11 Perkara KRITIKAL untuk Bisnes Servis

Berikut adalah 10 perkara penting apabila kita melakukan bisnes berbentuk servis (perkhidmatan) di Internet. Kesemua perkara ini adalah berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri dalam melakukan banyak bentuk perkhidmatan secara online:

1. Spesifikasi pakej yang ditawarkan perlu jelas dan detail. Ini agar pelanggan / klien tidak minta sesuatu yang melebihi daripada item yang ditawarkan pada satu-satu pakej itu sahaja. Ini amat penting bagi kita agar masa yang digunakan adalah berbaloi.

Beritahu klien apa yang akan kita berikan dan apa yang tidak. Ini amat penting agar tidak berlalu salah faham.

2. Harga hendaklah berbaloi untuk kita dan juga pelanggan. Pastikan masa yang kita gunakan adalah sesuai dengan harga yang diberikan. Adalah tidak berbaloi jika kita gunakan 10 jam untuk satu kerja, tetapi caj yang dikenakan hanyalah RM10, melainkan perniagaan kita benar-benar sudah stabil.

3. Perlu ada tarikh akhir (deadline). Nyatakan tarikh anggaran kerja akan siap sepenuhnya. Ini amat penting agar klien tidak tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, selain ia sebagai panduan untuk kita.

4. Minta maklumat yang secukupnya daripada pelanggan agar kita dapat laksanakan kerja dengan mudah dan lancar. Elakkan bertanya sedikit-sedikit. Klien akan mudah bosan.

5. Jika kos kerja yang terlibat adalah tinggi, sebaiknya ada perjanjian hitam dan putih, serta maklumat servis yang jelas.

6. Ambil tempahan jika kita mampu sahaja. Jika kita sudah banyak “job” lain, jangan ambil jika kita tidak mampu fokus. Berikan pilihan kepada pelanggan seperti mereka boleh menunggu (“beratur”) atau beritahu bila tempahan mereka boleh dimulakan, ataupun mereka boleh dapatkan servis itu daripada orang lain.

Banyak kes berlaku di kalangan usahawan servis online di mana mereka mengambil banyak “job” walaupun sudah ada job yang belum siap. Akhirnya mereka akan tertekan dan pelanggan pula akan marah-marah kerana tempahan lambat siap.

7. Bayaran oleh klien. Pastikan kita dibayar terlebih dahulu sama ada secara deposit (separuh) ataupun penuh. Ada kes berlaku, kerja telah siap, tetapi bayaran tidak dilakukan oleh klien. Ini amat merugikan kita yang telah menggunakan begitu banyak masa untuk menyiapkan kerja tersebut.

Bayaran deposit amat penting agar mereka serius dan memberikan komitmen. Andaikata mereka mahu batalkan tempahan, deposit itu tetap menjadi milik kita (maklumkan terlebih dahulu kepada mereka terma dan syarat ini).

8. Penyerahan produk. Pastikan minta bayaran diselesaikan sepenuhnya dahulu sebelum menyerahkan hasil kerja. Menyerahkan hasil kerja selepas baki bayaran diselesaikan adalah salah satu cara untuk klien membuat bayaran dengan segera.

9. Sokongan selepas kerja selesai. Perlu maklumkan dari awal kepada klien, sama ada kita sediakan sokongan ataupun tidak selepas kerja siap sepenuhnya.

10. Simpan rekod dan maklumat klien dengan baik, seperti nama mereka, emel, no. telefon dan juga bayaran mereka. Berurusan melalui emel adalah lebih baik berbanding cara lain kerana segala rekod perbincangan mudah untuk dirujuk pada bila-bila masa.

11. Apabila bisnes servis kita telah berkembang, seeloknya kita mula menggunakan sistem online untuk menerima tempahan daripada pelanggan, termasuk mengurus hal berkaitan bayaran. Ini bagi memastikan, kita dapat urus bisnes kita dengan lebih mudah, profesional dan lancar.

Promosi Terkini: Pakej Internet Marketing – http://semarakhosting.com/vip24/

Penulis: Mohd Zulfadli


(SmartZul) adalah seorang penulis dan usahawan Internet sepenuh masa. Beliau memulakan perniagaan melalui Internet sejak tahun 2005, dengan memfokus kepada bidang penulisan dan penerbitan secara online. Beliau turut aktif berkongsi ilmu dan pengalaman melalui blog dan juga komuniti Facebook. Klik menu Hubungi di atas untuk menghubungi beliau.

SERTAI NEWSLETTER SMARTUSAHA.COM
Sertai newsletter SmartUsaha.com untuk mendapatkan info dan tip-tip perniagaan dan pemasaran Internet terus ke emel anda.
Kami benci spam. Emel anda selamat bersama kami.

Komen Guna Facebook:

comments

3 thoughts on “11 Perkara KRITIKAL untuk Bisnes Servis

  1. Terima kasih tuan zul atas tip ini.Em,nampak gayanya permulaan saya ni macam nak mulakan bisnes berbentuk servis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *