkaian perniagaan internet milik Inspirasi Maya Enterprise (JM0472383-X)
nutrisystem coupon