12 perkara penting yang saya boleh nasihatkan kepada usahawan

1. Takrifan kejayaan sendiri

Jika kita tanya 10 orang dengan soalan “apa itu erti kejayaan?”, pasti mereka mempunyai jawapan tersendiri. Ada usahawan meletak jumlah wang yang masuk ke akaun bank mereka. Ada juga usahawan yang akan mengatakan mereka berjaya apabila usaha perniagaan mereka memberi nilai yang baik kepada para pelanggan. Jadi apakah erti kejayaan bagi diri anda sebagai usahawan? Tetapkan takrifan sendiri dan jangan pedulikan takrifan orang lain. Jika ambil meletak diri anda dalam takrifan orang lain, anda mudah untuk hilang arah.

2. Bina diri sendiri

Tidak salah kita berniat dalam perniagaan untuk membangunkan bangsa, agama, masyarakat dan negara. Tetapi alangkah baiknya jika kita membina “bangsa, negara dan agama” dalam diri kita terlebih dahulu. Bukan apa, jika kita terus memfokus pada yang besar terus, kita akan rasa berat dan mungkin kemudiannya akan berputus asa. Fokuskan diri anda dalam membangunkan diri sendiri sebagai usahawan yang hebat. Secara automatik apabila anda berjaya, anda sebenarnya telah pun memberikan sumbangan kepada orang lain. Berniaga juga adalah satu ibadat. Jadi jadilah usahawan yang baik, dan layanilah pelanggan dengan baik-baik.

3. Utamakan dan fokus diri sendiri

Apabila kita melayari Facebook ataupun mana-mana media sosial lain, kita banyak membaca cara dan prinsip orang lain. Kemudian kita rasa mahu jadi seperti mereka. Kemudian kita baca lagi cara dan pandangan orang lain, kita pun mahu jadi seperti itu pula. Abaikan cara orang lain. Fokus kepada diri anda sendiri. Hakikat hidup di dunia ini, walaupun kita ada “jemaah”, tetapi masing-masing tetap “sendiri”.

4. Terus teguh di jalan sendiri

Jangan ambil kisah jalan orang lain. Jangan ambil peduli prinsip orang lain. Terus teguh dengan cara yang telah anda tentukan. Hal ini amat penting agar anda terus melalui jalan-jalan keusahawanan tanpa mudah terpesong ke jalan yang lain.

5. Pilih satu bidang dan mulakan dengan satu projek sehingga berjaya

Kita boleh buat banyak bentuk perniagaan. Tidak ada salahnya. Tetapi pada era perniagaan zaman sekarang yang serba pantas, kita perlukan satu usaha yang membolehkan kita turut laju ke hadapan. Anda lihat ramai usahawan jutawan menjadi jutawan pada pertama kali adalah melalui satu bidang usaha sahaja. Kemudian selepas itu barulah mereka menceburi bidang lain, dan itulah mungkin sebagai “pelabur” ataupun pemegang saham sahaja.

6. Fokus bermati-matian

Dunia teknologi sekarang penuh dengan gangguan (distractions). Aplikasi-aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, FB dan lain-lain menyebabkan dunia yang luas ini seolah-oleh semakin menjadi mengecil (sempit). Itu semua mampu membuatkan anda hilang fokus. Selain daripada itu, maksud fokus bermati-matian adalah anda terus fokus pada usaha perniagaan yang dilakukan walaupun mungkin pada peringkat permulaan anda banyak rugi, tidak banyak mendapat hasil dan sebagainya. Teruskan berusaha bermati-matian. Jangan hanya berusaha ala kadar dan dengan kemalasan.

7. Fokus pada pemasaran dan aliran kewangan

Dalam banyak-banyak perkara penting dalam perniagaan, antara aspek paling penting adalah pemasaran dan pengurusan kewangan. Pemasaran yang bagus sahaja tidak mencukupi jika aliran kewangan tidak dijaga dengan betul, efesien dan kemas. Walaupun anda mendapat untung bersih sebanyak RM10,000 sebulan, tetapi jika wang itu tidak diurus dengan baik, ia boleh “lesap” dengan begitu mudah sehingga anda sendiri tertanya-tanya “ke mana wang yang banyak itu menghilang”, padahal anda yang telah membelanjakannya.

8. Mulakan dengan apa saja yang ada

Jika model perniagaan anda tidak terlibat dengan pihak korporat (pelabur besar), iaitu bermaksud anda bermula dari bawah, cukuplah anda bermula dengan apa yang ada. Jika anda ada meja dan kerusi yang usang, selagi ia boleh dipakai, gunakan ia. Jika tiada perabot, beli perabot terpakai. Jika terpaksa membeli kelengkapan tertentu, beli yang tidak begitu mahal. Ubah dan naikkan taraf perniagaan anda sedikit demi sedikit.

9. Bina perniagaan dan sebuah pasukan

Sebaik mungkin, pada peringkat awal perniagaan, anda terus “setup” pasukan kerja sendiri, walaupun hanya anda dan rakan niaga anda sahaja. Lantik pekerja (staf) yang pakar dalam bidang yang berkaitan dengan projek / bisnes yang anda lakukan. Begitu juga soal pengurusan kewangan (akaun), serahkan kepada pakar sama ada melantik staf ataupun mengambil perkhidmatan akauntan bebas. Begitu juga dengan pemasaran dan jualan, lantik individu yang pakar. Anda jangan lakukan semua kerja. Lepaskan ia kepada individu yang anda lantik. Anda pula buat apa? Kerja utama anda adalah memikirkan bagaimana perniagaan boleh terus ke depan dan kemudian berkembang!

10. Jangan banyak cakap

Pepatah Inggeris ada berbunyi, “Action speaks louder than words”. Tindakan itu lebih hebat daripada kata-kata. Apa guna jika ayat, tulisan dan percakapan anda begitu hebat, tetapi hasil perniagaan anda hanya suam-suam kuku? Jadilah usahawan yang hebat tindakannya dan menggunakan masa yang ada untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat untuk perniagaan. Hentikan menulis dan bercakap sesuatu yang “kosong” dan langsung tidak memberi nilai untuk perniagaan anda.

Kita juga tidak perlu bersusah payah bercakap untuk menyatakan kita ini orang berjaya, usahawan yang sukses dan apa jua cerita. “Show, don’t tell!”. Biar hasil dan perkembangan kita “berkata-kata”. Biar orang lihat dan nilai sendiri. Tidak perlu sibuk untuk “ambil hati” dan impress orang lain. Fokus dan fokus sepenuhnya masa usaha perniagaan anda.

Saya ada kenal seorang usahawan yang masih bekerja sepenuh masa di mana beliau tidak begitu aktif menulis di Facebook, tetapi pada setiap bulan menjana jualan berpuluh ribu ringgit!

11. Jangan kecewa dengan hari yang telah lepas dan jangan risau hari yang akan mendatang.

Selagi anda masih mengenangkan kisah lalu, anda pasti amat sukar untuk mudah terus melangkah ke hadapan. Lupakan kisah lalu, tetapi boleh jadikan pelajaran untuk hari-hari mendatang. Anda juga jangan risaukan masa hadapan yang belum wujud. Penuhilah hari ini dengan sebaik-baiknya dengan tindakan-tindakan yang memberi keuntungan kepada perniagaan anda. Lupakan hari semalam, lakukan yang terbaik pada hari ini dan usah bimbang tentang masa depan!

12. Berbisnes untuk memberi

Akhir sekali (yang bukan akhir kepada segala-galanya), apa jua hasil yang kita dapat, walaupun RM1.00 sahaja pada hari ini, sedekahkan sebahagian daripadanya walaupun sekadar 10 sen. Jangan tunggu anda mempunyai wang yang banyak. Syarat sedekah bukan pada kadar jumlahnya, tetapi pada setinggi mana “harga/jumlah” keikhlasan anda. Anda bersedekah wang, bukan itu yang Allah lihat, tetapi sejauh mana keikhlasan yang anda berikan kepada Allah! Ini yang ramai terlepas pandang.

Menjadi satu fenomena sekarang kebanyakan orang mengira-ngira dengan formula 10 kali ganda. Contohnya jika sedekah RM100, Allah akan balas RM1000. Sedekah lagi banyak, maka lagi banyak akan dapat rezeki. Malah sehingga menggunakan kalkulator untuk melihat berapakah kemungkinan pulangan wang setelah sedekah dilakukan. Cara ini tidak dinafikan, tetapi jangan terlalu fokus pada pengiraan sebegitu kerana Nabi Muhammad sendiri tidak ada mengira-ngira secara khusus sebegitu.

Biarlah anda sedekah hanya 10 sen sahaja tetapi dalam hati anda berkata kepada Allah, Wahai Allah, hanya ini yang aku mampu sedekahkan pada hari ini. Maafkan aku Ya Allah. Aku akan berusaha lagi dan aku perlukan bantuan-Mu Ya Allah pada setiap ketika.” Allah akan faham kita amat mahu berikan sedekah yang besar-besar tetapi kerana kita tidak mampu, Allah akan melihat tahap keikhlasan kita. Jika nilai keikhlasan kita adalah suci, murni dan bebas daripada keduniaan, dan kita bersedekah kerana kita mahu beramal dengan sedekah itu semata-mata, Allah akan bantu kita daripada segenap arah, malah kadang-kadang kita tidak sedar yang Allah telah membantu kita. Allah Maha Memahami. Allah Maha Memahami. Dan yang pasti Allah tidak akan berkira-kira dengan hamba-Nya yang ikhlas.

Niatkan dalam hati untuk memberi lebih banyak sedekah dalam bentuk jumlah wang pada satu hari nanti.

Berbalik kepada perkara yang ke-12 ini, lakukan sedekah walaupun sedikit dan ia tidak semestinya dalam bentuk wang. Jika anda pandai sesuatu perkara, sedekahkan ilmu. Jika anda ada kepakaran, sedekahkan kepakaran anda. Jika anda ada masa, sedekahkan masa. Malah setiap sendi yang digunakan dalam gerakan dalam solat dhuha juga dikira sedekah. Niatkan anda mahu berniaga kerana mahu memberi yang terbaik kepada ibu dan ayah, kepada saudara-mara dan manusia yang lain. Insya-Allah, dengan niat sebegini, Allah akan membantu anda, dan memudahkan usaha anda.

Tidak bolehkah kita berkereta berjenama, berumah besar, berseronok seperti pergi bercuti dan sebagainya? Islam itu indah. Yang penting adalah perkara asas agama telah kita sempurnakan. Selebihnya Allah memberi kita ruang untuk menikmati dunia ini (nikmat yang halal). Semua yang dikatakan itu seperti kereta mahal, rumah dan sebagainya, itu semua perkara yang “kita mahu”. Ia bukan niat. Perlu bezakan perkara yang kita mahu dan juga niat. Kedua-duanya berbeza. Lumrah manusia diciptakan dengan sifat mahu memiliki dan kita tidak boleh menafikannya. Selagi ia dimiliki dengan jalan yang betul dan halal, Allah pasti meredhainya.

.

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

2 thoughts on “12 perkara penting yang saya boleh nasihatkan kepada usahawan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *